Selasa, Julai 27, 2010

Malam Nisfu Syaaban 1431H

Isnin, 26 Julai 2010.Petang itu ialah petang 14 Syaaban 1431H. Aku dan Ida segera ke rumah Mak Bedah setelah menjemput anak-anak pulang dari sekolah agama. Sudah menjadi tradisi sejak dulu, anak-anak akan berkumpul dengan keluarga masing-masing untuk bersama-sama membaca Surah Yaasin di Malam Nisfu Syaaban.

Nisfu dalam Bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima belas Syaaban iaitu siangnya empat belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Hari Nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan di dalam buku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib.

Pukul 7.00 malam, anak-anak sudahpun membersihkan diri dan bersiap-siap untuk berjemaah. Sebaik azan Maghrib berkumandang, semua ahli keluarga sudahpun berada di ruang tamu untuk sama-sama bersolat. Haji Ayup mengimamkan jemaah yang aku kira lebih kurang 25 orang semuanya.

Sebaik selesai solat Maghrib, masing-masing digalakkan untuk menunaikan solat sunat Nisfu Syaaban. Kemudian jemaah berkumpul dan membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali.

Bacaan Yaasin pertama ialah memohon agar dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah, bacaan Yaasin kedua ialah bagi memohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah manakala bacaan Yaasin ketiga pula ialah bagi memohon ditetapkan iman dan mati di dalam iman.

Kemudian diadakan sedikit tahlil ringkas dan diakhiri dengan solat Isyak.

Acara terakhir malam itu ialah kenduri ringkas seisi keluarga. Menu lebih kurang sama setiap tahun iaitu asam pedas daging, ayam goreng, sayur lodeh, buah rambutan, kuih karipap dan lain-lain lagi.

Semoga apa yang dihajati di Malam Nisfu Syaaban ini akan termakbullah hendaknya...














Ayam Hot And Spicy

Hari Khamis, 22 Julai 2010. Entah apa yang aku fikirkan petang itu...anak-anak tidak ada kelas tuisyen sebaliknya sebelah malam ada kelas renang.

Sebaik pulang dari sekolah agama, tiba-tiba aku terasa nak bawa anak-anak makan KFC. Disebabkan tempoh waktu yang singkat, kami lantas ke KFC terdekat iaitu di Jaya Jusco Air Keroh.

Sebenarnya dah lama nak rasa ayam hot and spicy tetapi tidak jumpa kerana KFC mengeluarkan perasa black pepper. Akhirnya petang itu, dapatlah kami sekeluarga menghilangkan rindu untuk merasa ayam hot and spicy yang pernah kami rasa suatu ketika dahulu.

Namun kali ni jelas, ayam hot and spicy yang dipromosi tidak sesedap ayam hot and spicy yang dulu...





Miza Naik Quran

18 Julai 2010 merupakan hari yang paling bersejarah dalam hidup Miza. Hari itu, Miza naik Quran. Anak ketiga aku ni baru sahaja habis mengaji muqaddam dan kini sedang mengaji Al-Quran pula. Gurunya ialah atuknya sendiri, Atuk Ayup.

Atuk Ayup memang garang sedikit tetapi aku rasa itulah yang terbaik bagi mereka. Arif dan Ifa dulupun khatam Quran dengan atuknya juga. Jadi aku rasa ada baiknya Miza terus mengaji dengan atuknya itu.

Buat masa ini Miza dan Alim mengaji dengan atuknya. Alim masih lagi membaca muqaddam.

Petang tu, kami buat sedikit pulut kuning sebagai upacara simbolik naik Quran. Atuk membaca doa selamat dan menyuapkan secubit pulut kuning ke mulut Miza.

Aku amat berharap semoga dipanjangkan umur atuknya agar dapatlah Miza khatam Quran nanti. Kata atuknya, anak perempuan kena cepat khatam kalau boleh sebelum baligh agar nanti tidak terganggu semasa datang aral...









Musim Rambutan

Ahad, 18 Julai 2010. Sebaik menjemput anak-anak pulang dari kelas pengajian tahfiz di Masjid Al-Azim, aku singgah di rumah Mak Bedah. Sewaktu berbual, aku terpandang buah-buah rambutan di atas pokok yang sudah masak ranum. Dua jenis rambutan, rambutan merah dan kuning.

Aku lantas mencari tangga kayu di belakang rumah Mak Ngah. Kemudian mencari pula pengacip yang tersandar di pohon rambutan. Perlahan-lahan dari satu tangkai ke satu tangkai lain, aku mengacip tangkai buah-buah rambutan dan buah-buah itu jatuh ke tanah.

Ifa dan Miza mengutip buah-buah tersebut dan dimasukkan ke dalam baldi. Apabila sudah penuh sebaldi, kami beredar dan duduk di pangkin. Akhirnya buah-buah rambutan tersebut dimakan sambil berbual.

