Ahad, Disember 07, 2008

Hari Kedua Dan Ketiga Di Labuan















Financial Park, Labuan.

24 November 2008. Hari ini merupakan hari kedua berada di Pulau Labuan. Oleh kerana keletihan, kami bangun agak lewat. Selepas check-out di Kondominium Beta yang dihuni semalaman, aku ke Kondominium Alpha pula, iaitu kediaman Yunus.

Memandangkan belum ada apa-apa perancangan yang hendak dibuat hari ini, aku mengambil keputusan membawa anak-anak ke kolam renang. Sememangnya bila cuti-cuti begini, kalau merancang menginap di hotel, kami akan memilih hotel yang ada kemudahan kolam renang. Pukul 11.00 pagi, Arif, Arifah, Miza, Alim, Hana, Haris, Danish dan Lokman semuanya sudah berada di kolam renang. Setelah hampir 2 jam, semuanya sudah kelaparan. Masing-masing naik semula ke bilik dan makan tengah hari. Pukul 3.30 petang, kami ke Pasar Filipina di Bazar Labuan. Cuaca tidak begitu baik. Hujan renyai-renyai. Mak Munah, Ida dan Roziah sibuk memilih aksesori seperti gelang, rantai dan lain-lain lagi. Yelah, kalau ada anak perempuan, memang semuanya nak dipakaikan. Tetapi kenalah pilih aksesori yang paling cantik sesuai dengan harganya.

25 November 2008. Hari ini merupakan hari ketiga kami di sini. Aku tidak merancang apa-apa aktiviti cuma menunggu kalau-kalau Ida ada perancangannya sendiri. Selepas makan tengah hari dan selepas solat Zuhur, kami ke Bazar Labuan sekali lagi, maklumlah aktiviti kami semalam terganggu disebabkan hujan dan kebanyakan kedai di bazar ini ditutup awal. Lagipun jarak bazar ini dengan tempat menginap lebih kurang 5 minit perjalanan dengan kereta. Kami singgah di New Store dan beberapa kedai menjual kain. Kemudian kami ke memilih beberapa aksesori perhiasan dan juga kemeja-T Labuan.

Memandangkan esok, kami akan berangkat ke Brunei Darussalam, kami singgah di Terminal Feri untuk membeli tiket. Sarah, Ida dan Mak Munah membeli tiket, aku tunggu di dalam kereta. Selepas membeli tiket feri, kami singgah di kedai duty free untuk membeli coklat. Membeli-belah begini kadang-kadang memang seronok, semuanya nak dibeli. Bukan apa, balik nanti nak bagi saudara-mara ‘buah tangan’.

Pukul 4.00 petang, aku membawa anak-anak ke kolam renang lagi. Semuanya sudah tidak sabar nak berendam. Sebelah malam, kami ke pusat membeli-belah yang terletak beberapa meter dari tempat kami menginap di Financial Park.















Kolam renang di kondominium















Melayan anak-anak di kolam renang.















Financial Park dari kolam renang.















Alim di kolam renang.















Suasana dalam bilik Beta.















Pemandangan bandar Labuan dari kondominium.















Dari kiri Lokman, Haris, Ifa, Arif dan Danish.















Hana dan Alim.















Rantai mutiara antara aksesori yang dijual di Bazar Labuan.















Ida dan Mak Munah memilih aksesori yang dijual.















Aksesori yang berbagai warna menambat hati pengunjung.















Deretan kedai di Bazar Labuan.















Bazar Labuan yang terletak di Jalan OKK awang Besar















Ida dan Roziah sedang memadankan warna aksesori dengan pakaian.















Lagi pemandangan bandar Labuan dari kondominium.















Pemandangan kolam renang dari atas kondo.















Pemandangan Masjid Labuan dari bilik.















Financial Park sibuk pada hari bekerja.















Pemandangan sekitar bandar Labuan.



















Alim dengan Miza bergambar di Jalan OKK Awang Besar.















Salah sebuah kedai menjual pakaian di bandar Labuan.















Bandar Labuan.

Khamis, Disember 04, 2008

Hari Pertama Di Labuan















Kondominium Alpha tempat kami menginap

Ahad, 23 November 2008. Sebaik sahaja keluar daripada terminal, aku SMS kepada Roziah agar memaklumkan kepada Sarah yang kami sudahpun menunggu mereka. Roziah, Mak Munah, Nek Ikin, Farhana dan Farhan tiba sehari lebih awal daripada penerbangan kami.

