Isnin, Ogos 23, 2010

Izhar Abdullah... Pergi Buat Selamanya

Semalam, 22 Ogos 2010 bersamaan 12 Ramadhan 1431 Hijrah merupakan hari yang sedih bagi aku. Izhar Abdullah, merupakan suami kepada sepupu aku yang aku panggil Lina kembali ke rahmatullah setelah dua hari bertarung nyawa dengan penyakit denggi.

Menurut cerita, Allahyarham Izhar mengalami demam sejak seminggu lalu dan telahpun dibawa ke klinik. Namun begitu, demamnya masih tidak sembuh dan dibawa ke Hospital Besar Melaka. Allahyarham dimasukkan ke wad biasa dan kemudian dimasukkan pula ke Wad ICU pada hari Jumaat.

Allahyarham dimaklumkan bahawa selain disyaki denggi, ada jangkitan pada buah pinggang. Sehari kemudian, allahyarham dikatakan koma.

Semalam, sebaik pulang bersama Arif dari membersihkan kubur nenek, aku singgah di rumah Mak Bedah. Hati aku tergerak untuk melawat allahyarham di ICU. Oleh kerana ramai pelawat, mereka yang ingin menjenguk pesakit perlu menunggu di pintu masuk wad ICU tersebut kerana hanya dua orang sahaja dibenarkan melawat pesakit pada satu-satu masa.

Pukul 1.00 tengah hari aku ke Wad ICU. Hampir 40 minit aku menunggu dan akhirnya aku dapat melawat allahyarham. Memang benar, Allahyarham Izhar koma dan hanya alat bantuan pernafasan sahaja yang mengawal pernafasannya. Aku menasihatkan Lina supaya bersabar dan meminta sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan membaca Yaasin.

Setelah kembali ke rumah Mak Bedah, lebih kurang pukul 2.30 petang, aku dimaklumkan Allahyarham Izhar telah kembali ke rahmatullah.

Petang itu selepas Asar, aku ke rumahnya di Kg. Bukit Gedong dan aku lihat ramai orang berkumpul di sana. Oleh kerana allahyarham merupakan salah seorang anggota PDRM Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, ramai rakan sekerjanya yang datang menziarahi jenazahnya. Malah rakan-rakan ini menggunakan kenderaan jenazah PDRM untuk membawa balik jenazah dari hospital dan membantu memandi dan mengkafankan jenazah tersebut.

Lebih kurang pukul 5.45 petang, selepas disembahyangkan, jenazah disemadikan di Kawasan Perkuburan Bukit Musai.

Allahyarham Izhar meninggalkan seorang balu dan seorang anak, Nabila berusia 15 tahun. Semoga roh Allahyarham Izhar cucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh...Amin!!!

Sabtu, Ogos 14, 2010

Bazar Ramadan Jasin


Selepas 24 jam tragedi berlalu, aku sempat meninjau lokasi tragedi Bazar Ramadan Jasin yang terletak di perkarangan Stadium Jasin. Masih ada saki-baki perkakasan berniaga yang tidak sempat dibersihkan.

Tinjauan di lokasi tempat berlakunya tragedi suasana agak sunyi. Sesetengah pemandu mengambil kesempatan meninjau tempat kejadian dari dalam kenderaan memandangkan hujan renyai-renyai. Ada juga peniaga yang singgah untuk mengambil perkakasan berniaga mereka.

Dan terbaru dikhabarkan lokasi Bazar Ramadan Jasin akan dipindahkan di lokasi baru iaitu berhampiran Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (PPNIN) di Bandar Baru Jasin Tiga di mana kawasan baru itu didapati lebih selamat kerana dilindungi deretan bangunan kedai dan juga bangunan PPNIN. Para peniaga dijangka boleh memulakan perniagaan mereka mulai Isnin ini.

Aku berdoa semoga tragedi begini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.


Berita Harian

Bazar Ramadan Jasin dipindah
2010/08/14

JASIN: Bazar Ramadan Jasin di perkarangan Stadium Jasin yang terjejas dilanda ribut petang semalam, akan ditempatkan dilokasi baru berhampiran Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (PPNIN) di Bandar Baru Jasin Tiga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kawasan baru itu didapati lebih selamat kerana dilindungi deretan bangunan kedai dan juga bangunan PPNIN.

"Bazar Ramadan di kawasan baru itu dijangka beroperasi pada Isnin ini selepas persiapan dibuat oleh Majlis Perbandaran Jasin dan Persatuan Penjaja Kecil Melaka daerah Jasin," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian ribut jam 5 petang semalam, dua peniaga dan seorang pengunjung terbunuh manakala 18 orang yang lain cedera dihempap khemah dan objek lain yang diterbangkan ribut kencang itu.

Dua peniaga yang terbunuh itu ialah Mahadi Mohamad, 40, berasal dari Kampung Gong Merang, Terengganu; Abdul bin Omar, 73, dari Kampung Air Merbau di sini dan pengunjung Muhammad bin Wahab, 49, dari Kampung Rim di sini.

Seramai 15 mangsa telah dibenarkan pulang manakala dua mangsa masih dirawat di Hospital Jasin dan seorang lagi di Hospital Pakar Putra dekat sini.

