Sabtu, November 01, 2008

Bilakah Masanya?















Harapan ayah dan emak untuk melihat kau berjaya pada masa hadapan...




















Semoga kejayaan abang akan mendorong kau lebih berjaya pada masa hadapan....




















Simanja ayah ni mesti mengikut jejak abang dan kakak supaya berjaya ke menara gading...



















Harapan emak melihat kau berjaya mengikut jejak abang dan kakak-kakakmu...

Majlis Khatam Quran Sempena Majlis Perkahwinan















Muhammad Arif dan Nur Arifah bersedia untuk dikompangkan.















Muhammad Arif membaca surah-surah yang telah ditentukan semasa Majlis Khatam Quran.



















Nur Arifah tekun membaca surah pada majlis tersebut.















Gambar foto semasa Majlis Khatam Quran. Majlis ini diketuai oleh Puan Hajjah Rogayah.















Pengantin baru, Zamry dan Shamizah...

Majlis Khatam Quran ini dilangsungkan di rumah atuk dan nenek kedua cucu yang khatam di Bukit Palah pada 18 Mei 2008 sempena Majlis Perkahwinan Zamry dan Shamizah, iaitu Pak Busu dan Mak Usu Muhammad Arif dan Nur Arifah. Khatam Quran bermakna telah menghabiskan 30 juzuk surah-surah di dalam Al-Quran. Guru yang membantu mengkhatamkan ialah atuknya Haji Ayup. Terima kasih Tuk!

Arkib: Arif Terima Hadiah Renang















Gambar foto ini dirakam pada 25/8/2006 di mana Muhammad Arif, putera sulungku menerima cenderamata dalam satu pertandingan renang di Kompleks Renang MBMB di Melaka. Hadiah ini merupakan satu galakan kepada beliau untuk terus maju dalam bidang sukan dan mewakili sekolah. Beliau bersekolah di SK Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, Melaka.

Mata Ayah

















Kujabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang disisi ayahnya maka akulah
Merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

Alllahyarham Dato' dr. Usman Awang

Salam Benua















I
mereka memisahkan kita
pasport visa wilayah segala tembok nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain.

II
telah saudara pilih senapang dan peluru
banyak pemimpin memilih dollarnya
untuk itu saudara membasahi baju
rumput-merah sungai-merah
tangis anak-anak
darah rakyat tertindas.

III
saudara memerah kaktus melumat batu
menjadikannya minuman makanan
gadis-gadis bekerja debu pasir dandannya
anak-anak kecil menyandang senapang
saudara menghitam langit menyelubungi
saluran minyak
setengahnya menyanyi di penjara
untuk pembebasan Palestin.

IV
kami bertatih di sawah semakin kering
petani-petani mula menebang hutan dara
permulaan kecil pada ketenangan segumpal awan
ketenangan yang di belakangnya memangkas kami
yang sedikit ini sedang belajar
dari setiap pengalaman saudara
dan pengalaman sendiri
kami memampatkan gerhana bulan mei
pada tujuan tempat
nusantara ini.

V
salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan
seluruh benua.

Alllahyarham Dato' dr. Usman Awang

Jumaat, Oktober 31, 2008

Baju Raya Ifa




















Haa..inilah baju raya paling mahal yang diminta oleh anakku, Arifah raya tahun ini. Dia ni suka bergaya dan baju kebaya ini yang paling dia suka. Takpalah...anak punya pasal, janji raya...

Khamis, Oktober 30, 2008

Hargai Masa Supaya Hidup Tidak Sia-Sia















KATA orang tua-tua, “Masa itu umpama sebilah pedang. Jika kita tidak memanggilnya maka ia akan memenggal leher kita”.

Secara ringkasnya bolehlah disimpulkan bahawa setiap detik masa yang berlalu perlu dihargai dengan sebaik-baiknya.