Lebih kurang 10 minit menunggu, dua buah kereta sampai. Honda Odyssey yang dipandu oleh Yunus ditumpangi Roziah, Mak Munah, Nek Ikin, Farhana dan Farhan manakala Honda Accord yang dipandu oleh Sarah ditumpangi anak-anaknya. Setelah meletakkan beg-beg ke dalam kereta, aku memandu kereta Honda Odyssey.

Perjalanan dari terminal ke rumah Yunus di Financial Park, Labuan mengambil masa lebih kurang 8 minit sahaja. Memandangkan semua ahli keluarga masih belum bersarapan, kami dibawa oleh Yunus ke Choice Restaurant, sebuah restoran mamak. Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Ada yang makan roti canai, ada yang makan nasi goreng dan ada juga yang memesan mee goreng. Masing-masing sibuk bercerita hal masing-masing di antara satu sama lain sementara menunggu pesanan. Aku nampak kemesraan di antara ahli keluarga semakin terjalin.

Selepas bersarapan, kami melawat New Store, sebuah gedung pakaian di Jalan OKK Awang Besar. Mak Munah, Roziah, Nek Ikin dan Ida dibawa oleh Sarah untuk melihat dan memilih kain-kain yang agak berjenama, berkualiti dan murah berbanding di Semenanjung. Dekat sejam juga proses memilih dan tawar-menawar. Orang perempuan memang macam tu, rambang mata...Aku tunggu kat luar aje walaupun dah dua kali aku masuk ke gedung tu tapi proses pemilihan masih berjalan dengan lancar. Pukul 12.30 tengah hari, sebaik sahaja selesai, kami dibawa bersiar-siar di sekitar Pulau Labuan.

Pulau ini dihuni lebih kurang 90,000 orang penduduknya dan komuniti ini biasanya saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Labuan diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 dan juga diisytiharkan sebagai International Offshore Financial Centre pada 1 Oktober 1990. Aktiviti utama di pulau ini ialah perbankan antarabangsa pesisir pantai, kilang-kilang besi, penghasilan jubin, kilang tepung dan juga bekalan dari luar. Oleh kerana kebanyakan aktiviti-aktiviti ini, Labuan dihuni juga oleh bukan orang tempatan Labuan yang bekerja di sini.

Kami singgah ke Pusat Jualan Kenderaan untuk melihat sendiri harga-harga kereta yang dijual di Labuan. Memang benar, harganya lebih murah berbanding harga kereta di Semenanjung bagi kereta-kereta terpakai. Suasana di pulau ini tenang kerana tidak banyak kenderaan dan tidak sesibuk seperti di Kuala Lumpur. Seperkara yang kita perlu tahu ialah harga barang di sini sedikit mahal berbanding harga di Semenanjung dan masanya juga berbeza. Kalau pukul 6.00 pagi, di sini sudah agak cerah kerana menerima sinaran matahari lebih awal berbanding di Semenanjung.

Pukul 2.30 petang, kami ke rumah sewa Yunus yang lama. Khabarnya Yunus baru sahaja sehari berpindah ke kondominium di Financial Park. Pukul 3.30 petang, Sarah mencadangkan kami menikmati ais kacang di medan selera di belakang bangunan Financial Park.

Pukul 4.00 petang, kami ke kondominium Yunus di Tingkat 10, Bangunan Alpha, Financial Park. Di sini mudah untuk membeli-belah kerana di bawah bangunan ini terletaknya beberapa pasar raya seperti Parkson dan Giant selain gerai-gerai jualan seperti telefon dan lain-lain lagi. Kami berehat dan bersiap untuk makan malam.

Pukul 8.00 malam, kami dibawa ke Anjung Ketam di Tanjung Aru untuk menikmati makanan laut. Di Sabah, makanan laut dikatakan murah dan sedap. Anjung Ketam ni merupakan gerai-gerai makanan laut yang dibina di atas air berhampiran pantai. Suasana dingin terasa dengan angin sepoi-sepoi bahasa menerjah ke tubuh kami. Pelbagai juadah disediakan seperti ketam rebus, udang goreng butter, udang goreng sambal, ikan bakar dan bermacam lagi.

Lebih kurang satu setengah jam kami di Anjung Ketam, kami pulang jam 9.30 malam. Yunus menyediakan kami dengan sebuah kondominium yang disewa di Bangunan Beta tetapi Sarah tidak bersetuju kerana tidak dapat berbual panjang dengan ahli keluarga. Oleh kerana sudah disewakan, kami ke kondominium tersebut untuk satu malam sahaja. Dan malam ini pastinya kami tidur lena kerana semuanya sudah keletihan.