Semasa kejadian, seramai 56 peniaga bersama pembantu masing-masing menjalankan perniagaan di bawah 21 buah khemah bersaiz (panjang) 6.2 meter kali 6.2 meter (lebar). Mohd Ali berkata, kawasan di perkarangan Stadium Jasin tidak sesuai untuk didirikan khemah untuk peniaga kerana kawasan lapang itu dikhuatiri akan dilanda ribut lagi.

Beliau berharap keluarga yang terbabit bersabar menghadapi suasana yang sedih terutama kepada tiga keluarga yang anggota keluarga mereka meninggal dunia.

"Kerajaan negeri menghulurkan bantuan menguruskan jenazah sebanyak RM3,000 seorang dan (mangsa) yang masuk wad kritikal diberi RM1,000 seorang dan yang lain (cedera) diberi RM500 seorang," katanya.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa dan tidak pernah berlaku sehingga membabitkan kematian sejak bazar itu dibuka di situ tujuh tahun lalu.

Bercakap kepada Bernama, Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Melaka Daerah Jasin, Ahmad Ali, berkata kejadian ribut itu tidak mematahkan semangat peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka di lokasi baru.

"Ramadan masih panjang lagi, rata-rata peniaga masih berminat untuk meneruskan perniagaan mereka, lagi pun umat Islam terutama mereka yang bekerja ingin mendapatkan juadah berbuka puasa dari bazar Ramadan," katanya.

Beliau berkata peniaga akan berniaga di khemah yang lebih kecil milik masing-masing, dan persatuan akan terus membantu mereka sekiranya menghadapi masalah di lokasi baru itu. - BERNAMA


Utusan Malaysia

Bazar Ramadan Jasin dipindah ke Bandar Baru Jasin Tiga

14/08/2010

JASIN 14 Ogos – Peniaga Bazar Ramadan Jasin di perkarangan Stadium Jasin yang musnah dilanda ribut petang semalam, akan ditempatkan di lokasi baru berhampiran Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (PPNIN) di Bandar Baru Jasin Tiga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan baru itu didapati lebih selamat kerana dilindungi deretan bangunan kedai dan juga bangunan PPNIN.

"Bazar Ramadan di kawasan baru itu dijangka beroperasi pada Isnin ini selepas persiapan dibuat oleh Majlis Perbandaran Jasin dan Persatuan Penjaja Kecil Melaka Daerah Jasin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian ribut pukul 5 petang semalam, dua peniaga dan seorang pengunjung terbunuh, manakala 18 orang yang lain cedera dihempap khemah dan objek lain yang diterbangkan ribut kencang itu.

Dua peniaga yang terbunuh itu ialah Mahadi Mohamad, 40, berasal dari Kampung Gong Merang, Terengganu; dan Abdul bin Omar, 73, dari Kampung Air Merbau di sini, manakala pengunjung yang turut maut ialah Muhammad Wahab, 49, dari Kampung Rim di sini.

Seramai 15 mangsa telah dibenarkan pulang, manakala dua mangsa masih dirawat di Hospital Jasin dan seorang lagi di Hospital Pakar Putra dekat sini.

Semasa kejadian, sebanyak 56 peniaga bersama pembantu masing-masing menjalankan perniagaan di bawah 21 buah khemah bersaiz (panjang) 6.2 meter dengan 6.2 meter (lebar). – Bernama










Tragedi Bazar Ramadan di Jasin

Petang semalam aku dimaklumkan oleh seseorang tragedi Bazar Ramadan di Jasin. Menurut pemberi maklumat, seorang terbunuh dalam ribut pada hari ketiga umat Islam menyambut Ramadan.

Jadi aku cuba mendapatkan kesahihan cerita daripada media sebaik berbuka puasa. Walau bagaimanapun ada percanggahan berita di antara media tersebut terutama jumlah mereka yang meninggal dunia. Al-Fatihah buat mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut. Di sini aku abadikan laporan yang aku baca...


















BERITA HARIAN

Tragedi Ramadan

Oleh Muhammad Zaidee Daut
bhnews@bharian.com.my
2010/08/14

Tiga maut ribut di bazar jualan Jasin




JASIN: Tiga terbunuh manakala 18 cedera apabila khemah bazar Ramadan di perkarangan Stadium Jasin, di sini, roboh dan diterbangkan ribut, kira-kira jam 4.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, tiga yang maut ialah peniaga cendol, Abdul Omar, 70, dari Batu 16, Kampung Ayer Merbau, peniaga kuih, Mahadi Mohamad, 40, kelahiran Jerteh, Terengganu yang kini menetap di Batu 15 Ayer Merbau dan seorang pengunjung, Muhammad Wahab, 49, dari Kampung Rim, di sini.

Beliau berkata, Abdul meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, dipercayai dihempap palang besi khemah yang diterbangkan ribut, Mahadi meninggal di Hospital Jasin, manakala Muhammad yang juga cedera di kepala meninggal di Hospital Melaka kira-kira jam 7 petang.

Seorang daripada 18 yang cedera Zaini Rasap dihantar ke Hospital Putra di bandar raya dan selebihnya mendapat rawatan di Hospital Jasin.