Jika kita tidak ambil peduli mengenai masa yang sentiasa bergerak itu, nescaya hidup kita akan mendapat susah kemudian hari kerana membiarkan masa berlaku tanpa sebarang faedah..

Dengan kata lain, jika hari ini kita mensia-siakan masa maka kita akan menyesal pada hari esok.

Mengurus masa penting dalam kehidupan seharian kita. Masa yang terlepas tidak akan datang dan yang berlalu tetap berlalu.

Menangis air mata darah sekali pun masa yang sudah pergi tetap pergi.

Justeru, hargai masa sebaiknya kerana masa itu emas.

Pentingnya menghargai masa dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan, kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.” (Surah Ibrahim ayat 33)

Melalui firman itu dapat difahami tujuan Allah membezakan antara malam dan siang adalah supaya manusia dapat membahagi-bahagikan masa untuk membuat kerja dunia dan amal ibadat sebagai bekalan di akhirat kelak.

Allah mengingatkan hambanya dalam firman yang bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk siapa yang mahu beringat (memikirkannya) atau mahu bersyukur (akan nikmatnya).” (Surah al-Furqan, ayat 62)

Dalam Islam soal pengurusan masa amat dititikberatkan supaya setiap Muslim dapat mengisinya dengan perkara berfaedah, bukan saja untuk dirinya tapi juga kesejahteraan ummah sejagat kerana Islam tidak suka penganutnya membuang masa tanpa berbuat sesuatu.

Bagaimanapun, seseorang itu tidak dapat menghargai betapa masa itu bagai emas selagi ia tidak menyedari bahaya dan kesan buruk akan diterimanya daripada sikap suka membuang masa.

Justeru, mensia-siakan masa lapang akan mendatangkan kerugian tidak ternilai dalam hidup seseorang kerana masa tak dapat diputar ke belakang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dua nikmat daripada nikmat Allah yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah sihat dan masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menghargai masa tapi membuat kerja tidak berfaedah juga tidak memberi makna.

Perbuatan seumpama itu sama saja nilainya dengan membuang masa.

Masa seharusnya dimanfaatkan untuk membuat kerja kebaikan kehidupan dunia dan akhirat.

Sehubungan itu, Nabi Muhammad SAW berpesan kepada umatnya dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Ambillah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara.

Peluang masa mudamu sebelum tuamu; peluang masa sihatmu sebelum sakitmu; peluang masa kayamu sebelum fakirmu; peluang masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan peluang masa hidupmu sebelum matimu.”

Pesan Rasulullah SAW itu jelas menunjukkan betapa perlunya masa dihargai sepenuhnya agar ia tidak terlepas begitu saja. Masa lapang, masa sihat, masa muda, masa kaya dan masa hidup yang kita nikmati saat ini tidak akan kekal selamanya jika tidak direbut dengan sewajarnya.

Esok lusa belum tentu kita ada masa lapang. Esok lusa belum pasti tubuh badan kita sihat seperti hari ini. Kita mungkin jadi miskin suatu hari nanti walau pun hari ini kita kaya.

Esok kita bertambah tua kerana usia kita terus meningkat. Kita tidak tahu bila kita akan mati. Justeru itu kita hendaklah bijak memanfaatkan masa kini agar tidak mendatangkan kemudaratan dalam hidup kita pada hari esok.

Suatu hal yang perlu disedari ialah kita tidak mampu memanjangkan usia kita.

Apa yang sudah ditentukan-Nya tidak dapat kita ubah. Akan tetapi kita mampu membanyakkan amal ibadat dengan membuang tabiat suka membuang masa tanpa melakukan perkara berfaedah.

Mulai hari ini kita hargai sepenuhnya usia dengan mengurus masa sebaik mungkin.

Memanfaatkan masa dengan kerja kebaikan untuk dunia dan akhirat adalah sebahagian daripada amalan yang sentiasa dituntut Islam.

Dipetik daripada Berita Harian, 30 Oktober 2008. Artikel ditulis oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir.