Rabu, September 16, 2009

Kacau Dodol @ Raya

Dodol sememangnya menjadi makanan tradisi turun-temurun bukan sahaja kepada sebahagian besar penduduk di Negeri Melaka malah kepada keluarga Hj. Ayup. Boleh dikatakan saban tahun aktiviti mengacau dodol akan dijalankan pada minggu-minggu terakhir di bulan Ramadhan.

Pada tahun 2009, aktiviti mengacau dodol ini telah dirancang diadakan hari Ahad, 13 September 2009 bersamaan 23 Ramadan 1430H. Sebelum dodol dikacau, bahan-bahan untuk membuatnya seperti tepung beras, kelapa, gula pasir dan gula melaka perlu disediakan. Seperti biasa, sehari sebelumnya, emak akan merendam tepung beras dan kemudian mengisarnya supaya menjadi halus. Kemudian tepung beras diperap dan ditiriskan supaya airnya 'turun'. Pada masa yang sama, kelapa akan diparut dan diambil santannya.

Bagi keluarga ini, aktiviti mengacau dodol kebiasaannya bermula seawal jam 7.00 pagi. Tetapi pada tahun, ia bermula agak lewat iaitu jam 8.00 pagi. Tungku diletakkan di bawah garaj dan kemudian kayu-kayu diletakkan di bawah tungku. Kayu-kayu ini akan dibakar agar proses mengacau dodol dapat dilaksanakan secepat mungkin. Kawah atau kuali besar diletakkan di atas tungku. Santan dan tepung beras akan dimasukkan ke dalam kawah dan dikacau menggunakan centong atau sudip panjang sehingga sebati dan naik baunya. Kira-kira sejam kemudian, gula pasir dan seterusnya gula melaka akan dimasukkan dan terus dikacau sehinggalah dodol ini menjadi likat dan melekat-lekat. Proses mengacau dodol dibuat berterusan bagi mengelakkan dodol berkerak. Biasanya, dodol cair akan dikeluarkan dan disimpan untuk dinikmati semasa berbuka puasa nanti. Mengacau dodol biasanya mengambil masa hampir 6 hingga 7 jam untuk siap sepenuhnya.

Fasa paling kritikal ialah mengacau dodol sewaktu ianya hampir likat. Sudahlah perit mata dek terkena asap dan bahang daripada api di tungku, kederat pula semakin berkurangan. Mengacau dodol di siang hari memang mencabar. Berbanding mengacau dodol di rumah mak mertua, ianya dijalankan pada sebelah malam. Biasanya pada sebelah petang bawa ke malam. Berbagai juadah lepas berbuka disediakan kepada mereka yang menjalankan tugas mengacau dodol ini.

Kira-kira jam 1.00 tengah hari, dodol sudah siap dimasak. Ianya dimasukkan ke dalam bekas-bekas plastik dan juga periuk kecil untuk disimpan. Dodol ini akan disimpan dan diagih-agihkan kepada ahli keluarga. Ia juga akan dihidangkan pada hari raya nanti.

Sebaik kerja mengacau dodol ini siap, mereka yang terlibat dengan aktiviti ini akan keletihan. Walau bagaimanapun ianya adalah proses biasa bagi mendapat semula tenaga yang hilang. Di sesetengah tempat kerja-kerja begini telah digantikan dengan mesin. Namun begitu, mengacau dodol merupakan aktiviti paling menyeronokkan dan bak kata orang Melaka, kalau tak ada dodol, tak berserilah raya...
























0 ulasan:

Catat Ulasan