Mangsa lain yang cedera yang kebanyakannya peniaga ialah Azaraie Adzahar; Rosidah Rasul; Norazli Mohd Zaid; Muhammad Amir Limat; Norizin Othman; Norizlin Othman; Nurazidah Md Aleh; Hakiki Shahrul, Norashikin Idris; Gool Muhammad Ab Latip, Jamal Hisham Yahaya; Farah Alwani Othman; Mohd Norizan Mohd Amin; Mohd Shahrul Shaharudin; Norfara Damia, Norhaizan Hussein dan Noraizam Abu Bakar.

Tiga daripada yang cedera Nurazidah dan Norhaizan dimasukkan ke wad pemerhatian, manakala Norashikin yang mengandung dimasukkan ke wad bersalin dan selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.
Ketika kejadian kira-kira 80 peniaga baru memulakan operasi dan pengunjung masih belum ramai.

Seorang peniaga kuih, Siti Nuriza Md Zin, yang terselamat berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas sehingga menyebabkan peniaga dan pengunjung tidak sempat berbuat apa-apa.

Sebelum kejadian katanya, kebanyakan peniaga sedang memasang khemah masing-masing untuk memulakan perniagaan mereka.

“Angin kencang berlaku tiba-tiba... tiada sebarang tanda ribut akan melanda. Saya sempat melihat beberapa peniaga cuba menahan khemah masing-masing tapi kebanyakannya terlepas kerana angin kencang.

“Akibatnya banyak khemah peniaga berterbangan di udara, termasuk diterbangkan angin melebihi ketinggian lampu limpah di Stadium Jasin sebelum jatuh kembali di kawasan bazar ini dan mungkin menimpa peniaga dan pengunjung hingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Ezil Maizan, bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu, tetapi sedih dengan kehilangan rakan baiknya, Abdul Omar.

“Ketika hari pertama berniaga, arwah Abdul ada memberitahu saya bahawa inilah tahun terakhir dia berniaga di bazar ini selepas 14 kali Ramadan. Ungkapan itu rupa-rupanya menjadi kenyataan pada hari ini (semalam),” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam melawat keluarga mangsa yang meninggal malam tadi.


UTUSAN MALAYSIA

3 maut, 18 cedera dipukul ribut













Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

JASIN 13 Ogos - Tiga terbunuh manakala 18 lagi peniaga cedera dalam kejadian ribut taufan di Bazar Ramadan Stadium Jasin di sini, pada hari kedua umat Islam berpuasa hari ini.

Kejadian pada pukul 4.45 petang itu berlaku ketika semua mangsa sedang sibuk membuat persiapan untuk memulakan perniagaan.

Dua peniaga yang maut ialah seorang peniaga cendol, Abdul Omar, 73, dan pembantu peniaga murtabak, Mahadi Muhammad, 39. Kedua-dua mereka cedera di kepala setelah dipercayai terkena objek keras ketika kejadian tersebut

Sementara itu, seorang pengunjung yang terbunuh ialah Muhamad Wahab, 49, dari Kampung Rim.

Saksi kejadian yang juga peniaga tebu, Izil Mazan, 61, berkata, sebelum kejadian langit gelap dengan disertai hujan renyai-renyai.

"Ketika itu kira-kira 50 peniaga di situ sedang sibuk dengan persiapan untuk memulakan perniagaan.

"Tiba-tiba sahaja kami dilanda ribut sekuat-kuatnya sehingga payung, khemah dan meja diterbangkan angin dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dalam keadaan cemas itu, dia sempat melihat sebuah khemah terbang setinggi tiang lampu dah hanya mampu melaungkan Allah berkali-kali.

Menurutnya, ribut yang berlarutan kira-kira tiga minit itu menerbangkan semua peralatan berniaga miliknya dalam sekelip mata.

Anak salah seorang peniaga yang maut, Latip Abdul, 49, berkata, dia mendapat panggilan daripada seorang rakan tentang kejadian itu di tempat bapanya berniaga.

"Saya seperti hendak pengsan apabila diberitahu kejadian ribut itu telah mengorbankan bapa dan terkejut melihat keadaan bazar Ramadan yang seperti dilanda taufan," katanya.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati, kawasan bazar Ramadan itu musnah sama sekali dengan pelbagai makanan bertaburan di atas jalan seperti baru dilanda taufan.

Selain itu, pelbagai peralatan niaga seperti, payung, kerusi, meja, periuk, bekas-bekas makanan, wang siling dan wang kertas juga bertaburan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi hari ini mengesahkan dua kematian manakala 18 lagi cedera dalam kejadian tersebut



HARIAN METRO

Tragedi pasar Ramadan

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
2010/08/14





JASIN: “Saya dapat berita ada ribut dan kerana tidak sedap hati saya terus ke tempat ayah berniaga, namun ketika dalam perjalanan (ke pasar Ramadan) saya diberitahu ayah meninggal.”

Begitu kata Latip Abdul, 49, anak kepada seorang peniaga cendol, Abdul Omar, 73, dari Batu 15, Kampung Air Merbau, Bemban, yang maut akibat dihempap besi kaki khemah tempat dia berniaga di Pasar Ramadan Stadium Jasin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, dua peniaga dan seorang pengunjung pasar Ramadan berkenaan terbunuh, dua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi beberapa jam selepas dimasukkan di hospital.

Abdul mati di tempat kejadian selepas ribut meranap dan menerbangkan keseluruhan 21 khemah besar peniaga di kawasan letak kereta di stadium berkenaan.

Pembantu gerai murtabak, Mahadi Muhammad, 39, dari Taman Maju, turut mati di tempat kejadian dipercayai terkena tapak besi kaki khemah yang diterbangkan ribut yang melanda hampir empat minit.

Pengunjung yang terbunuh dikenali sebagai Muhammad Wahab, 45, dari Kampung Rim, di sini, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka, kira-kira jam 7.15 malam. Kejadian itu mengakibatkan 17 lagi termasuk pengunjung cedera.

Menurut Latip, dia mendapat panggilan jam 5 petang memaklumkan kejadian ribut berlaku di tempat bapanya berniaga menyebabkannya bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sepanjang perjalanan dengan memandu bersendirian dari Ayer Merbau, angin bertiup kencang sehingga dia tiba di Taman Maju keadaan mula tenang.

“Saya dapat panggilan daripada rakan mengatakan ayah meninggal dunia akibat ribut itu. Sejurus tiba di Pasar Ramadan itu hujan makin lebat dan saya terkejut apabila melihat semua khemah berterbangan serta makanan yang dijual berselerakan.

“Saya tidak menyangka kejadian ribut berlaku seteruk itu. Saya turun dari kereta dan pergi ke kawasan tempat ayah berniaga, namun diberitahu ayah dihantar ke hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Jasin, malam tadi.

Latip berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu kecuali sebelum ini dia beria-ia mahu berniaga cendol, biarpun ahli keluarga menasihatinya supaya tidak menjalankan perniagaan kerana usianya sudah tua dan tidak berapa sihat.

“Namun, arwah tetap mahu meneruskan perniagaannya di pasar Ramadan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan ketika kejadian, Abdul berada di sebuah gerai lain membeli makanan.

Namun, dia dihempap khemah besar yang menjadi tempat pelindung peniaga di situ ketika berlaku angin kencang.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Zarina Hassan, 33, yang juga majikan kepada Mahadi, berkata ketika kejadian dia dan Allahyarham membungkus murtabak apabila keadaan cuaca bertukar mendung, sebelum angin bertiup kencang lalu menerbangkan khemah di hadapan mereka berniaga.

Katanya, dia yang panik terus lari menyelamatkan diri dan mendengar Mahadi memanggil namanya, tetapi ketika itu berada di hadapan.

“Apabila menoleh saja ke belakang, saya lihat dia terlantar dengan kepala dan mulutnya berdarah.

“Saya amat terkejut serta takut. Dia tidak bercakap dan bergerak kerana keadaannya amat parah ketika itu,” katanya sambil memberitahu jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Jasin.

Peniaga, Mohd Abd Latip, 56, berkata sebelum kejadian angin bertiup dengan kencang sebanyak dua kali, namun tiupan terakhir terus menerbangkan semua khemah yang ada di pasar Ramadan itu sehinggakan empat daripadanya didakwa melayang setinggi tujuh meter menyamai ketinggian lampu limpah di stadium berhampiran.

“Saya amat takut ketika itu, dan kedengaran orang menjerit serta berlari lintang-pukang sambil dia menyelamatkan diri. Saya sempat melihat khemah itu diterbangkan begitu tinggi kerana angin bertiup sangat kencang ketika itu,” katanya.


KOSMO

Bazar Ramadan dilanda ribut, dua peniaga maut.




















JASIN – Dua peniaga bazar Ramadan di Stadium Jasin di sini maut akibat ditimpa payung gerai yang berterbangan setinggi tiang lampu 40 meter dalam kejadian ribut semalam.

Mereka yang terkorban dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu ialah seorang peniaga cendol, Abdul Omar, 73, dan Mahadi Mohamad, pembantu kedai martabak.

Mereka terkorban akibat hentakan batang besi payung gerai yang berterbangan.

Selain dua mangsa yang terkorban, seorang lagi peniaga parah dan 18 lagi cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, ribut selama kira-kira tiga minit itu melanda pada pukul 4.45 petang semasa 23 peniaga di bazar itu sedang menyiapkan juadah masing-masing untuk dijual.

“Ribut tanpa hujan itu terlalu kencang sehingga semua barang berterbangan dan ramai peniaga rebah,” katanya.

Jurucakap polis itu memberitahu, kejadian ribut kencang itu adalah yang pertama kali berlaku dan terburuk di daerah ini.

Sementara itu, seorang peniaga, Norhafizah Shiraj, 24, berkata, ribut itu datang secara tiba-tiba tanpa hujan.

“Saya yang sedang menjual char kuey teow tidak dapat berpaut pada apa-apa menyebabkan saya terjatuh ditolak angin,” kata Norhafizah

Jelasnya, kejadian itu sangat menakutkan kerana ramai yang menjerit-jerit apabila semua barang berterbangan.


The Star
Saturday August 14, 2010

Storm kills two in Malacca

Two people were killed and two others seriously injured in a freak storm at a Ramadan bazaar in Malacca.

In Jasin, flying debris during a freak storm hit traders who were about to set up stalls for the break fast crowd next to the Jasin sports complex. Malacca has been hit by several incidents of flash floods, including a minor landslide, in recent weeks.


