Rabu, Ogos 11, 2010

Majlis Konvokesyen Ke-6 UTeM

Majlis Konvokesyen Ke-6 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan 7 dan 8 Ogos 2010 di Dewan Besar UTeM, Kampus Induk, Durian Tunggal.

Seramai 1,408 orang graduan menerima anugerah masing-masing daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob selaku Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Daripada jumlah tersebut, seramai 271 orang graduan menerima diploma, 1,083 orang menerima Sarjana Muda, 51 orang pula menerima Sarjana dan 3 orang menerima Doktor Falsafah.

Pada majlis tersebut, bekas Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Saleh Sulong menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Teknologi manakala Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sains pula dianugerahkan kepada mantan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad.

Bagi Anugerah Pelajaran Diraja, dua orang graduan yang menerima anugerah tersebut ialah Mohd Nor Irman Sulaiman dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Kwan Wai Loon dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKM).

Majlis penganugerahan diploma dan ijazah berlangsung dalam tiga sesi. Sehingga kini jumlah graduan yang telah dihasilkan oleh UTeM adalah seramai 7,256 orang.






















Pesta Konvokesyen Ke-6 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Pesta Konvokesyen Ke-6 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan dari 6 hingga 8 Ogos 2010 di Tapak Pesta Konvo di Kampus Induk, Durian Tunggal. Pesta konvokesyen ini adalah bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-6 UTeM yang telah diadakan di Dewan Besar UTeM. Tema pesta kali ini ialah Sedekad UTeM : Melestari Inovasi Teknikal.

Banyak acara telah disusun bagi memeriahkan lagi Pesta Konvokesyen ke-6 ini. Ia juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan UTeM. Program ini adalah anjuran bersama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Majlis perasmian Pesta Konvokesyen UTeM ini disempurnakan oleh Pro Canselor UTeM, Tan Sri Dr. Johari bin Mat pada jam 3.30 petang, 6 Ogos 2010. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan universiti.

Menurut Dekan HEPA, Engr. Prof. Dr. Marizan Sulaiman program ini diadakan bagi meraikan bakal-bakal graduan yang akan menerima ijazah dan diploma mereka di Dewan Besar UTeM pada 7 dan 8 Ogos di samping mengeratkan lagi hubungan masyarakat kampus dan masyarakat luar supaya mengenali dengan lebih dekat pembelajaran yang ada di UTeM ini, memupuk mahasiswa dalam menguruskan program yang besar dan menjana mahasiswa yang berkepimpinan dan mahir berinteraksi dengan berkesan.

Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan pada pesta konvokesyen ini ialah acara payung terjun oleh Komando VAT69 yang telah diadakan pada jam 4.00 petang, 6 Ogos 2010.

Selain itu turut diadakan demo jenayah ragut, pameran asset dan peralatan PDRM, cabaran teh tarik, pertandingan gubahan bunga, pertandingan mewarna, roket air, pertandingan menghias kek, pertandingan kereta remote, mini funfair, pertandingan interaktif, paintball, street soccer, sukan air, eco-challenge, jelajah pencarian mutiara, konsert amal yang menampilkan Nazrey Johani, Hijjaz, Hafiz Hamidon dan Nash pada malam 6 Ogos 2010.

Diadakan juga Forum Bicara Ad-Din yang bertajuk “Membangunkan Masyarakat Maju Melalui Al-Quran dan Sains”. Panel terdiri dari Dr. Jamnul Mulkan dan Prof. Dr. Mohd Arif Hj. Kasmo dan ianya telah diadakan pada jam 9.00 malam, 7 Ogos 2010.

Pertandingan akhir Karnival Dondang Sayang peringkat IPTA merupakan acara terakhir program Pesta Konvokesyen UTeM di mana ia diadakan pada jam 8.00 malam, 8 Ogos 2010. Artis jemputan ialah Noraniza Idris.

Sempena dengan Pesta Konvokesyen Ke-6, satu majlis Pra-Pelancaran Pesta Konvokesyen ke-6 UTeM telah diadakan di Pentas Mydin Mall MITC, Melaka pada 31 Julai 2010. Ia dianjurkan oleh Biro Aktiviti & Penyelarasan Program Pesta Konvokesyen ke-6 UTeM. Ia diadakan dari jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam.

Acara-acara menarik yang diadakan sepanjang hari tersebut ialah pertandingan pidato kecil, pertandingan mewarna, pertandingan suara klasik, persembahan orkestra UTeM, persembahan ghazal UTeM dan persembahan kumpulan gendang UTeM.

Pesta Konvokesyen Ke-6 UTeM ini secara keseluruhan kurang menarik pengunjung berkemungkinan dijalankan serentak dengan Jom Heboh anjuran TV3 yang diadakan di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka.





























Berehat Sebentar di Tapak Pesta Konvokesyen UTeM

Pukul 11.00 pagi, kami para pepandu graduan bergerak ke Tapak Pesta Konvokesyen Ke-6 yang terletak kira-kira 50 meter daripada Dewan Besar.

Aku, Sopian, Mahadir, Nawawi dan Hisamudin adalah antara petugas konvokesyen yang sudah agak lama dengan tugas pepandu graduan. Kini ada muka-muka baru seperti Shahrul, Khairul, Mahathir dan Mohd Adznan.

