Memaparkan catatan dengan label UPSR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UPSR. Papar semua catatan

Sabtu, November 15, 2008

Belajar Sambil Baring















Hazman Shahir baring di atas kerusi roda khas (kiri)

MELAKA: Biarpun dilahirkan cacat dan terpaksa menggunakan kerusi roda khas untuk ke sekolah, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat Hazman Shahir Samsulkamar Ujang, 12, dari Sekolah Rendah Arab Jaim Jelatang, Alor Gajah, dekat sini, memperoleh keputusan 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, semalam.

Dalam ujian itu, Hazman mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik, Bahasa Inggeris dan B bagi Sains.

Hazman mengalami kecacatan akibat menderita penyakit di bahagian saraf tulang belakangnya menyebabkan tumbesarannya terganggu.

Ibunya, Haslina Hassan, 36, berkata walaupun cacat, anaknya tetap mampu mengulang kaji pelajaran sejam sehari.

Katanya, anak sulung daripada empat beradik itu cekal kerana sanggup belajar sambil berbaring di atas kerusi roda khas.

“Dalam kelas, anak saya juga hanya mampu terbaring di atas kerusi roda sepanjang waktu. Anak saya tetap bersemangat untuk belajar.

“Satu perangai yang saya perhatikan, anak saya suka bertanya guru dan rakan, terutama ketika dia tak dapat hadir ke sekolah,” katanya ketika ditemui selepas mengetahui keputusan itu.

Haslina yang tidak bekerja memberi perhatian sepenuh masa menjaga anaknya itu.

Anaknya tidak pernah ke kelas tuisyen dan hanya belajar sendiri di rumah.

“Saya bersyukur dia menjadi contoh kepada adik-beradik lain. Saya menghantar dia dan menunggu hingga waktu habis sekolah untuk pulang bersama. Maknanya, saya turut bersekolah,” katanya.

Sementara itu, guru Hazman, Mohd Nasir Yusof, berkata berdasarkan rekod, murid itu tidak datang ke sekolah selama 41 hari kerana masalah kesihatan.

Bagaimanapun, kejayaannya lebih baik berbanding murid lain yang datang ke sekolah setiap hari.

“Hazman menjadi sumber inspirasi murid lain di sekolah ini untuk mencontohi kejayaannya walaupun dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).“

Ibu Hazman seorang tabah dan tak pernah jemu menunggu anaknya setiap hari bermula dari tahun satu hingga tahun enam,” katanya.


Dipetik daripada Harian Metro, 14 November 2008. Pelajar ini mendapat pujian daripada YAB Ketua Menteri Melaka semasa lawatan ke SKJDP. Insaf dengan keupayaan OKU dan ketabahan ibu bapanya...

Keputusan UPSR 2008 - Laporan Media Tempatan

Pencapaian 2008 naik 1.4 peratus berbanding 5 tahun lalu

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 diumumkan semalam lebih baik daripada purata lima tahun sebelumnya dengan 46,641 pelajar atau 9.2 peratus mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, peningkatan 1.4 peratus berbanding purata keputusan UPSR dari 2003 hingga 2007.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata nilai Gred Purata Kebangsaan (GPK) iaitu petunjuk pencapaian keseluruhan UPSR 2008 ialah 2.36 mata, lebih baik berbanding purata lima tahun lalu iaitu 2.39 mata.

Beliau berkata, calon yang mendapat minimum Gred C yang dijadikan petunjuk pencapaian baik ialah 317,404 pelajar atau 62.7 peratus, meningkat 2.2 peratus berbanding purata 60.5 peratus bagi keputusan lima tahun lalu.

Katanya, 488,567 pelajar atau 96.3 peratus melepasi gred D dan E bagi semua mata pelajaran, meningkat 0.6 peratus berbanding dari 2003 hingga 2007. Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dengan 511,367 atau 98.6 peratus adalah murid sekolah kebangsaan, manakala 7,249 atau 1.4 peratus pelajar sekolah swasta.

Alimuddin berkata, lima mata pelajaran menunjukkan peningkatan signifikan bagi peringkat cemerlang (gred A) iaitu Bahasa Inggeris 4.4 peratus, Bahasa Tamil Penulisan (4.8 peratus), Bahasa Melayu Penulisan Sekolah Kebangsaan (SK) (4.1 peratus); Bahasa Melayu Pemahaman Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (4.1 peratus); dan Bahasa Cina Penulisan (3.9 peratus).