Sinar Harian
Sabtu 14-8-2010

Ribut di bazar Ramadan

JASIN – Tiga orang meninggal dunia, manakala 17 lagi dilaporkan cedera apabila ditimpa khemah berikutan ribut kuat di Bazar Ramadan dekat Stadium Jasin, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, turut menyebabkan lebih 50 khemah gerai yang didirikan peniaga berterbangan dibawa angin kencang.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mahadi Muhamad, 40, peniaga di Bazar Ramadan itu dan Abdul Omar, 70, yang juga peniaga, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, seorang lagi, Muhammad Wahab, 45, yang merupakan pengunjung meninggal dunia kira-kira 7 malam selepas dibawa ke Hospital Jasin akibat kritikal.

Sementara 17 lagi yang terdiri daripada peniaga dan pengunjung dilaporkan cedera dan dikejarkan ke Hospital Jasin bagi rawatan lanjut.

Kejadian ribut itu juga menyebabkan kira-kira 100 peniaga ‘berputih mata’ apabila makanan jualan mereka habis berselerak ditiup angin kuat berserta hujan lebat.

Difahamkan, sewaktu kejadian, bazar Ramadan itu sesak dengan orang ramai yang sibuk membeli-belah juadah berbuka puasa.

Seorang pembeli ditemui, M.G Balakrisnan, 40, berkata, sewaktu kejadian dia baru sahaja tiba di pasar Ramadan itu, sebelum dikejutkan dengan angin kencang.

“Tiba-tiba angin kuat, semua khemah bergegar dan sekali datang macam angin puting beliung. Khemah yang ada semua terbang ditiup angin kuat.

“Makanan pula habis bersepah dan begitu ramai cedera. Sekelip mata sahaja kejadian ni berlaku,” katanya.

Sementara itu, sebahagian besa peniaga yang ditemui melahirkan rasa sedih dan mengharapkan bantuan segera daripada pihak kerajaan.

Peniaga, Mohamad Ismail, berkata kejadian yang menimpa itu membuatkan ramai peniaga kecewa dan hilang mata pencarian.

“Saya minta sangat-sangat Kerajaan Negeri prihatin dengan nasib kami di sini. Cukup banyak barang yang rosak dan membuatkan kami rugi.

“Mohon tubuhkan tabung bencana untuk hulurkan bantuan kepada kami,” katanya.

Bagi peniaga Norhisham Sabun, 33, berkata, dia berniaga di situ sepenuh masa dan tidak tahu lagi di mana tempat untuk berniaga dengan barang-barang sudah rosak.

“Tolonglah kami di sini. Hari Raya dah nak dekat, sumber pendapatan kami tergugat macam ini.

“Kami amat mengharapkan simpati Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan bebanan kami di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Hidhir Hasan yang melawat ke tempat kejadian berjanji akan membawa perkara itu ke peringkat pimpinan negeri.

“Kita akan runding dengan pihak negeri apakah langkah segera mungkin untuk membantu peniaga-peniaga di sini.

“Saya sungguh terkejut dengan kejadian yang berlaku ini melihat barang peniaga habis rosak, makanan bersepah dan saya akan segera membawa perkara ini ke pengetahuan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Hospital Jasin, semalam mendapati ramai ahli keluarga datang menziarah dan tidak ketinggalan pemimpin kawasan Jasin.

Antaranya, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah; ADUN Serkam, Datuk Ghazale Mohamed dan ADUN Sungai Rambai, Hasan Abdul Rahman.



New Straits Times

Three killed as winds lash bazaar
2010/08/14
By B. Suresh Ram and Noor Hazwan Hariz Mohd
news@nst.com.my
























JASIN: Three people were killed and 17 others injured after strong winds toppled tents and canopies at a Ramadan bazaar here yesterday.
The incident occurred at 4.40pm at the Jasin stadium here as traders were preparing for business at the 80 stalls set up for Ramadan.

Strong gusts of winds wreaked havoc at the bazaar housing 22 canopies. Utensils and other items went flying, as people, mostly traders, ran helter-skelter to avoid the flying objects.

However, two traders and a passer-by died in the incident which was over in less than a minute.

Jasin district police chief DSP Che Suza Che Hitam said the dead were Mahadi Mohamad, 40, from Kg Gong Nering, Jertih, Terengganu; Abdul Omar, 73, from Kampung Air Merbau, Bemban, Malacca; and Muhammad Wahab, 45 of Kampung Rim, Jasin.

A canopy stand smashed into the victims' faces killing Abdul on the spot while Mahadi succumbed to his injuries at the Jasin Hospital.

Wahab, a customer at the bazaar, suffered serious injuries and was transferred to Malacca Hospital where he died at 7.10pm.

The others received outpatient treatment at the Jasin Hospital.

Murtabak seller Safarin Rosli, 32, recalling the incident, said when the strong winds hit the stalls, there were few customers. He said many there were traders who were getting ready for business.

The father of three said that Mahadi had come from Jertih on Aug 7 to assist him at his murtabak stall.

He said when the strong winds stuck, he was holding on to a container of murtabak, whereas Mahadi was holding on to the canopy stand.

"When I turned around, he was lying on the ground face down. When I turned him around, I saw the left side of his face had been damaged," he said.

