Isnin, September 21, 2009

Sambutan Hari Raya - Hari Raya Pertama

Memandangkan tidur lewat pagi, tak sampai hati pula nak mengejutkan anak-anak dari tidur mereka. Setahun sekali bila berkumpul, masing-masing ghairah untuk berbual sesama mereka sambil bermain bunga api. Ada yang kreatif, bukan sahaja membakar bunga api malah turut membakar mercun. Aku tidak kisah asalkan jangan putus jari atau terkena mata sudahlah...

Pukul 7.00 pagi, aku dan anak-anak bersiap-siap walaupun mata agak kelat. Ada yang 'buat perangai' tidak mahu mandi. Masalah pulak kat kampung ini, air paip semakin kecil, maklumlah ramai yang pulang ke kampung halaman.

Perancangan awal aku untuk beraya di rumah emak dan ayah aku di Peringgit terpaksa ditukar kepada bersembahyang raya di Masjid Alai. Aku rasa itu yang paling penting. Kali ini agak terkejar-kejar sedikit. Selepas bersalaman dengan mak mertua aku dan adik-beradik di sebelah Ida, aku, Farok, Arif dan Alim terus ke masjid. Parking pulak penuh. Apa lagi, sumbatlah kereta kat mana-mana. Di kampung ini, kaum lelaki biasanya akan bersembahyang di masjid terlebih dahulu dan kemudian akan disusuli oleh kaum hawa. Tetapi bagi kaum hawa, hanya bersembahyang raya sahaja tanpa khutbah. Ini bagi mengelakkan berlaku kesesakan bila mana pertambahan jemaah yang pulang ke kampung.

Kira-kira pukul 8.30 pagi, sembahyang raya bermula. Kemudian disusuli dengan khutbah. Pukul 9.15 pagi, aku bergegas pulang ke rumah untuk mengisi perut.

Memandangkan dah ramai ni, masing-masing mengambil kesempatan untuk bergambar dengan ahli keluarga mereka. Yelah, setahun sekali masing-masing mengenakan pakaian baru mengikut tema warna yang dipilih.

Pukul 1.00 tengah hari, aku ke Peringgit. Lepas bersalaman dengan emak dan babah (panggilan untuk ayah aku) serta adik-beradik, kami sekeluarga dijamu dengan ketupat dan rendang. Hajat hati nak terus beraya, apakan daya mata ni dah semakin kecil. Akhirnya di depan TV, aku dan anak-anak terus terlelap. Lepas asar, aku ke rumah Mak Ngah, di sebelah rumah mak. Kali ini berbual agak lama. Lepas maghrib, aku pulang ke rumah.

Aktiviti hari pertama aku rasakan tidak mencapai seperti mana yang aku hajati tetapi ianya amat bermakna bila mana kita dapat berbual panjang dengan saudara-mara yang lama kita tidak jumpa.






0 ulasan:

Catat Ulasan