Memaparkan catatan dengan label Arif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Arif. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 24, 2010

Selamat Hari Lahir Arif Ke-14

Ahad, 22 Ogos 2010 bersamaan 12 Ramadhan 1431 Hijrah merupakan hari ulangtahun kelahiran Arif yang ke-14. Boleh dikatakan sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini, ulangtahun kelahirannya jatuh pada bulan Ramadhan.

Petang itu sebaik pulang dari tanah perkuburan, aku singgah di sebuah kedai kek di Semabok untuk membeli sebiji kek bagi meraikan sambutan ulangtahun kelahiran beliau.

Malam tu, selepas terawih, kami sekeluarga secara ringkas meraikan hari lahir dengan meminta beliau meniup lilin dan memotong kek harijadi. Kemudian kami masing-masing mengucapkan tahiah kepada beliau. Kali ini tiada hadiah atau cenderamata untuk Arif. Sebenarnya hadiah telah diterima lebih awal bila mana Arif meminta dibelikan sebuah telefon bimbit untuknya awal tahun ini.

Aku mengharapkan dengan bertambah umurnya, Arif akan menjadi seorang remaja yang lebih berwibawa, berketrampilan serta berjaya dalam mencapai cita-cita hidupnya.










Isnin, Ogos 31, 2009

Sambutan Hari Lahir Arif Ke-13

Sabtu, 22 Ogos 2009 bersamaan 1 Ramadan 1430 Hijrah merupakan hari pertama umat Islam berpuasa. Pada hari ini secara kebetulan merupakan ulangtahun kelahiran Arif kali ke-13. Bagi meraikan sambutan ulangtahun kelahiran beliau, aku sempat membelikan sebiji kek selepas membeli juadah di Bazar Ramadan.

Malam tu, selepas terawih, kami sekeluarga secara ringkas meraikan harijadi dengan meminta beliau meniup lilin dan memotong kek harijadi. Kemudian kami masing-masing mengucapkan tahiah kepada beliau. Ada beberapa cenderamata yang dihadiahkan oleh adik-adiknya, Arifah, Hamizah dan Alim. Kali ni awal-awal lagi Arif dah minta hadiah harijadi beliau tetapi aku tangguhkan selepas raya nanti. Hadiah yang diminta ialah sepasang kasut bola yang berjenama.

Aku mengharapkan semoga dengan bertambah umurnya, Arif akan menjadi seorang remaja yang lebih dedikasi dalam menuju hari-hari mendatang...
















Isnin, Jun 22, 2009

Arif Balik Umrah

Jumaat, 12 Jun 2009 merupakan hari yang menggembirakan aku. Arif dijangka pulang ke tanah air setelah 14 hari menunaikan umrah. Mengikut jadual, beliau dan lain-lain jemaah akan tiba dengan penerbangan Qatar Airways QR 620 pada jam 9.10 pagi. Ini adalah penerbangan dari Jeddah ke Doha dan Kuala Lumpur.

Jam 7.00 pagi, kami sekeluarga bersiap-siap untuk ke KLIA. Kami harus tiba awal sebelum kapalterbang mendarat. Aku membuat keputusan agar bersarapan ala kadar dalam kereta sahaja. Pukul 9.00 pagi, kami sampai di KLIA. Aku mencari skrin TV yang memaparkan jadual mendarat kapalterbang pelbagai syarikat penerbangan. Akhirnya mata tertumpu pada skrin pada satu sudut berhampiran balai ketibaan antarabangsa.

QR 620 - landed. Sah. Baru mendarat. Kami tidak sabar menunggu. Tunggu punya tunggu, rupanya hampir satu jam setengah baru selesai. Pukul 10.40 pagi, barulah muncul Arif, Mak Munah, Yunus dan juga Sarah. Kelakar jugak, Yunus dan Arif dah botak.

Aku memeluk Arif. Sepanjang perjalanan, Arif tidak putus-putus menceritakan pengalamannya di Mekah dan Madinah.