Safarin said he and several other traders managed to send Mahadi to the hospital but he died soon after.

Another trader, Mohd Shahrul Shahruddin, 30, who injured his back, said he was retrieving a fallen outdoor umbrella when he saw an elderly woman trapped under one of the canopies which had fallen on her.

"The wind only lasted about 40 seconds but the canopy flew as high as 500m," he said.


Video Tragedi:





Laporan TV1, Astro Awani dan TV3

Ribut Kencang Melanda UTeM

Petang semalam sewaktu menyiapkan tugas-tugas di pejabat, tiba-tiba aku dengar bunyi angin yang begitu kuat di samping hujan turun dengan lebat. Sesekali bunyi guruh diikuti kilat sabung-menyabung. Tidak pernah fenomena begitu terjadi sejak berpindah ke bangunan baru di Kampus Induk, Durian Tunggal.

Aku lantas melihat jam di tangan. Waktu itu pukul 4.35 petang. Aku mula berfikir bagaimana untuk mengambil kenderaan yang terletak di tempat letak kereta yang jaraknya lebih kurang 40 meter di belakang bangunan perpustakaan. Pada masa yang sama aku juga berfikir bagaimana untuk sampai ke SRA Jalan Datuk Palembang untuk mengambil Ifa bimbang jika aku terlewat disebabkan hujan lebat.

Pukul 5.10 petang, aku melihat ramai staf yang masih tidak pulang terutama bagi mereka yang menunggang motosikal. Nasib baik aku menyimpan sekaki payung di pejabat dan aku gunakannya untuk meredah hujan lebat. Walaupun berpayung, habis basah baju dan seluar disebabkan angin kencang. Payung yang aku bawa pun hampir ditiup angin dan aku segera masuk ke dalam kereta.

Sepanjang perjalanan, aku memandu dengan berhati-hati. Di kiri kanan jalan, air bertakung dan jika pemanduan tidak cermat, pasti mengundang musibah. Akhirnya aku sampai di sekolah agama jam 6.20 petang dan Ifa sudahpun menunggu aku.

Alhamdulillah, yang penting semuanya selamat....

Khamis, Ogos 12, 2010

Ramadhan Bulan Istimewa

Orang yang berpuasa bukan sahaja berpuasa zahir iaitu tidak makan dan minum tetapi juga menahan segala perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa seperti mengumpat dan membuat kezaliman. Sekiranya kita hanya mengambil pengertian umum puasa itu, maka jadilah puasa itu sebagai ‘adat’ yang perlu dilakukan setahun sekali.

Puasa sedemikian memberi kesan positif pada jasad sahaja kerana ia mampu meningkatkan kesihatan tetapi tidak memberi input pada roh dari segi ketaqwaan. Sedangkan kejadian manusia terdiri dari jasad dan roh yang perlu ada keseimbangan antara satu sama lain.

Puasa itu merupakan benteng pertahanan dalaman yang dapat menolak segala arus-arus yang boleh membawa kepada keburukan dan maksiat seperti penzinaan, mengumpat, memaki hamun dan sebagainya. Justeru, umat Islam dituntut membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain yang boleh mempertingkatkan keimanan seseorang.

Rasulullah saw pernah bersabda dalam hadith Qudsi yang bermaksud :

“Tiap-tiap amalan anak Adam ialah satu kebajikan bersamaan sepuluh balasan pahalanya membawa kepada 700 kali ganda”.

Daripada hadith ini, dapat difahami bahawa Allah SWT akan memberi balasan pahala dengan berterusan hingga melebihi daripada 700 kali ganda banyaknya sekiranya puasa dilakukan dengan penuh ketaqwaan dan keredhaan dan
Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Melainkan puasa bahawasanya puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya”.

Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Baqarah 261 bermaksud :

“... Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya...”.


Istimewa

Antara kelebihan Ramadhan yang tidak ada pada bulan-bulan lain ialah malam Lailatul Qadar. Malam ini amat penting dan ditunggu-tunggu kerana ketika ini setiap amalan dan doa dimakbulkan dan ibadat sepanjang malam mendapat ganjaran pahala seperti beramal 1000 bulan (83 tahun tiga bulan).

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar malam Lailatul Qadar tidak diketahui. Pendapat yang paling masyhur ialah pada 10 Ramadhan terakhir. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw sendiri menghabiskan 10 hari terakhir Ramadhan dengan beribadah di masjid.

Mengapa tarikh sebenar malam ini tidak diberitahu kepada manusia? Tujuannya adalah untuk mendorong kita supaya sentiasa beramal, bukan menanti hari tertentu sahaja dan sebagai pengajaran kepada kaum muslimin supaya sentiasa berusaha mengerjakan amal soleh bagi memenuhi tuntutan hidup dunia dan akhirat.

Ketibaan Ramadhan sepatutnya disambut dengan penuh keinsafan dan ada persiapan minda untuk mengabdikan diri kepada Ilahi bagi merebut ganjaran pahala. Malah mereka yang mengerti kelebihan bulan ini mengharapkan ianya berlaku sepanjang tahun. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Apabila datang Rasulullah dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan diikat syaitan”.

