Selasa, September 29, 2009

Hadiah Hari Lahir Arif

Arif menyambut hari lahirnya ke-13 pada 22 Ogos 2009, iaitu hari pertama berpuasa di bulan Ramadhan. Pada malam sambutan hari lahirnya itu aku ada bertanyakan apakah hadiah hari lahirnya kali ini dan beliau inginkan sepasang kasut bola berjenama.

Petang semalam, selepas pulang dari kerja, aku sempat ke kedai sukan Al-Ikhsan bersama Arif dan memintanya memilih kasut sukan yang diingininya. Cari punya cari, dapatlah sepasang kasut bola berjenama Adidas bersaiz 10. Kasut berwarna hitam biru ini agak menarik dan harganya ialah RM189 sepasang.

Arif mengucapkan terima kasih setelah mendapat hadiah hari lahirnya itu dan aku berharap dengan hadiah ini beliau akan lebih bersemangat untuk mewakili sekolahnya dalam acara sukan nanti.



Makan Pizza di Pizza Hut

Ahad, 27 September 2009 kami sekeluarga ke Pizza Hut. Hari tu masa hari jadi Farhana, Eidlan dan Imran, ada orang merungut tidak dapat pizza. Siapa lagi kalau bukan Miza. Anak ketiga aku ni memang enjoy kalau dapat makanan kegemarannya, Pizza Pepperoni Delight. Aku berjanji kalau nak makan pizza kena selesaikan kerja sekolah dulu. Semuanya setuju dan masing-masing berlumba-lumba menyiapkan tugasan masing-masing.

Petang tu, semuanya sudah menyelesaikan kerja sekolah masing-masing kecuali Miza yang masih lagi berusaha menghabiskannya. Akhirnya pukul 6.00 petang, kami sekeluarga ke Pizza Hut di Giant Batu Berendam.

Kami membuat pesanan dua jenis pizza iaitu Chicken Supreme dan Pepperoni Delight. Selain pizza, Arif pesan tambahan Chicken Bolognaise Spaghetti kerana lapar. Minuman yang dipesan pula ialah air oren Mirinda dan lemon tea ice. Lepas makan pizza, Ifa, Miza dan Alim makan ais krim.

Pukul 9.00 malam kami pulang ke rumah dan masing-masing membuat persiapan kerana cuti raya seminggu sudahpun berakhir dan esok sesi persekolahan akan bermula.

Budak muka poyo tak dapat makan pizza.


















Menziarahi Nek Jaharah

Masuk raya ke-7 baru sempat kami sekeluarga menziarahi Nek Jaharah. Nenek ini tinggal di Rumah Awam Durian Tunggal.

Beliau merupakan nenek saudara aku yang tinggal bersama dua orang cucu lelaki. Dua tahun lepas, anak perempuan tunggalnya yang aku panggil Along meninggal dunia kerana jangkitan virus. Mujur ada dua orang cucunya tempat beliau mengadu nasib. Seorang dah bekerja dan seorang lagi masih di Tingkatan 5.

Nenek ini berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan seharian keluarganya. Menelusuri kehidupan beliau membuatkan kami sekeluarga berasa simpati. Namun begitu kehidupan ini perlu diteruskan. Aku berdoa semoga beliau dikurniakan rezeki yang lebih pada tahun-tahn mendatang...Amin.

Mengunjungi Nek Jaharah di rumahnya.
























Foto lama Nek Jaharah semasa muda.

Foto Raya Lagi

Bila nak beraya sibuk beli baju raya. Dan bila dah ada baju raya kenalah tunjukkan baju raya masing-masing. Sekarang masa untuk memperagakan pakaian masing-masing di samping mengabadikan foto kenangan semasa raya.






Rumah Terbuka Zainab, Zamri Dan Zaki

Selalunya bila masuk raya ke-2 atau ke-3, rumah saudara-mara dan adik-beradik dah selesai kami kunjungi. Tetapi tahun 2009 ni sebaliknya. Semuanya agak lambat. Walau bagaimanapun, kami sekeluarga sempat menghadiri rumah terbuka Zamri, Zainab dan Zaki.
Rumah terbuka Zainab diadakan pada hari raya ke-2 dari pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam. Zainab merupakan adik ke-8 aku mengadakan majlis ini di rumahnya di Taman Merak Mas, Bukit Katil. Majlis tersebut disekalikan dengan sambutan hari lahir pertama Aisyah Najwa, anak beliau. Kami sempat beraya di rumahnya pada lewat petang.

Pada sebelah malam, kami menghadiri rumah terbuka Zamri, adik aku yang bongsu yang tinggal di Rumah Awam Bukit Beruang. Menu malam tu ialah mee goreng dan soto. Ada kuih raya dan karipap serta buah-buahan. Alhamdulillah, nampak rezeki mereka sedikit mewah tahun ini dan aku tumpang gembira.

Hari raya ke-3 aku sempat menghadiri rumah terbuka Zaki, abang ipar aku di Muar. Menu istimewa setiap tahun ialah mee bandung. Tetapi tahun ini bukan sahaja mee bandung malah ada sate dan soto. Istimewanya ada bergedil, campuran ayam dan kentang yang digoreng. Kami sekeluarga bertolak ke Muar pukul 8.30 malam dan kembali ke Melaka pukul 1.00 pagi. Esoknya aku perlu bekerja kerana tidak mendapat cuti.













Selasa, September 22, 2009

Sambutan Hari Lahir Ana, Eidlan Dan Imran

Dalam kemeriahan menyambut raya, ada juga sambutan hari lahir di rumah Mak Munah. Majlis ringkas ini agak meriah walaupun disambut secara sederhana. Kali ini majlis dibuat secara bersama iaitu hari lahir Farhana, puteri kepada Farok dan Roziah dan Eidlan dan Imran, putera kepada Zaki dan Hezrina.

Farhana menyambut ulangtahun ke-5, Eidlan kali-9 manakala Imran pula kali-11. Majlis ini dihadiri semua ahli keluarga dan sepupu mereka yang masih beraya di kampung.

Semoga semua mereka bertambah sukses dalam kehidupan.