Isnin, Mei 03, 2010

Kereta Tersangkut Di Tanah Lembut

Dalam kegembiraan untuk menghadiri majlis pertunangan Norhayati-Ridhwan, kereta Honda CRV milik salah seorang peserta rombongan pihak lelaki terbenam di tanah lembut di sebelah kiri jalan masuk ke rumah Hj. Ayup, hanya beberapa meter dari lokasi majlis.

Kejadian berlaku apabila kenderaan tersebut yang sepatutnya berpatah balik dengan cara mengundur sebaliknya mengambil jalan mudah memasuki sebelah kiri lorong yang bertanah lembut dengan harapan dapat berpatah semula ke jalan utama dengan segera. Akhirnya kedua tayar sebelah hadapan kenderaan tersebut terbenam di dalam lumpur.

Aku dan beberapa orang ahli keluarga yang lain bergegas ke tempat kejadian untuk membantu. Setelah memberikan pendapat dan menawarkan pertolongan untuk menolak keluar kereta dari kawasan lembut, pemilik kenderaan tersebut tidak bersetuju sebaliknya ingin mendapatkan perkhidmatan tarik kereta. Beliau sibuk menelefon ke sana dan sini dengan harapan mendapat perkhidmatan dengan segera. Malangnya syarikat yang dihubunginya yang terletak di Terendak hanya mampu memberikan perkhidmatan jika bersetuju menunggu sejam.

Akhirnya, Zamri, adik aku yang bekerja di Bengkel Honda di Semabok yang pada mulanya buat-buat bodoh, kemudian memberikan cadangan supaya menggunakan jek kereta. Akhirnya selepas dijek dan diletakkan beberapa ketul batu di bawah tayar kereta, kenderaan tersebut dapat dikeluarkan dari kawasan tanah lembut.

Kadang-kadang aku berfikir orang yang berkereta mewah ni hanya pandai bergaya sahaja tetapi pendek akalnya. Dan aku dimaklumkan Zamri, tiada ucapan terima kasih dari si pemilik kenderaan, barangkali masih memikirkan kenderaannya yang sudahpun kotor. Kata orang tua-tua, orang berbudi kita berbahasa...


Upacara Menyarung Cincin Pertunangan

Upacara menyarung cincin pertunangan oleh ibu Ridhwan ke jari manis Norhayati dirakamkan pada jam 5.20 petang, 1 Mei 2010 di sebuah bilik yang dikhaskan di bahagian tengah rumah bentuk Melaka ini.

Sebentuk cincin emas dikeluarkan daripada kotaknya oleh bakal mertuanya lalu disarungkan ke jari beliau dengan disaksikan oleh kaum keluarga terdekat dan rakan-rakan sambil merakamkan detik manis tersebut menerusi kamera masing-masing. Detik manis ini berlangsung dalam tempoh kira-kira 2 minit.





Hantaran Di Majlis Pertunangan

Ini adalah barang-barang hantaran Ridhwan kepada Norhayati















Ini pula barang-barang hantaran Norhayati kepada Ridhwan












Majlis Pertunangan Norhayati-Ridhwan

Sabtu, 1 Mei 2010 merupakan cuti sempena Hari Pekerja. Seawal jam 8.30 pagi persiapan untuk majlis pertunangan sudah dimulakan. Masing-masing menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Ada yang memasak rendang, air minuman, cendol dan kuih-muih yang kebanyakannya disumbangkan oleh sanak-saudara dan jiran-jiran.

Kira-kira pukul 3.30 petang, Norhayati, anak kesepuluh dalam keluarga Ayup sudahpun dipersiapkan oleh mak andam. Dan seperti yang dijanjikan sewaktu merisik dulu, akhirnya majlis pertunangan menjadi kenyataan. Pukul 5.00 petang, rombongan pihak lelaki yang menaiki tujuh buah kereta tiba dari Selandar.

Sebaik sampai, para tetamu dijemput naik ke rumah dan barang-barang hantaran berserta sebentuk cincin pertunangan diletakkan di hadapan wakil kedua pihak. Wakil pihak perempuan memulakan perbincangan dengan mengalu-alukan kedatangan rombongan dari pihak lelaki.

Kemudian kedua pihak meneruskan perbincangan berkaitan hal pertunangan. Di antara butir-butir perbincangan yang dapat aku rakamkan ialah tempoh pertunangan selama setahun di mana sekiranya tempoh masa ini ingin dipanjang atau dipendekkan, kedua belah pihak lelaki dan perempuan boleh berbincang semula.

Majlis kemudian diteruskan di mana ibu kepada Ridhwan kemudiannya menyarungkan sebentuk cincin ke jari manis Norhayati. Rakan-rakan dan kaum keluarga kedua belah pihak berpusu-pusu merakamkan foto tersebut.

Sebaik selesai, bacaan doa selamat dibacakan oleh wakil pihak lelaki sebagai tanda kesyukuran. Tetamu kemudian dijemput menikmati juadah di khemah tetamu yang disediakan di halaman rumah. Pukul 6.15 petang, rombongan lelaki berangkat pulang dengan hantaran balas dari pihak perempuan.

Majlis pertunangan Norhayati dan Ridhwan ini dihadiri kaum keluarga terdekat dan jiran-jiran. Walaupun majlis ini ringkas tetapi ianya meriah.