Hadith di atas merupakan satu dorongan kepada kaum muslimin supaya berusaha melakukan amal soleh dan berlumba-lumba membuat kebajikan semata-mata mencari keredhaan Allah. Oleh itu dapat menghindari perbuatan-perbuatan yang dirangsang oleh syaitan.

Sumber: JAKIM.

Rabu, Ogos 11, 2010

Bertugas Sebagai Pepandu Graduan

Sudah sedekad Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ditubuhkan. Kini UTeM mengadakan Konvokesyen Ke-6 yang diadakan pada 7 dan 8 Ogos 2010. Sejumlah 7,256 orang graduan telah dihasilkan oleh IPTA Ke-14 ini.

Aku dan beberapa orang rakan lagi telah dilantik sebagai Pepandu Graduan di mana kami bertanggungjawab menguruskan graduan daripada khemah susunan hingga ke dalam dewan.

Bagi aku ini merupakan amanah universiti yang perlu dipikul setahun sekali. Tahun ini ada muka-muka baru yang bersama-sama memikul amanah ini seperti Shahrul, Khairul, Mahathir dan Mohd Adznan. Muka-muka lama yang masih setia selain aku ialah Sopian, Mahadir, Nawawi dan Hisamudin.

Setiap tahun ada sahaja rungutan daripada pengurus acara. Graduan berjalan terlalu cepatlah, terlalu lambatlah, pelajar tidak ada nama dalam sistem dan sebagainya. Semuanya kami telan sahaja dengan kebijaksanaan masing-masing membuat keputusan. Yang penting majlis berjalan lancar untuk semua sesi.

Begitulah kerja....





Paparan Konvokesyen Ke-6 UTeM Dalam Akhbar

BERNAMA Web - 7 Ogos 2010

Dua Graduan Aktif Bersukan Terima Anugerah Pelajaran Diraja.






















MELAKA, 7 Ogos (Bernama) -- Dua penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang aktif dalam bidang sukan dan persatuan, membuktikan mereka juga mampu meraih kecemerlangan dalam bidang akademik.

Mohd Nor Irman Sulaiman, penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pengkalan Data) dengan kepujian, dan Kwan Wai Loon, penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan (Bahan Kejuruteraan) dengan kepujian, hari ini dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Mohd Nor Irman, aktif dalam sukan kayak manakala Kwan aktif dalam Taekwondo, masing-masing pernah mewakili UTeM ke pelbagai peringkat pertandingan.

Mereka menerima anugerah tersebut daripada Canselor UTeM yang juga Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada Majlis Konvokesyen UTeM ke-6 di Durian Tunggal dekat sini, pada hari Sabtu.

Pada konvokesyen selama dua hari bermula hari ini, seramai tiga graduan menerima ijazah doktor falsafah, 51 graduan menerima ijazah sarjana, 1,083 graduan menerima ijazah sarjana muda dan 271 menerima diploma.

Pada majlis itu, bekas Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan Sains manakala bekas Pengerusi Eksekutif Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Salleh Sulong dianugerah Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan Teknologi.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Nor Irman, 24, dari Kuching, Sarawak, berkata kecergasan fizikal dan mental adalah faktor penting yang banyak membantu kepada pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.

"Bagaimana pun kita mesti pandai membahagikan masa untuk aktif dalam bersukan dan tumpuan kepada akademik," katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Kwan, 24, dari Klang, Selangor pula berkata seseorang mahasiswa itu perlu bijak menguruskan masa kerana ia merupakan penentu kepada pencapaian bidang kurikulum dan kokurikulum.

"Keluarga dan rakan-rakan banyak membantu dalam pencapaian saya pada hari ini," katanya yang memegang tali pinggang hitam dalam sukan tersebut.

Mohd Nor Irman, anak seorang pesara tentera dan Kwan, anak seorang jurutera, masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.56. - BERNAMA



Metro Ahad - 8 Ogos 2010

Awal tetap sasaran

Oleh AHMAD SAUFI MANSOR

MELAKA: “Saya memang tidak gemar melakukan kerja saat akhir kerana ia pernah membuatkan saya jatuh sebelum berusaha bangkit kembali untuk mengejar cita-cita belajar hingga ke peringkat paling tinggi untuk mencapai taraf doktor falsafah.”

Begitu kata graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data), Mohd Nor Irman Sulaiman, 24, yang juga penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di sini, semalam.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia pernah berasa kecewa apabila keinginannya untuk belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih di negara ini tidak menjadi kenyataan apabila sekadar mampu menempatkan diri di institusi bertaraf kolej.

Menurutnya, perasaan kecewa itu menebal kerana turut menyangka UTeM yang ketika itu bertaraf kolej universiti adalah kolej swasta pada peringkat awal.

“Bagaimanapun, sebaik melangkah kaki masuk ke sini, baru saya menyedari perkara sebenar sebelum memasang iltizam dan tekad untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran selain jangan terlalu cepat berputus asa dalam apa jua keadaan.

“Malah, anugerah (Pelajaran Diraja) diperoleh ini juga satu kejutan buat diri saya kerana ada ramai lagi pelajar lebih hebat di segi akademik, sebaliknya hanya mensasarkan Hadiah Industri.