Bersarapan di Choice Restaurant



















Ida, Alim, Farhana dan Miza bergambar kenangan.















Selepas menikmati ais kacang di medan selera.















Udang goreng sambal















Pelbagai juadah disediakan di Anjung Ketam.















Menikmati makan malam.















Yunus, Sarah dan Lokman.















Aku dan Ida menikmati juadah yang disediakan.















Leka menghabiskan makanan..















Danish, Arifah, Haris dan Arif.















Raif Farhan, anak Roziah dan Farok.















Miza dan Alim memberikan pose istimewa selepas makan malam.















Pemandangan di sekitar bandar Labuan dari tingkat 10 kondominium.

Penerbangan Air Asia AK5176 Ke Labuan















Suasana di dalam pesawat AK5176

Sebaik sahaja pintu bilik menunggu ke pesawat dibuka, semua penumpang diminta beratur untuk disemak boarding pass dan juga dokumen pengenalan diri masing-masing. Walaupun pada boarding pass tercatat nombor tempat duduk penumpang namun situasi sebenarnya ianya free seating. Rasa macam naik bas pula...

Selepas disemak oleh petugas lapangan terbang, kami bergegas ke pesawat untuk mendapatkan tempat duduk. Kalau boleh, dapat duduk berdekatan dengan semua ahli keluarga bagi memudahkan berkomunikasi. Penerbangan awal pagi ni tidaklah penuh pesawat. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk sampai ke Labuan. Aku melihat jam tangan. Pukul 7.35 pagi dan pesawat mula bergerak perlahan-lahan ke landasan dan seterusnya meninggalkan LCCT.

Pukul 9.40 pagi, pesawat yang kami naiki sudahpun menghampiri Labuan. Pesawat mendarat pada jam 9.50 pagi, iaitu awal 10 minit daripada waktu yang dijadualkan. Kami terus ke ruang bagasi untuk mengambil bagasi masing-masing. Inilah pengalaman pertama aku berkunjung ke Labuan, salah sebuah pulau dalam Negeri Sabah, negeri di bawah bayu...















Aku, Ifa dan M
iza















Ifa sedang menjamu selera















Miza juga kelaparan, tidak sempat bersarapan pagi. Ada botol susu lagi...















Arif juga tidak melepaskan peluang untuk mengisi perut.















Alim, anak bongsu yang menjadi bodyguard ibunya.















Menunggu bagasi di Lapangan terbang Labuan.















Ifa dan Miza sedang berbual kosong sementara menunggu bagasi.

Bertolak Ke LCCT, Sepang Untuk Ke Labuan















Suasana awal pagi di LCCT Sepang

Hari ini Ahad, 23 November 2008. Seawal jam 4.00 pagi, kami bangun dan berkemas untuk ke LCCT Sepang. Oleh kerana flight kami jam 7.30 pagi dan check-in harus sekurang-kurangnya 2 jam dari waktu penerbangan, kami harus bergegas ke LCCT. Manakan tidak, nak berkemaskan anak-anak, satu hal. Oleh kerana semua terlalu excited untuk menaiki kapalterbang, proses mengejutkan anak-anak dari tidur agak mudah. Pukul 5.00 pagi, setelah menjamah sedikit roti buat alas perut, kami memasukkan semua beg ke dalam kereta. Aku memandu kereta dari Putra Height, rumah Roziah, melalui Plaza Tol USJ dan keluar melalui Plaza Tol KLIA. Memandangkan pada waktu pagi begini tidak banyak kenderaan, kereta yang aku pandu sampai di LCCT pada jam 5.40 pagi. Selepas kami mengeluarkan semua beg dari dalam kereta, aku meminta Farok memandu kereta balik semula ke Putra Height. Farok, suami Roziah, juga akan Labuan pada hari Rabu, 26 November 2008.

Setibanya kami di LCCT, suasana agak 'meriah' kerana terlalu ramai penumpang yang sedang menguruskan hal masing-masing. Ada yang sedang mengangkut barang ke dalam mesin pengimbas dan ada juga sedang beratur untuk check-in. Mungkin mereka juga seperti kami yang sedang merancang percutian di destinasi masing-masing.

Aku meminta Ida dan anak-anak tunggu di bangku sementara aku beratur untuk mendapatkan boarding pass dan check-in. Lebih kurang jam 6.00 pagi, kaunter pendaftaran check-in untuk penerbangan ke Labuan dibuka. Tertera nombor kapalterbang Air Asia AK5176 di hadapan kaunter. Dan dalam hati, aku berbisik, inilah penerbangan yang akan kami naiki nanti. Seronoknya...















