Memaparkan catatan dengan label majlis perkahwinan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label majlis perkahwinan. Papar semua catatan

Ahad, Jun 06, 2010

Menghadiri Majlis Perkahwinan

Cuti sekolah baru sahaja bermula. Cuti pertengahan tahun selama dua minggu ini perlu dirancang dengan baik agar anak-anak tidak membazirkan masa dengan melakukan kerja-kerja tidak berfaedah. Memang ada perancangan kami sekeluarga untuk bercuti malangnya tidak dapat dipenuhi kerana Ida mendapat arahan dari pihak pengurusan agar semua cuti dibekukan menjelang SUKMA XIII yang akan berlangsung dari 10 hingga 19 Jun 2010.

Cuti sekolah memang sinonim dengan kenduri kahwin, kenduri kesyukuran, kenduri bersunat dan macam-macam kenduri lagi. Bagi yang menerima jemputan, kita kena lapangkan masa untuk memenuhi jemputan tersebut.

Semalam aku sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan di rumah keluarga Zarina Abdul Rahman, rakan kami. Majlis perkahwinan adik beliau, Aisyah dan suaminya Fairuz diadakan di rumah pengantin perempuan iaitu di Kg. Pulai.

Kami sampai pada jam 2.00 petang. Ketika itu rombongan pengantin lelaki dari Pulau Pinang baru sahaja tiba dan bersiap-siap untuk dikompangkan. Dengan paluan kompang mengiringi pengantin, kedua mempelai diarak sehingga menghampiri pintu pagar di mana aksi pencak silat dipersembahkan kepada kedua mempelai. Kedua mempelai kemudiannya diminta duduk di atas kerusi yang diletakkan di halaman rumah sambil terus menyaksikan persembahan pencak silat.

Pukul 2.45 petang, kedua mempelai dibawa ke pelamin dan acara menepung tawar bagi kedua belah keluarga diadakan. Seterusnya pengantin bersama rombongannya menjamu selera di khemah yang disediakan. Pukul 3.20 petang, kami sekeluarga meminta diri.

Hari ini ada dua lagi jemputan perkahwinan. Kami ke majlis perkahwinan ahli keluarga staf Ida di Berangan Enam, Umbai dan kemudian ke satu lagi majlis perkahwinan staf Ida, Mazid di Telok Mas.

Seminggu dua ni majlis perkahwinan memang berlambak ...bak kata orang menghadiri perkahwinan ini ibarat melabur, hari ini hari dia esok lusa mana tahu hari kita, tak kita, anak-anak kita pula...









Isnin, Mei 03, 2010

Majlis Persandingan Anak YB ADUN Durian Tunggal

Ahad, 2 Mei 2010. Petang tadi dalam kesibukan menghadiri aktiviti keluarga Hj. Ayup, aku, Ida dan anak-anak sempat ke majlis persandingan anak YB Datuk Hj. Ab. Wahab Hj. Ab. Latip, ADUN Durian Tunggal merangkap Pengerusi PERPUSTAM.

Majlis diadakan di Dewan Sekolah Menengah Seri Pangkalan, Alor Gajah. Kami tiba ke majlis tersebut jam 2.00 petang. Suriati, rakan sekerja Ida secara kebetulan tiba pada waktu yang sama. Kawasan sekolah ini agak luas dan sesuai untuk menampung bilangan jemputan yang ramai. Kami meletakkan kereta di padang sekolah.

Semasa kami sampai, bunyi kompang bergema di dalam dewan menandakan kedua pasangan pengantin berada di dalam dewan tersebut. Sebaik menghampiri khemah, aku bersalaman dengan YB Datuk. YB Datuk memang kenal aku tambahan Ida selalu berurusan dengan beliau. Kami dijemput menjamu selera.

Aku mendapat tahu kedua-dua anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan belajar di Jepun. Kedua-dua pasangan pengantin kemudian menjamu selera bersama Tun Khalil, TYT Yang Dipertua Negeri Melaka.

Pukul 2.30 petang, aku sempat bersalaman dengan YB Datuk sambil mengucapkan terima kasih dan meminta diri untuk pulang. Dari apa yang aku tahu, YB Datuk seorang yang mesra rakyat serta bersikap merendah diri.












Isnin, Mac 15, 2010

Majlis Perkahwinan Mohd Zabri & Suzana


Jarak rumah ke lokasi majlis perkahwinan Mohd Zabri & Suzana lebih kurang 1.5 kilometer tetapi disebabkan urusan peribadi, aku sampai ke majlis ini sedikit lewat. Rumah pengantin lelaki terletak di Jalan Penghulu, Telok Mas, hanya beberapa meter jaraknya dari Masjid Khairiah, Telok Mas.