“Alhamdulillah, atas sokongan dan dorongan keluarga, akhirnya saya memperoleh kejayaan diidamkan dengan menerapkan disiplin tidak melakukan kerja-kerja pada saat akhir,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkenaan, di sini, semalam.

Seramai 1,408 graduan membabitkan tiga graduan doktor falsafah, sarjana (51), sarjana muda (1,083) dan diploma (271) menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob yang juga Canselor UTeM.

Pada majlis sama, mantan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sains manakala bekas Pengarah Urusan DRB-Hicom Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) yang kini dikenali sebagai UTeM, Tan Sri Mohd Saleh Sulong turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Teknologi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin; Pro Canselor UTeM, Tan Sri Dr Johari Mat; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Ahmad Yusof Hassan.

Mohd Nor Irman yang kini menyambung pengajian ke peringkat sarjana bagi jurusan sama di UTeM menyifatkan setiap individu yang ingin berjaya dalam pelajaran perlu menetapkan sasaran dengan lebih awal.



New Straits Times - 8th August 2010

'Evaluate progress of pupils first'
By B. Suresh Ram, Rozanna Latiff and Eileen Ng

MALACCA: An evaluation standard needs to be put in place by the government to appraise the academic achievements of primary school pupils before any move to abolish the Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) examination is made, said former education minister Tan Sri Musa Mohamad.

He said the move should also be on balance with the need to establish a mechanism to evaluate the co-curriculum progress of the pupils.

Musa said this was necessary to ensure that the first six years of schooling contributes to the pupils' education before their move to secondary school.

"For me, a standard evaluation from these two aspects needs to be put in place to ensure the pupils are not left behind compared with others," he said after the sixth convocation of Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) here yesterday.

Musa, who was also University Sains Malaysia vice-chancellor for 13 years prior to his appointment as education minister in 1999, said there were 10,000 primary schools in the country. "Out of this, not all can be evaluated merely through exams."

At the convocation, Musa was conferred an honorary doctorate in science management while former DRB-Hicom managing director Tan Sri Mohd Saleh Sulong received a doctorate in technology management from UtEM Chancellor Tan Sri Mohd Khalil Yaakob.

Saleh said he was impressed with the growth of UTeM, which he left two years ago. He had served as the chairman of the university's board of directors when it was established as Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia in 2000 and in the initial years after it was conferred university status in 2007.

A total of 1,408 graduates at the doctorate, masters, degree and diploma levels received their scrolls.



Utusan Malaysia - 9 Ogos 2010

Aktif sukan resipi utama dua graduan cemerlang UTeM
















Mohd Nor Irman Sulaiman (kiri) bersama Kwan Wai Loon ceria menunjukkan anugerah yang diterima pada Majlis Konvokesyen Keenam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Kampus Induk Durian Tunggal, Melaka, kelmarin.

MELAKA 8 Ogos - Penglibatan aktif dalam sukan dan aktiviti kokurikulum merupakan rahsia kejayaan dua graduan yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sempena Majlis Konvokesyen Keenam UTeM di Kampus Induk Durian Tunggal di sini, semalam.

Mohd. Nor Irman Sulaiman, 24, yang berasal dari Kuantan, adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Komunikasi manakala Kwan Wai Loon, 24, dari Selangor pula merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan.

Mohd. Nor Irman yang merupakan anak kedua daripada empat beradik menganggap penglibatan aktif dalam sukan dan persatuan di universiti banyak membuka minda.

"Selain konsisten semasa belajar dan memberikan tumpuan dalam kuliah, penglibatan aktif dalam sukan dan persatuan turut membantu saya.

"Dengan penglibatan itu, fikiran saya tidak tertekan kepada pelajaran semata-mata sebaliknya minda kita akan lebih baik," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu di sini, kelmarin.

Mohd. Nor Irman yang juga Naib Presiden Persatuan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi universiti itu berkata, apabila melibatkan pembelajaran, dia sememangnya memberi tumpuan penuh.

Selain itu katanya, dia mempunyai tiga rahsia yang membawa kejayaannya iaitu jangan putus asa, yakin pada diri sendiri dan tidak mengikut tingkah laku kawan yang kurang yakin pada diri sendiri.

"Saya tidak sangka mendapat anugerah tertinggi. Terima kasih kepada tenaga pengajar yang memberi tunjuk ajar yang sempurna kepada saya," katanya yang kini menetap di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Wai Loon turut sependapat bahawa penglibatan aktif dalam sukan dan persatuan di universiti antara penyumbang utama kepada kejayaannya.

Dia yang juga pemegang tali pinggang hitam sukan taekwondo menambah, penglibatan dalam kedua-dua aktiviti tersebut banyak membantunya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

"Dalam kita memberi tumpuan kepada pembelajaran dan kuliah, aktiviti sukan dan berpersatuan turut membantu meningkatkan keupayaan kita," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Kedua mereka itu adalah antara 1,408 graduan dengan tiga daripadanya menerima ijazah doktor falsafah, 51 sarjana, 1,083 sarjana muda dan 271 lagi diploma.

Turut hadir, Tun Canselor UTeM yang juga Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Pro Canselor, Tan Sri Dr. Johari Mat dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan.

Terdahulu, bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sains manakala bekas Pengerusi Eksekutif DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Saleh Sulong pula mendapat Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Teknologi.