Tugas pepandu graduan ialah memandu graduan untuk masuk ke dewan, menyusun, menarik keluar graduan daripada susunan untuk dibawa ke pentas dan memastikan pergerakan graduan semasa di pentas teratur.

Kami menjamu selera di salah sebuah gerai. Makanan yang kami pesan antaranya nasi ayam, nasi goreng dan mee goreng basah. Sambil menjamu selera, kami berbual-bual mengenai hal-hal semasa di universiti.

Pukul 11.45 pagi, selesai menikmati makanan, kami bersalaman dan terus beredar. Aku kembali ke pejabat untuk meneruskan tugas seharian aku.



Raptai Penuh Majlis Konvokesyen Ke-6, UTeM

Raptai Majlis Konvokesyen Ke-6, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan di Dewan Besar UTeM pada hari Jumaat, 6 Ogos 2010.

Aku sebagai salah seorang petugas konvokesyen hadir di lokasi pada jam 9.00 pagi sebaik selesai bersarapan. Sewaktu aku sampai, separuh dewan sudahpun dipenuhi bakal-bakal graduan untuk mendengar taklimat konvokesyen daripada Encik Nizam Pavel, Pengerusi Jawatankuasa 10 iaitu berkaitan dengan pengurusan graduan.

Taklimat ini penting bagi memastikan majlis konvokesyen nanti berjalan dengan lancar. Bayangkan untuk mengawal pergerakan graduan seramai 1408 orang dan melibatkan 3 sesi ini bukan mudah. Bakal graduan perlu berdisiplin dan mengikuti peraturan semasa konvokesyen nanti kerana majlis ini penuh protokol.

Aku sempat mendengar arahan-arahan yang diberikan oleh Encik Nizam kepada para graduan antaranya para graduan diminta kemas, tidak berambut panjang bagi lelaki, berkasut, tidak dibenarkan membawa kamera, tidak boleh membawa beg tangan bagi perempuan dan macam-macam lagi. Bukan apa, majlis konvokesyen ini untuk mereka juga tetapi kalau mereka sendiri tidak mahu beri kerjasama, sukarlah nanti perjalanan majlis.

Beberapa orang graduan daripada beberapa kursus disebutkan nama mereka untuk beratur di dewan tersebut. Mereka perlu swipe kad alumni pada petugas sistem sebelum bergerak mengikut tanda-tanda X di lantai sehinggalah menerima ijazah/diploma mereka.

Perjalanan raptai berjalan lancar dan tamat pada jam 11.00 pagi.











Arif Menyertai 3rd Leg SportExcel Junior Swimming Circuit

Jumaat, 6 Ogos 2010. Hari ini Arif bertolak ke Cheras untuk menyertai Grand Final 3rd Leg SportExcel-Milo-NSC-ASUM Junior Swimming Circuit yang telah diadakan di Kompleks Renang Kuala Lumpur, di Bandar Tun Razak, Cheras pada 7 dan 8 Ogos 2010. Kali ini pertandingan dianjurkan oleh Kuala Lumpur Amateur Swimming Association (PRAKL).

Pada jam 4.30 petang, Ida menghantar Arif ke Pangsapuri Sri Siantan di mana semua peserta yang mewakili Kelab Rakan Akuatik Remaja berkumpul. Mereka kemudian menaiki beberapa buah kenderaan untuk ke sana.

Pertandingan kali tidak menampakkan hasil yang begitu baik. Boleh dikatakan kelima-lima acara yang ditandingi Arif melewati masa terbaik yang pernah dicatatkan oleh dirinya sebelum ini.

Dalam acara 50 meter backstroke, Arif mencatat masa 1:12.63 saat namun kiraan masanya tidak diambilkira disebabkan faktor lewat mendaftar. Oleh itu beliau mendapat kedudukan terahir daripada 53 orang peserta yang mengambil bahagian.

Dalam acara 100 meter breaststroke, masa yang dicatatkan ialah 2:08.92 saat dan menduduki tempat ke-57 daripada 60 peserta. Dalam acara 50 meter butterfly pula, Arif menduduki tempat ke-56 daripada 59 peserta yang bertanding dengan masa 59.37 saat. Bagi acara 100 meter butterfly, masa dicatatkan ialah 1:58.58 saat dan menduduki tempat ke-71 daripada 72 orang peserta.

Dalam acara 50 meter breaststroke, catatan masa beliau ialah 54.93 saat dan hanya mampu menduduki tempat ke-71 daripada 86 peserta. Acara terakhir yang disertai oleh Arif ialah acara 50 meter free style di mana Arif mendapat tempat ke-91 daripada 96 peserta dengan catatan masa 49.99 saat.

Arif sewaktu balik memaklumkan kepada aku catatan masanya kali ini tidak begitu baik. Aku mengangguk dan memahami situasi beliau. Katanya kali ini banyak kekecohan berlaku daripada masa nak bergerak ke Cheras hinggalah balik.

Sebagai bapa aku hanya mampu memberikan dorongan. Selebihnya usaha beliau sendiri.