Ahad, Ogos 16, 2009

Aktiviti Berkayak Listac

Sesekali beriadah memang menyeronokkan. Bukan sahaja ianya dapat mengisi masa lapang malah menjadikan tubuh kita sihat.

Sabtu, 14 Ogos 2009 berlangsungnya aktiviti berkayak anjuran Kelab Staf Perpustakaan UTeM (Listac). Aktiviti ini diadakan di Tasik UTeM berhampiran Bangunan Canselori dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Ianya adalah sebahagian program yang dirancang Listac dan juga bagi mengisi masa lapang sebelum menjelangnya Ramadan.

Kira-kira 15 orang yang terdiri daripada staf perpustakaan UTeM, ahli keluarga dan rakan-rakan mereka menyertai aktiviti berkayak ini. Antaranya yang turut hadir ialah Pengerusi Listac, Harulrizam, Setiausaha Listac, Hasliza dan Bendahari Listac, Noraini. Turut hadir memberi sokongan ialah Ketua Pustakawan, Puan Hajjah Faridah bersama dua orang anaknya.

Semua peserta perlu mengenakan jaket keselamatan sebelum dibenarkan menggunakan kayak. Dua orang staf yang aku kira daripada Unit Sukan membantu peserta terutama sewaktu mahu masuk dan keluar daripada kayak. Aku dan Arif mulanya menggunakan sebuah kayak (double) kemudian menggunakan kayak secara berasingan. Aktiviti ini memang menyeronokkan. Macam-macam kaedah kami gunakan, mulanya berkayak ke depan, kemudian berkayak secara mengundur dan macam-macam lagi.

Kira-kira pukul 10.30 pagi, kami berhenti rehat. Bekalan yang dibawa dikongsi bersama. Sambil makan, sambil berbual. Ada cadangan daripada KP supaya diadakan pertandingan kayak antara unit.

Aktiviti berkayak disambung semula dan selesai kira-kira jam 12.00 tengah hari. Aktiviti yang menyeronokkan ini aku harap dapat diadakan lagi pada masa hadapan. Bukan sahaja peserta yang menyertainya gembira dapat menyertai aktiviti ini malah dapat berkenal-kenalan dengan ahli keluarga masing-masing.






















































0 ulasan:

Catat Ulasan