Pokok rambutan yang ada ni ditanam arwah Nek Empah suatu masa dahulu. Tidak banyak, adalah dalam empat atau lima batang pokok. Ada yang manis dan ada yang masam. Selain rambutan, ada juga pokok-pokok mangga, langsat dan manggis di halaman rumah. Dengan adanya pokok-pokok ini, dapatlah anak cucu merasa buah-buahan tersebut...










Sabtu, Julai 17, 2010

Library Tour Pelajar Pasca Siswazah

Seperti dijadualkan, aku menghadiri tugas pada hari ini. Bertugas pada hari cuti, Sabtu dan Ahad memang menjadi rutin semasa sesi semester berlangsung. Dalam satu semester, setiap orang akan merasa sekali atau dua giliran bertugas.

Dua hari lepas, aku dimaklumkan tentang lawatan pelajar pasca siswazah ke Perpustakaan UTeM. Itu perkara biasa bagi aku...

Pelajar Sarjana Sains Komputer (Internetworking Technology) secara pesisir ini mengikut jadual mendaftar dan membayar yuran mereka di Pusat Pengajian Siswazah (PPS) pada jam 10.00 pagi. Kemudian mereka diberikan taklimat oleh pihak PPS dan FTMK sebelum menyiapkan kad matrik di BPO pada jam 11.00 pagi.

Library tour sepatutnya dijadualkan pada jam 12.00 tengah hari tertunda disebabkan mesin penyediaan kad matrik mengalami sedikit kerosakan.

Pukul 1.10 tengah hari, jumlah pelajar pasca siswazah seramai 30 orang yang sepatutnya hadir untuk library tour tinggal 10 orang sahaja. Mungkin ada yang sudah balik atau ada urusan lain.

Namun begitu, lawatan ini diuruskan oleh Penolong Pendatar FTMK, Mohd Rady Ab Karim. Ada juga di antara pelajar ini yang aku kenal seperti Suhaimi Mohd. Sukor, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTHM dan rakan pembekal komputer semasa di tempat kerja lama dulu.

Aku dibantu oleh Mohd Nasir Hashim, Pembantu Perpustakaan Kanan. Semua pelajar dimaklumkan tentang koleksi, perkhidmatan dan kemudahan yang ada di perpustakaan. Bermula dari aras 1 hingga ke aras 3. Library tour yang ringkas ini tamat jam 1.40 petang.

Semoga kesemua pelajar mendapat maklumat berguna semasa sesi ringkas library tour tersebut.










Rabu, Julai 14, 2010

Arif Menyertai 2nd Leg SportExcel Junior Swimming Circuit

Sabtu, 10 Julai 2010. Arif yang ketinggalan bas untuk menyertai 2nd Leg SportExcel Junior Swimming Circuit di Pusat Akuatik Paroi, Seremban menumpang kereta Uncle Rajan.

Pukul 6.30 pagi aku hantar Arif ke rumah Uncle Rajan di Flat Sri Siantan, Bukit Baru. Mereka kemudian bergegas bertolak ke Paroi, Seremban kerana Arif akan bertanding pada pagi itu. Pertandingan renang ini berlangsung dari 10 hingga 11 Julai 2010.

Kali ini Arif menyertai 6 acara. Dalam acara 50 meter backstroke, beliau mendapat DQ dan dibatalkan keputusannya kerana melanggar peraturan pertandingan. Acara ini bukanlah acara kegemaran beliau.

Dalam acara 100 meter breaststroke, Arif menduduki tempat ke-49 daripada 57 peserta dengan catatan masa 2:00.58 saat. Catatan masa peribadi Arif kali ini lebih baik berbanding masa yang dicatatkan sebelum ini iaitu 2:06.86 saat.

Bagi acara 50 meter butterfly pula, Arif mencatat masa 59.56 saat dan menduduki ranking masa 62 daripada 66 peserta.

Dalam acara 100 meter freestyle, beliau mencatat masa 1:47.87 saat dan menduduki tempat ke 61 daripada 68 orang peserta.

Acara 50 meter breaststroke, Arif mencatat masa 54.19 saat dan menduduki tempat ke-54 daripada 79 peserta. Catatan masa beliau lebih baik daripada catatan masa sebelum ini iaitu 56.49 saat.

Acara terakhir yang diserta Arif ialah 50 meter freestyle. Catatan masa Arif ialah 41.92 saat dan menduduki tempat ke-65 daripada 83 orang perenang. Catatan masa peribadi Arif lebih baik daripada catatan terdahulu iaitu 43.77 saat.

Arif pulang menaiki bas yang disediakan oleh Kelab Rakan Akuatik Remaja (RAR) dan sampai di Melaka jam 7.00 malam.

Apapun aku ucapkan tahniah kepada anak sulung aku ini di atas catatan masa peribadinya yang semakin baik. Bagi Kelab Rakan Akuatik Remaja (RAR), kedudukan kelab di tempat ke-22 dengan mengumpul 27 mata.

Pertandingan seterusnya ialah 3rd Leg SportExcel Junior Swimming Circuit yang akan diadakan di Kompleks Renang Kuala Lumpur, Cheras pada 7 dan 8 Ogos 2010.

Semoga Arif akan terus berjaya...