Memaparkan catatan dengan label Yati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Yati. Papar semua catatan

Isnin, Mei 03, 2010

Majlis Pertunangan Norhayati-Ridhwan

Sabtu, 1 Mei 2010 merupakan cuti sempena Hari Pekerja. Seawal jam 8.30 pagi persiapan untuk majlis pertunangan sudah dimulakan. Masing-masing menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Ada yang memasak rendang, air minuman, cendol dan kuih-muih yang kebanyakannya disumbangkan oleh sanak-saudara dan jiran-jiran.

Kira-kira pukul 3.30 petang, Norhayati, anak kesepuluh dalam keluarga Ayup sudahpun dipersiapkan oleh mak andam. Dan seperti yang dijanjikan sewaktu merisik dulu, akhirnya majlis pertunangan menjadi kenyataan. Pukul 5.00 petang, rombongan pihak lelaki yang menaiki tujuh buah kereta tiba dari Selandar.

Sebaik sampai, para tetamu dijemput naik ke rumah dan barang-barang hantaran berserta sebentuk cincin pertunangan diletakkan di hadapan wakil kedua pihak. Wakil pihak perempuan memulakan perbincangan dengan mengalu-alukan kedatangan rombongan dari pihak lelaki.

Kemudian kedua pihak meneruskan perbincangan berkaitan hal pertunangan. Di antara butir-butir perbincangan yang dapat aku rakamkan ialah tempoh pertunangan selama setahun di mana sekiranya tempoh masa ini ingin dipanjang atau dipendekkan, kedua belah pihak lelaki dan perempuan boleh berbincang semula.

Majlis kemudian diteruskan di mana ibu kepada Ridhwan kemudiannya menyarungkan sebentuk cincin ke jari manis Norhayati. Rakan-rakan dan kaum keluarga kedua belah pihak berpusu-pusu merakamkan foto tersebut.

Sebaik selesai, bacaan doa selamat dibacakan oleh wakil pihak lelaki sebagai tanda kesyukuran. Tetamu kemudian dijemput menikmati juadah di khemah tetamu yang disediakan di halaman rumah. Pukul 6.15 petang, rombongan lelaki berangkat pulang dengan hantaran balas dari pihak perempuan.

Majlis pertunangan Norhayati dan Ridhwan ini dihadiri kaum keluarga terdekat dan jiran-jiran. Walaupun majlis ini ringkas tetapi ianya meriah.


















Ahad, Februari 28, 2010

Majlis Merisik Yati

Pada 28 Februari 2010, jam 3.30 petang, rumah Hj. Ayup dikunjungi beberapa orang lelaki dan wanita dengan menaiki van. Mereka sekeluarga daripada Selandar, Melaka. Enam orang semuanya. Kehadiran keluarga ini dialu-alukan oleh tuan rumah, Hj. Ayup, Mak Bedah dan beberapa orang anaknya dengan menjemput mereka ke ruang tamu rumah berkenaan. Masing-masing memperkenalkan ahli rombongan dan kemudian berbual-bual kosong bertanyakan itu dan ini mengenai perjalanan tadi. Turut hadir ialah Tok Sidang Selandar. Akhirnya wakil pihak lelaki memulakan hajat kedatangan mereka.

"Beginilah..kami datang ni ada hajat..ingin merisik Yati..," jelas wakil lelaki.

"Norhayati.." sampuk Hj. Ayup atau Babah di kalangan anak-anaknya, membetulkan sebutan nama Yati, anak ke-10 daripada 12 orang adik-beradik itu.

"Kalau tidak ada yang punya, kami berhasrat untuk memancang tuan punya diri," balas wakil berkenaan.

Akhirnya Babah memandang kepada aku dan meminta aku bercakap bagi pihak beliau. Aku mengangguk tanda setuju walaupun peringkat awal aku ingin Babah sendiri yang bercakap sebagai tanda hormat.

"Seperti tuan puan sedia maklum, buat masa ini Yati ini masih belum ada yang punya...," balas aku kembali.

Beberapa perkara dibincangkan secara ringkas seperti jumlah hantaran dan tarikh pertunangan. Kedua belah pihak setuju untuk mengadakan perbincangan lanjut selepas daripada kunjungan tersebut.

"Kalau begitu, kita setuju, tarikh pertunangan ialah pada 1 Mei 2010, lepas Asar..," balas wakil lelaki.

Kedua pihak mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan tarikh dan masa yang ditetapkan wakil pihak lelaki itu.

"Di sini kami ada membawa cincin merisik...," jelas wakil berkenaan sambil menunjukkan sebentuk cincin di dalam bekasnya.

Ibu kepada pihak lelaki akhirnya menyarungkan cincin merisik ke jari manis Yati sebagai tanda bermulanya satu ikatan dengan Mohd Ridhwan Abdul Jalil, bekas rakan sekolahnya.

Doa selamat dibacakan oleh wakil pihak lelaki sebagai tanda kesyukuran di atas sempurnanya majlis ringkas tersebut.

Akhirnya rombongan tadi dijamu dengan hidangan yang disediakan sebelum berangkat pulang pada jam 4.30 petang. Mak Bedah mengirim sebakul buah-buahan dan sebiji kek sebagai tanda mata untuk dibawa pulang rombongan tadi.