Sewaktu aku dalam perjalanan mengambil Arif di sekolah pada waktu tengah hari hari Jumaat, 29 Mei 2009 aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Hajah Munah, ibu mertuaku yang menyatakan tarikh penerbangan untuk rombongan umrah ialah esok, Sabtu, 30 Mei 2009. Aku yang tergamam bagaikan tidak percaya dengan maklumat yang aku dengar. Tapi aku memaklumkan kepada beliau, tidak mengapa kerana semua persiapan untuk Arif sudah selesai. Sebenarnya kami menjangkakan keesokan harinya iaitu hari Sabtu malam Ahad penerbangan tersebut sebaliknya dimaklumkan oleh Yunus jadual sebenar setelah beliau menelitinya.
Diam-diam aku memberitahu Ida supaya mana-mana persiapan yang tidak lengkap disegerakan. Petang itu, diadakan kenduri ringkas. Dalam pada itu bekalan makanan seperti rendang dan sambal buat mereka yang mengiringi ke lapangan terbang juga disiapkan. Dan pada sebelah malam, selepas Isyak, jiran-jiran serta ramai orang kampung Alai datang untuk bersalaman dan mengucapkan selamat kepada kedua-duanya. Sebaik azan dilaungkan, aku dapat berasa sebak kerana akhirnya Arif dapat juga mengikuti neneknya ke tanah suci. Arif bertuah kerana semasa arwah atuknya, Allahyarham Hj. Atip masih hidup, beliau ada berpesan jika Arif mendapat 5A dalam UPSR, beliau mahu Arif pergi umrah sebagai hadiahnya. Kira-kira jam 9.00 malam, kami menghantar Hajah Munah dan Arif ke KLIA. Dari sana, Yunus dan Sarah juga akan sekali mengiringi Arif dan Hajah Munah untuk sama-sama menunaikan umrah.
Pukul 12.30 tengah malam, kami berada di KLIA. Beberapa ahli keluarga yang lain juga hadir untuk mengucapkan selamat ke atas mereka. Pukul 2.30 pagi, semua penumpang yang menggunakan Qatar Airways masuk ke ruang berlepas. Aku difahamkan penerbangannya ialah pada pukul 3.35 pagi. Dan penerbangan ini akan berlepas daripada KLIA ke Doha dan dari Doha ke Jeddah. Dan pada pagi itu, aku terus balik ke Melaka.
Dan aku berdoa semoga mereka yang menunaikan umrah ini mendapat umrah yang mabrur.
0 ulasan:
Catat Ulasan