Memaparkan catatan dengan label palestin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label palestin. Papar semua catatan

Khamis, Julai 02, 2009

Majlis Amal Untuk Palestin - 'Doa Dan Harapan'

Aku sempat menghadiri Majlis Amal Untuk Palestin 'Doa dan Harapan' yang diadakan di Auditorium Canselori, Kampus Induk UTeM pada 1 Julai 2009. Majlis ini dianjurkan oleh Puspanita bersama Pusat Islam UTeM, Mawaddah dan Aman Palestin. Majlis yang bermula pada jam 2.30 petang ini berakhir pada jam 5.15 petang.

Majlis Amal Untuk Palestin 'Doa dan Harapan' ini dimulakan dengan deklamasi sajak mengenai Palestin oleh dua orang siswi UTeM. Kemudian majlis ini diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Profesor Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan, Naib Canselor UTeM.Dalam ucapannya, beliau mengajak peserta untuk melihat kembali konsep 'global village' di mana masyarakat perlu peka dengan apa yang terjadi kepada jiran-jiran Islam mereka di Timur Tengah. Beliau meminta masyarakat bersyukur dengan apa yang ada kerana bersyukur juga satu nikmat. Menurut Profesor Dr. Ahmad, rakyat Palestin yang ditindas dan diperlakukan dengan kekejaman sebenarnya inginkan tanahair mereka sendiri. Beliau mengharapkan sokongan moral rakyat Malaysia terhadap Palestin di samping bersatu hati mengutuk tindakan rejim Israel ini.

Ceramah oleh Hajjah Hashimah bt. Salleh dari Aman Palestin amat menarik. Beliau pada peringkat awalnya menerangkan peta Palestin yang besar akhirnya menjadi kecil dan terbahagi kepada dua iaitu Tebing Barat dan Gaza. Beliau juga menceritakan tentang Al-Aqsa iaitu suatu kawasan di mana Nabi Muhammad SAW naik ke langit melaluinya. Kini telah ada usaha-usaha Israel untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa dan membina kuil. Antara usaha rejim ini ialah membina terowong di bawah tanah Masjid Al-Aqsa dengan alasan mencari harta Nabi Sulaiman (King Solomon).

Aku berminat dengan kisah-kisah bagaimana rakyat Palestin yang gugur syahid dalam usaha mempertahankan tanahair mereka. Mereka yang ingin meletupkan diri juga mestilah seorang yang benar-benar menjalankan ibadat seperti berpuasa, boleh membaca Al-Quran dan sebagainya. Satu cerita yang dikisahkannya tentang seorang ibu di Palestin yang mempunyai 3 orang anak lelaki dan ketiga mereka berusaha meletupkan diri di pos pengawal Israel malangnya seorang anaknya ditangkap manakala dua lagi syahid.

Dengan suara yang nyaring dan kadangkala ada telo Kelantan, Hajjah Hashimah mengajak semua peserta agar dapat menderma seikhlas mungkin untuk membantu rakyat Palestin. Di akhir majlis, satu upacara penyerahan mock cheque bernilai RM5394.45 kepada Hajjah Hashimah selaku Pemegang Amanah Aman Palestin telah diadakan. Penyerahan dilakukan oleh Puan Sara bt. Ayub, isteri NC.

Pada akhir majlis ini ditayangkan sebuah video lakonan semula mengenai seorang wanita Palestine, Reem Riyashi yang bersiap sedia untuk meletupkan diri bagi membunuh tentera Israel di pos pengawal. Anak beliau yang berumur 4 tahun digambarkan sedang menyanyikan lagu sedih kepada ibunya dan berjanji akan mengikuti langkah ibunya suatu hari nanti. Video ini amat menyentuh perasaan para peserta.

Secara keseluruhannya majlis ini dianggap berjaya menarik peserta untuk menghadirinya. Ada juga gerai jualan dan pameran diadakan di lobi Canselori.

Dan sebelum pulang aku sempat membeli sebuah buku berjudul 'Baitul Maqdis: kesucian yang dipertahankan' yang ditulis oleh Haji Mohd. Hanif Hj. Ismail. Mudah-mudahan dengan buku ini juga dapat menarik minat aku untuk explore lebih lagi mengenainya.


Selasa, Januari 13, 2009

Forum Kekejaman Israel Terhadap Rakyat Palestin















Hari ini, Selasa 13 Januari 2008, aku berkesempatan menyertai satu forum yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka. Forum Kekejaman Israel Terhadap Rakyat Palestin ini diadakan di MITC, Ayer Keroh dan dihadiri hampir 10,000 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS, politeknik, PLKN, belia, kakitangan awam dan lain-lain lagi.

Acara dimulakan pada pukul 9.30 pagi diketuai oleh YB Datuk Idris Harun melaungkan slogan-slogan yang mengutuk penindasan Zionis ke atas Gaza. Laungan-laungan ini disambut oleh semua peserta dengan kibaran sepanduk-sepanduk seperti 'Boikot Israel', 'Hidup Palestin' dan sebagainya. Peti-peti untuk mengutip derma untuk membantu rakyat Palestin juga disediakan. Kira-kira pukul 10.30 pagi, beberapa orang ahli panel forum naik ke pentas seperti Dr. Chandra Muzaffar, Dr. Wee. Kah Siong, Tan Lian Hoe, Mukhriz Mahathir, Datuk Saravanan dan beberapa orang panel lain menyampaikan mesej keamanan dan mengutuk penindasan Israel ke atas Palestin.

Datuk Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka menggulung semua pendapat dengan menyarankan supaya negara tidak keluar daripada PBB supaya ada ruang untuk menyampaikan mesej kepada dunia. Begitu juga beliau mencadangkan supaya ada satu kuasa lain selain Amerika Syarikat bangkit untuk mengimbangi kuasa negara tersebut. Beliau juga mencadangkan supaya langkah memboikot barangan Amerika dan Israel diteruskan.

Perhimpunan ini berakhir pada jam 1.00 tengah hari dengan acara kemuncak iaitu membakar patung Ehud Olmert, Perdana Menteri Israel dan juga bendera Israel.















Sebahagian peserta bersama-sama melaungkan slogan 'Hancur, Hancur Israel'















Dr. Wee Kah Siong menyampaikan mesej keamanannya.















Pelajar-pelajar berhimpun untuk upacara membakar patung dan bendera Israel.















Acara membakar patung dan bendera Israel dijalankan di tempat letak kereta MITC.

Sabtu, November 01, 2008

Salam Benua















I
mereka memisahkan kita
pasport visa wilayah segala tembok nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain.

II
telah saudara pilih senapang dan peluru
banyak pemimpin memilih dollarnya
untuk itu saudara membasahi baju
rumput-merah sungai-merah
tangis anak-anak
darah rakyat tertindas.

III
saudara memerah kaktus melumat batu
menjadikannya minuman makanan
gadis-gadis bekerja debu pasir dandannya
anak-anak kecil menyandang senapang
saudara menghitam langit menyelubungi
saluran minyak
setengahnya menyanyi di penjara
untuk pembebasan Palestin.

IV
kami bertatih di sawah semakin kering
petani-petani mula menebang hutan dara
permulaan kecil pada ketenangan segumpal awan
ketenangan yang di belakangnya memangkas kami
yang sedikit ini sedang belajar
dari setiap pengalaman saudara
dan pengalaman sendiri
kami memampatkan gerhana bulan mei
pada tujuan tempat
nusantara ini.

V
salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan
seluruh benua.

Alllahyarham Dato' dr. Usman Awang