Peningkatan prestasi mata pelajaran bagi baik hingga cemerlang (A, B atau C) pula ialah Bahasa Melayu Penulisan SJK, 3.7 peratus dan Bahasa Inggeris SK (4.8 peratus). Alimuddin berkata, bilangan pelajar menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun ini meningkat mendadak berbanding tahun sebelumnya.

Daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris. Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus menjawab Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Katanya, tahun ini tidak ada ranking sekolah atau pelajar terbaik, tetapi maklumat mengenainya boleh didapati daripada Jabatan Pelajaran negeri. "Pencapaian ini serta peningkatan prestasi mata pelajaran bahasa Inggeris ada kaitan dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) apabila guru lebih banyak menggunakan bahasa berkenaan dalam bilik darjah," katanya.

Ditanya sama ada PPSMI akan diteruskan atau sebaliknya, Alimuddin berkata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan menentukannya kerana ia berkaitan dasar yang menjadi perhatian rakyat. Ditanya kenapa sekolah dan pelajar terbaik UPSR 2008 tidak diumumkan, Alimuddin berkata pihaknya tidak berbuat demikian kerana lebih mengutamakan pencapaian pelajar daripada segi literasi. "Kita tidak mengadakan ranking sekolah atau pelajar terbaik tahun ini tetapi maklumat berkenaan boleh diperoleh daripada Jabatan Pelajaran negeri," katanya.

Dipetik Berita Harian, 14 November 2008.


Pencapaian UPSR meningkat. Peningkatan bukti keberkesanan proses pengajaran, pembelajaran

Di MELAKA, seramai 1,531 daripada 15,454 calon yang menduduki UPSR di 222 pusat peperiksaan itu tahun ini, mendapat 5A dan 7A, meningkat 87 atau 9.91 peratus berbanding pada tahun lalu. Pengarah Pelajaran negeri Isa Abu, berkata pada tahun ini juga seramai 10,190 atau 65.94 peratus daripada jumlah keseluruhan calon menduduki peperiksaan itu berjaya mencapai penguasaan minimum gred A, B dan C bagi semua mata pelajaran.

Dipetik Berita Harian, 14 November 2008.


46,641 calon dapat semua A

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bagi tahun ini, bertambah baik berbanding tempoh lima tahun sebelum ini apabila seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon memperoleh gred A dalam semua subjek yang diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd Dom, berkata keputusan itu menunjukkan peningkatan berbanding purata 7.8 peratus dalam tempoh lima tahun sebelum ini. “Pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini lebih baik daripada lima tahun sebelumnya dengan 46,641 (9.2 peratus) calon mendapat A dalam semua mata pelajaran, manakala 317,404 calon (62.7 peratus) mendapat minimum gred C dalam semua mata pelajaran.

“Seramai 488,567 calon atau 96.3 peratus daripada jumlah calon telah mencapai tahap literasi yang dikehendaki berbanding purata 95.7 peratus untuk lima tahun lalu,’’ katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Alimuddin berkata, tahun ini juga menunjukkan peningkatan mendadak bagi bilangan pelajar yang menjawab soalan bagi subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada 511,875 kertas jawapan calon, seramai 159,234 atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris berbanding hanya 1,324 pelajar tahun lalu, manakala seramai 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.“

Bagi subjek Matematik pula, 238,153 pelajar atau 46.6 peratus menjawab dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa Malaysia dan Inggeris.

Beliau berkata, peningkatan itu disebabkan faktor pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) apabila guru lebih banyak menggunakan bahasa berkenaan semasa sesi pembelajaran bagi dua subjek berkenaan.

Dipetik Harian Metro, 14 November 2008.

Arif Cemerlang UPSR















Pelajar yang mendapat 5A SKJDP bersorak bersama YAB Ketua Menteri Melaka.

Seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, keputusan UPSR dijangka akan diumumkan pada 13 November 2008. Seawal jam 5.30 pagi, Arif menyatakan keresahan dan tidak dapat melelapkan matanya sepanjang malam. Fikirannya melayang-layang memikirkan keputusan yang bakal diterima pagi nanti. Sebagai ayah, aku redha dengan apapun keputusan yang bakal diterima. Namun dalam hati tiada siapa yang tahu betapa aku juga gelisah menantikan keputusan itu, macam aku pula yang menduduki peperiksaan itu. Aku cuba menenangkan perasaannya dan meminta Arif supaya tidur.

Lebih kurang jam 6.00 pagi, aku bangun dan bersiap untuk ke tempat kerja. Selepas Solat Subuh, aku berdoa agar anak sulungku ini berjaya mendapat keputusan yang baik nanti. Pukul 7.15 pagi, aku, Ida, Arifah dan Arif menuju ke destinasi masing-masing menggunakan satu kereta. Pagi ni aku lewat sampai ke pejabat.