Akhirnya pukul 12.45 tengah hari, kami sampai di Melaka. Aku dengan Arif kemudiannya terus ke Masjid Alai untuk menunaikan solat Jumaat.

Sesungguhnya aku bersyukur kehadrat Allah SWT rombongan ini selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air dengan selamat.










Ahad, Mei 31, 2009

Arif Tunaikan Umrah

Sewaktu aku dalam perjalanan mengambil Arif di sekolah pada waktu tengah hari hari Jumaat, 29 Mei 2009 aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Hajah Munah, ibu mertuaku yang menyatakan tarikh penerbangan untuk rombongan umrah ialah esok, Sabtu, 30 Mei 2009. Aku yang tergamam bagaikan tidak percaya dengan maklumat yang aku dengar. Tapi aku memaklumkan kepada beliau, tidak mengapa kerana semua persiapan untuk Arif sudah selesai. Sebenarnya kami menjangkakan keesokan harinya iaitu hari Sabtu malam Ahad penerbangan tersebut sebaliknya dimaklumkan oleh Yunus jadual sebenar setelah beliau menelitinya.

Diam-diam aku memberitahu Ida supaya mana-mana persiapan yang tidak lengkap disegerakan. Petang itu, diadakan kenduri ringkas. Dalam pada itu bekalan makanan seperti rendang dan sambal buat mereka yang mengiringi ke lapangan terbang juga disiapkan. Dan pada sebelah malam, selepas Isyak, jiran-jiran serta ramai orang kampung Alai datang untuk bersalaman dan mengucapkan selamat kepada kedua-duanya. Sebaik azan dilaungkan, aku dapat berasa sebak kerana akhirnya Arif dapat juga mengikuti neneknya ke tanah suci. Arif bertuah kerana semasa arwah atuknya, Allahyarham Hj. Atip masih hidup, beliau ada berpesan jika Arif mendapat 5A dalam UPSR, beliau mahu Arif pergi umrah sebagai hadiahnya. Kira-kira jam 9.00 malam, kami menghantar Hajah Munah dan Arif ke KLIA. Dari sana, Yunus dan Sarah juga akan sekali mengiringi Arif dan Hajah Munah untuk sama-sama menunaikan umrah.

Pukul 12.30 tengah malam, kami berada di KLIA. Beberapa ahli keluarga yang lain juga hadir untuk mengucapkan selamat ke atas mereka. Pukul 2.30 pagi, semua penumpang yang menggunakan Qatar Airways masuk ke ruang berlepas. Aku difahamkan penerbangannya ialah pada pukul 3.35 pagi. Dan penerbangan ini akan berlepas daripada KLIA ke Doha dan dari Doha ke Jeddah. Dan pada pagi itu, aku terus balik ke Melaka.

Dan aku berdoa semoga mereka yang menunaikan umrah ini mendapat umrah yang mabrur.








Khamis, Disember 04, 2008

Arif Dapat PSP Baru














PSP berwarna biru pilihan Arif.

Seperti yang dijanjikan, pada 22 November 2008, iaitu sehari sebelum kami bertolak ke Labuan, aku dengan bantuan Farok ke Summit, USJ untuk mencari Playstation Portable (PSP) untuk Arif. Sebenarnya memang aku boleh berikan PSP ini awal lagi tetapi aku cadang menjadikannya sebagai hadiah sekiranya dia mendapat 5A dalam UPSR. Sebagai ganjaran, aku bersedia berbelanja lebih RM1,000.00 untuk menunaikan hajatnya. Memandangkan PSP yang berbentuk slim ni terhad warnanya, aku berkali-kali bertanya sama ada dia setuju dengan PSP berwarna biru ini dan akhirnya dia bersetuju memandangkan warna silver pilihannya tiada lagi stok.

Dan seperti yang aku jangkakan, alat ini tidak lepas dari genggamannya dan memandangkan keupayaan alat ini menyimpan banyak games, Arif akhirnya leka dengan 'dunia barunya'....

Sabtu, November 15, 2008

Arif Cemerlang UPSR















Pelajar yang mendapat 5A SKJDP bersorak bersama YAB Ketua Menteri Melaka.

Seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, keputusan UPSR dijangka akan diumumkan pada 13 November 2008. Seawal jam 5.30 pagi, Arif menyatakan keresahan dan tidak dapat melelapkan matanya sepanjang malam. Fikirannya melayang-layang memikirkan keputusan yang bakal diterima pagi nanti. Sebagai ayah, aku redha dengan apapun keputusan yang bakal diterima. Namun dalam hati tiada siapa yang tahu betapa aku juga gelisah menantikan keputusan itu, macam aku pula yang menduduki peperiksaan itu. Aku cuba menenangkan perasaannya dan meminta Arif supaya tidur.

Lebih kurang jam 6.00 pagi, aku bangun dan bersiap untuk ke tempat kerja. Selepas Solat Subuh, aku berdoa agar anak sulungku ini berjaya mendapat keputusan yang baik nanti. Pukul 7.15 pagi, aku, Ida, Arifah dan Arif menuju ke destinasi masing-masing menggunakan satu kereta. Pagi ni aku lewat sampai ke pejabat.

Kira-kira pukul 9.45 pagi, aku dihubungi oleh Ida. Ida memaklumkan Arif ada menelefonnya bertanyakan sama ada aku dan Ida akan datang atau sebaliknya, yelah manakan tidak semua ibu bapa sudahpun berada di dewan sekolah.

Selepas aku keluar pejabat, aku ke tempat kerja Ida untuk membawanya ke Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang (SKJDP). Sesampainya di sekolah, kami terkejut melihat ramai orang sedang berkumpul di hadapan bilik guru siap dengan bunga manggar sekali. Wah! ada apa ni? Ida menyatakan ada kemungkinan satu pengumuman tentang keputusan UPSR akan dibuat di sekolah ini dan kebiasaannya di sekolah yang mencapai keputusan terbaik.

Sebaik melangkah masuk ke dewan sekolah, aku tercari-cari di mana Arif. Rupanya dia berada bersama rakan-rakannya. Sementara menunggu ketibaan YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, guru besar SKJDP, Puan Rohana Arifin masuk ke dewan. Pemberita dan jurugambar daripada media tempatan bergegas masuk ke dewan untuk membuat liputan. Beliau dengan nada gembira dan penuh perasaan bangga serta bersyukur memulakan ucapan dan menghargai guru-guru, ibu bapa dan para pelajar yang bersama-sama bekerja keras untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Beliau juga memaklumkan SKJDP bukan sahaja dapat mengekalkan prestasi cemerlang tahun lepas malah menjadi sekolah terbaik negeri Melaka di mana bilangan yang mencapai 5A seramai 56 orang. Yang membanggakan beliau, walaupun silibus telah bertukar ke dalam Bahasa Inggeris, pencapaian tetap cemerlang.

Puan Rohana mula membacakan satu persatu nama pelajar yang mendapat 5A. Pelajar-pelajar kelihatan resah. Seorang demi seorang apabila namanya disebut bersorak riang dan ada juga yang menangis gembira mendapatkan Puan Rohana. Tiba-tiba nama Muhammad Arif disebut. Aku rasa sebak dan bersyukur bila nama itu dipanggil. Guru besar memaut kepala Arif dan memeluknya bagaikan anak sendiri. Aku lihat Ida spontan menunjukkan isyarat bagus kepada Arif yang kemudiannya sudahpun berada di atas pentas.

Setelah selesai semua nama 56 orang yang mendapat 5A disebut, jurugambar mula menemuramah pelajar-pelajar yang terpilih. Antaranya pelajar kembar 5 anak Pegawai Perundangan Negeri Melaka dan beberapa kembar lain serta seorang pelajar OKU.

Lebih kurang jam 11.30 pagi, YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam tiba diiringi Exco Pendidikan Negeri Melaka, Datuk Yaakub Md. Amin dan Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Isa Abu. Dalam ucapannya, Datuk Ali mengucapkan tahniah kepada SKJDP di atas pencapaian cemerlang tambahan lagi SKJDP ini letaknya dalam DUN Bukit Baru, DUN beliau. Beliau berharap pencapaian yang lebih cemerlang pada tahun hadapan serta tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada guru-guru sekolah yang komited.

