Memaparkan catatan dengan label Ramadan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadan. Papar semua catatan

Khamis, Ogos 12, 2010

Ramadhan Bulan Istimewa

Orang yang berpuasa bukan sahaja berpuasa zahir iaitu tidak makan dan minum tetapi juga menahan segala perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa seperti mengumpat dan membuat kezaliman. Sekiranya kita hanya mengambil pengertian umum puasa itu, maka jadilah puasa itu sebagai ‘adat’ yang perlu dilakukan setahun sekali.

Puasa sedemikian memberi kesan positif pada jasad sahaja kerana ia mampu meningkatkan kesihatan tetapi tidak memberi input pada roh dari segi ketaqwaan. Sedangkan kejadian manusia terdiri dari jasad dan roh yang perlu ada keseimbangan antara satu sama lain.

Puasa itu merupakan benteng pertahanan dalaman yang dapat menolak segala arus-arus yang boleh membawa kepada keburukan dan maksiat seperti penzinaan, mengumpat, memaki hamun dan sebagainya. Justeru, umat Islam dituntut membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain yang boleh mempertingkatkan keimanan seseorang.

Rasulullah saw pernah bersabda dalam hadith Qudsi yang bermaksud :

“Tiap-tiap amalan anak Adam ialah satu kebajikan bersamaan sepuluh balasan pahalanya membawa kepada 700 kali ganda”.

Daripada hadith ini, dapat difahami bahawa Allah SWT akan memberi balasan pahala dengan berterusan hingga melebihi daripada 700 kali ganda banyaknya sekiranya puasa dilakukan dengan penuh ketaqwaan dan keredhaan dan
Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Melainkan puasa bahawasanya puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya”.

Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Baqarah 261 bermaksud :

“... Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya...”.


Istimewa

Antara kelebihan Ramadhan yang tidak ada pada bulan-bulan lain ialah malam Lailatul Qadar. Malam ini amat penting dan ditunggu-tunggu kerana ketika ini setiap amalan dan doa dimakbulkan dan ibadat sepanjang malam mendapat ganjaran pahala seperti beramal 1000 bulan (83 tahun tiga bulan).

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar malam Lailatul Qadar tidak diketahui. Pendapat yang paling masyhur ialah pada 10 Ramadhan terakhir. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw sendiri menghabiskan 10 hari terakhir Ramadhan dengan beribadah di masjid.

Mengapa tarikh sebenar malam ini tidak diberitahu kepada manusia? Tujuannya adalah untuk mendorong kita supaya sentiasa beramal, bukan menanti hari tertentu sahaja dan sebagai pengajaran kepada kaum muslimin supaya sentiasa berusaha mengerjakan amal soleh bagi memenuhi tuntutan hidup dunia dan akhirat.

Ketibaan Ramadhan sepatutnya disambut dengan penuh keinsafan dan ada persiapan minda untuk mengabdikan diri kepada Ilahi bagi merebut ganjaran pahala. Malah mereka yang mengerti kelebihan bulan ini mengharapkan ianya berlaku sepanjang tahun. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Apabila datang Rasulullah dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan diikat syaitan”.

Hadith di atas merupakan satu dorongan kepada kaum muslimin supaya berusaha melakukan amal soleh dan berlumba-lumba membuat kebajikan semata-mata mencari keredhaan Allah. Oleh itu dapat menghindari perbuatan-perbuatan yang dirangsang oleh syaitan.

Sumber: JAKIM.

Selasa, September 01, 2009

Harapan Ramadhan- Raihan



Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna.

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula.

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti.

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan.

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua.


Isnin, Ogos 31, 2009

Persiapan Mendapat Berkat Ramadan













Bagaikan menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh mukmin di pelusuk dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkan ketika Syaaban, Rasulullah mengajar sahabat doa: “Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap:

Tahap terbaik (khusus al-khusus)

Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasanya.

Khusus

Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri dari maksiat batin.

Umum

Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa juga perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin.

Antara punca yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam hari ini masih berada pada tahap kedua dan ketiga disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama walaupun menyedari sedang berpuasa. Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah dengan sepenuhnya dan makan serta tidur yang berlebihan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan Allah akan mengampuni dosanya yang lalu” (riwayat Muslim).

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatan-mu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (riwayat Bukhari).

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dilaksanakan, kita perlu memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan berkat ini. Antaranya ialah:

Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.

Beriktikaf dalam masjid terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

Usah terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh sepanjang bulan ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah fardu dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mengharap keberkatan dan pahala yang berlipat ganda dari Allah Taala. Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.

Sumber: http://nurjeehan.hadithuna.com