Kira-kira pukul 9.45 pagi, aku dihubungi oleh Ida. Ida memaklumkan Arif ada menelefonnya bertanyakan sama ada aku dan Ida akan datang atau sebaliknya, yelah manakan tidak semua ibu bapa sudahpun berada di dewan sekolah.

Selepas aku keluar pejabat, aku ke tempat kerja Ida untuk membawanya ke Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang (SKJDP). Sesampainya di sekolah, kami terkejut melihat ramai orang sedang berkumpul di hadapan bilik guru siap dengan bunga manggar sekali. Wah! ada apa ni? Ida menyatakan ada kemungkinan satu pengumuman tentang keputusan UPSR akan dibuat di sekolah ini dan kebiasaannya di sekolah yang mencapai keputusan terbaik.

Sebaik melangkah masuk ke dewan sekolah, aku tercari-cari di mana Arif. Rupanya dia berada bersama rakan-rakannya. Sementara menunggu ketibaan YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, guru besar SKJDP, Puan Rohana Arifin masuk ke dewan. Pemberita dan jurugambar daripada media tempatan bergegas masuk ke dewan untuk membuat liputan. Beliau dengan nada gembira dan penuh perasaan bangga serta bersyukur memulakan ucapan dan menghargai guru-guru, ibu bapa dan para pelajar yang bersama-sama bekerja keras untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Beliau juga memaklumkan SKJDP bukan sahaja dapat mengekalkan prestasi cemerlang tahun lepas malah menjadi sekolah terbaik negeri Melaka di mana bilangan yang mencapai 5A seramai 56 orang. Yang membanggakan beliau, walaupun silibus telah bertukar ke dalam Bahasa Inggeris, pencapaian tetap cemerlang.

Puan Rohana mula membacakan satu persatu nama pelajar yang mendapat 5A. Pelajar-pelajar kelihatan resah. Seorang demi seorang apabila namanya disebut bersorak riang dan ada juga yang menangis gembira mendapatkan Puan Rohana. Tiba-tiba nama Muhammad Arif disebut. Aku rasa sebak dan bersyukur bila nama itu dipanggil. Guru besar memaut kepala Arif dan memeluknya bagaikan anak sendiri. Aku lihat Ida spontan menunjukkan isyarat bagus kepada Arif yang kemudiannya sudahpun berada di atas pentas.

Setelah selesai semua nama 56 orang yang mendapat 5A disebut, jurugambar mula menemuramah pelajar-pelajar yang terpilih. Antaranya pelajar kembar 5 anak Pegawai Perundangan Negeri Melaka dan beberapa kembar lain serta seorang pelajar OKU.

Lebih kurang jam 11.30 pagi, YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam tiba diiringi Exco Pendidikan Negeri Melaka, Datuk Yaakub Md. Amin dan Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Isa Abu. Dalam ucapannya, Datuk Ali mengucapkan tahniah kepada SKJDP di atas pencapaian cemerlang tambahan lagi SKJDP ini letaknya dalam DUN Bukit Baru, DUN beliau. Beliau berharap pencapaian yang lebih cemerlang pada tahun hadapan serta tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada guru-guru sekolah yang komited.

Kira-kira jam 12.10 pagi semua pelajar yang mendapat 5A bergambar bersama Ketua Menteri di atas pentas. Selepas majlis tersebut selesai, aku meminta Arif mendapatkan semua guru yang mengajarnya dan mengucapkan ribuan terima kasih. Aku dan Ida juga tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada guru-guru terutama Cikgu Masriah Mohammad, guru kelas Arif.

Sesungguhnya aku bersyukur kehadrat Allah SWT di atas kejayaan ini dan berharap Arif tidak lalai sebaliknya terus berusaha menggapai kejayaan dalam peperiksaan yang akan datang.

Dan seperti sebelumnya, Arif menuntut janjiku, nakkan PSP, slim lagi...Yelah, ayah akan belikan untuk kau sebagai hadiah dan ganjaran di atas usaha kau tu...Sekurang-kurangnya resah kau pagi tadi tu berbaloi juga...
















Ketibaan YAB Ketua Menteri disambut serta diiringi oleh YDP SKJDP, Pengarah Pelajaran Melaka dan Puan Rohana.















YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam memuji pencapaian SKJDP dalam UPSR.















Murid-murid yang mendapat 5A bergambar di tapak perhimpunan untuk dirakam oleh media tempatan.















Pelajar-pelajar menunjukkan isyarat bagus di atas pencapaian cemerlang SKJDP.