Kira-kira jam 12.10 pagi semua pelajar yang mendapat 5A bergambar bersama Ketua Menteri di atas pentas. Selepas majlis tersebut selesai, aku meminta Arif mendapatkan semua guru yang mengajarnya dan mengucapkan ribuan terima kasih. Aku dan Ida juga tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada guru-guru terutama Cikgu Masriah Mohammad, guru kelas Arif.

Sesungguhnya aku bersyukur kehadrat Allah SWT di atas kejayaan ini dan berharap Arif tidak lalai sebaliknya terus berusaha menggapai kejayaan dalam peperiksaan yang akan datang.

Dan seperti sebelumnya, Arif menuntut janjiku, nakkan PSP, slim lagi...Yelah, ayah akan belikan untuk kau sebagai hadiah dan ganjaran di atas usaha kau tu...Sekurang-kurangnya resah kau pagi tadi tu berbaloi juga...
















Ketibaan YAB Ketua Menteri disambut serta diiringi oleh YDP SKJDP, Pengarah Pelajaran Melaka dan Puan Rohana.















YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam memuji pencapaian SKJDP dalam UPSR.















Murid-murid yang mendapat 5A bergambar di tapak perhimpunan untuk dirakam oleh media tempatan.















Pelajar-pelajar menunjukkan isyarat bagus di atas pencapaian cemerlang SKJDP.

Sabtu, November 01, 2008

Arkib: Arif Terima Hadiah Renang















Gambar foto ini dirakam pada 25/8/2006 di mana Muhammad Arif, putera sulungku menerima cenderamata dalam satu pertandingan renang di Kompleks Renang MBMB di Melaka. Hadiah ini merupakan satu galakan kepada beliau untuk terus maju dalam bidang sukan dan mewakili sekolah. Beliau bersekolah di SK Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, Melaka.

Ahad, Oktober 19, 2008

Arif Bertanding Mental Arithmetik















Ahad, 19 November 2006, Muhammad Arif menyertai Pertandingan Mental Arithmetik Peringkat 2 anjuran Aloha Mental Arithmetic Malaysia (http://www.alohama.com/). Masuk tahun ni, dah tahun ketiga dia menyertai pertandingan ni. Pertandingan diadakan di Sekolah Kebangsaan Air Keroh dan disertai oleh kebanyakan pelajar di Melaka dan Port Dickson.

Pagi ni, Nur Arifah dan Nur Hamizah sibuk nak mengikut. Tapi aku kata, tak apalah, sekurang-kurangnya, boleh gak jadi perangsang untuk dia nanti. Pukul 8.45 pagi, Muhammad Arif mendaftar untuk pertandingan ini di kantin sekolah. Aku berdoa agar pertandingan kali ini akan memberikan suatu harapan kepada Muhammad Arif, sekurang-kurangnya tersenarai dalam 30 pelajar yang menerima hadiah.

Pukul 9.45 pagi, pertandingan bermula. Sebenarnya ada 2 tahap, tahap 1 dan tahap 2. Tahap 1 dijalankan pukul 9.15 pagi. Pertandingan ini berlangsung dalam tempoh 7 minit sahaja dengan lebih 100 soalan matematik. Pemenang berdasarkan jumlah jawapan yang betul paling banyak dalam tempoh diberikan.

Pukul 12.30 tengah hari, keputusan diumumkan. Mula dengan tahap 1 dan kemudian tahap 2. Lepas seorang, seorang lagi dipanggil. Namun akhirnya tidak ada satupun tersenarai dalam nama-nama pemenang. Kebanyakan pemenang tahun ni datangnya dari sekolah-sekolah di sekitar Port Dickson seperti SK Panglima Anan dan SK Sirusa.

Takpelah Arif, ayah tak kisah. Pada ayah, itu satu pengalaman. Kejayaan mungkin bukan milik Arif kali ini, mungkin satu hari nanti. Teruskan berusaha...