Alim, Ida, Ifa, Miza dan Arif posing sejurus sebelum masuk ke bilik menunggu.















Arif sedang bermain PSP sambil diperhatikan oleh Ifa dan Miza.

Arif Dapat PSP Baru














PSP berwarna biru pilihan Arif.

Seperti yang dijanjikan, pada 22 November 2008, iaitu sehari sebelum kami bertolak ke Labuan, aku dengan bantuan Farok ke Summit, USJ untuk mencari Playstation Portable (PSP) untuk Arif. Sebenarnya memang aku boleh berikan PSP ini awal lagi tetapi aku cadang menjadikannya sebagai hadiah sekiranya dia mendapat 5A dalam UPSR. Sebagai ganjaran, aku bersedia berbelanja lebih RM1,000.00 untuk menunaikan hajatnya. Memandangkan PSP yang berbentuk slim ni terhad warnanya, aku berkali-kali bertanya sama ada dia setuju dengan PSP berwarna biru ini dan akhirnya dia bersetuju memandangkan warna silver pilihannya tiada lagi stok.

Dan seperti yang aku jangkakan, alat ini tidak lepas dari genggamannya dan memandangkan keupayaan alat ini menyimpan banyak games, Arif akhirnya leka dengan 'dunia barunya'....

Khamis, November 20, 2008

Majlis Perkahwinan Akbar-Siti Nor Hadijah Di Melaka



















Akbar dan Siti Nor Hadijah memberikan pose sebaik selesai majlis

Hari Ahad, 16 November 2008 merupakan hari berlangsungnya majlis perkahwinan Akbar dan Siti Nor Hadijah di Kampung Alai, Melaka. Kira-kira jam 9.00 pagi, aku dah sampai ke rumah Pak Ngah Ahmad, bapa Akbar. Yelah, kena 'punch card'. Kami beramai-ramai bergotong-royong membantu mana-mana yang boleh. Lepas susun meja dan kerusi, kami bentangkan kain alas meja. Kemudian mula mengangkut ais dan dimasukkan ke dalam bekas plastik. Apa lagi mulalah kami membancuh air minuman untuk tetamu. Kali ini tidaklah sesibuk seperti majlis-majlis perkahwinan sebelumnya, sudahlah menggunakan khidmat 'catering', makanan yang disediakan pula secara 'buffet'.

Pada jam 10.30 pagi, bacaan doa diadakan dan diketuai oleh imam, Tuan Hj. Ahmad Dalib. Petugas-petugas dan tetamu awal mula menjamu selera di khemah yang disediakan. Masing-masing mula sibuk dengan tugas yang disediakan. Aku ditugaskan untuk membancuh air, begitu juga dengan Mat Zam, Zaki dan Hafsham. Sedar tak sedar, dahpun pukul 1.00 tengah hari.

Kira-kira jam 1.00 petang, tetamu makin ramai. Orang kampung berkumpul nak tengok artis. 'Orang sebelah' atau tetamu di pihak perempuan sampai jam 1.30 petang. Mak Mah, Adlin Aman Ramli dan Emelda Rosmila merupakan artis yang datang pada petang itu bersama kira-kira 80 orang ahli keluarga mereka.

Selepas majlis tepung tawar, rombongan dijamu dengan hidangan istimewa di khemah pengantin. Kira-kira jam 3.30 petang, majlis selesai. Apa yang aku nampak dalam majlis tersebut, artis lebih glamor daripada pengantin. Orang kampung tidak putus-putus mengambil kesempatan untuk bersalam dan bergambar dengan Mak Mah, Adlin Aman Ramli dan Emelda Rosmila.

Petang tu aku pulang ke rumah jam 4.30 petang setelah semua kerja selesai. Glamornya berbesankan artis kan!















Ahli keluarga sebelah pengantin perempuan















Ahli keluarga aku mengambil kesempatan bergambar dengan pengantin.















Adlin Aman Ramli dan Emilda Rosmila melayan anak buahnya.















Ida dan Roziah (Adik) antara 'orang kuat' di majlis berkenaan.



















Adlin Aman Ramli dan Emilda Rosmila memberikan pose menarik untuk peminat.















Lagi pose menarik Adlin Aman Ramli dan Emilda Rosmila.



















Ifa bergambar bersama Adlin Aman Ramli dan Emilda Rosmila



















Ifa bergambar bersama Mak Mah.