Aku sekeluarga tiba pada jam 1.25 petang. Ramai rakan-rakan sekerja aku dulu dari PERPUSTAM turut hadir meraikan rakan mereka, Mohd Zabri di hari bahagianya. Selepas bersalaman dengan tuan rumah, kami sekeluarga menjamu selera di khemah tetamu.

Menurut rakan-rakan, rombongan pengantin perempuan sampai awal dan majlis persandingan diadakan pada jam 12.30 tengah hari. So, tidak ada gambar foto persandingan yang dapat aku abadikan di blog ini. Namun begitu, aku sempat merakamkan beberapa aksi menarik kedua mempelai ini. Semalam, pengantin mengenakan pakaian sedondon berwarna merah tetapi hari ini temanya oren. Berpinar gak mata ni aku tengok warna khemah pengantin yang cukup terang...

Setelah rombongan pengantin perempuan berangkat pulang, kedua mempelai singgah di khemah tetamu dan berbual-bual dengan kami. Kami sekeluarga diberikan bungkusan cenderahati. Suzana, staf di UTeM manakala Mohd. Zabri, staf PERPUSTAM. Jadi kami tidak boleh memilih majlis yang mana yang kami akan hadiri kerana kedua-duanya staf sepejabat aku dan Ida.

Pukul 2.15 petang, setelah menikmati jamuan, aku sekeluarga bergambar kenangan bersama kedua mempelai sebelum beredar untuk pulang.

Selamat Pengantin Baru....masih baru lagi ker?

Foto oleh: Nur Arifah Adlina.






















Sabtu, Mac 13, 2010

Majlis Perkahwinan Suzana & Zabri

Jam 1.05 petang tadi, aku sekeluarga bersiap-siap untuk ke majlis perkahwinan Suzana Hj. Lazim di Felcra Lembah Kesang, Merlimau, Melaka. Arif beritahu dia tidak mahu ikut. Nak rehat katanya. Begitulah anak-anak... Bila dah remaja, mulai mencari jalan sendiri.

Pukul 1.10 petang, kami mula bergerak melalui Lebuh AMJ dan melalui susur keluar ke Jasin. Pukul 1.25 petang, kami sudahpun berada di lokasi majlis. Mengikut aturcara, majlis persandingan akan diadakan pada jam 1.30 petang.

Rakan-rakan sepejabat yang aku temui di sana antaranya Aziana, Shima, Norlian, Tilah, Bro, Wan, Nor Aini, Midzi, Siddiq, Shazley, Panjang, Izan dan Zulkarnaen. Turut hadir Ketua Pustakawan bersama dua orang anak bujangnya.

Majlis yang diadakan secara sederhana dihadiri sanak-saudara dan rakan-rakan kenalan pihak pengantin perempuan. Lebih kurang jam 1.35 petang, paluan kompang bergema beberapa meter dari rumah pengantin perempuan menandakan ketibaan rombongan pengantin lelaki. Pengantin perempuan dibawa keluar untuk digandingkan dengan pengantin lelaki.

Kemudian kedua mempelai dibawa ke perkarangan rumah untuk acara persembahan silat. Empat pertunjukan silat dipersembahkan kepada mempelai. Silat apa, aku tak pasti sebab pergerakan silat ini mengikut rentak paluan kompang, persis filem Jacky Chan, 'Drunken Master'. Aku melihat kedua mempelai berpeluh-peluh menantikan habisnya persembahan. Di celah-celah keriuhan tu, aku terdengar seseorang meminta acara persembahan silat dipercepatkan agar acara seterusnya dapat jalankan.

Pengantin perempuan dibawa masuk dan diletakkan di pelamin manakala pengantin lelaki menyusul kemudian. Malangnya, untuk masuk ke rumah, sudah tersedia empat orang wanita yang bertugas sebagai 'pengutip tol'. Berlaku tawar-menawar dan setelah bersetuju dengan 'bayaran', pengantin lelaki berjaya masuk ke rumah tetapi masih belum boleh duduk di atas pelamin.

Seorang lagi 'pengutip tol' sudah bersedia di atas pelamin, di atas kerusi pengantin lelaki. Sekali lagi tawar-menawar berlaku. Setelah mendapat habuan, 'pengutip tol' membenarkan pengantin lelaki duduk di atas pelamin.

Sebenarnya di Melaka, perkara ini biasa sahaja. Bukan jumlah upahnya yang penting sebaliknya acara yang tidak rasmi ini lebih untuk memeriahkan suasana majlis perkahwinan itu sendiri. Alahai...kata orang, lagikan lama boleh ditunggu, dah tinggal setapak lagi, tak kan tak boleh bang...hulur je..Kedua mempelai kemudian direstui oleh kedua belah pihak dengan acara tepung tawar dan bunga telur.

Pukul 2.15 petang, kedua mempelai bersama rombongan pengantin lelaki dibawa ke khemah untuk menjamu selera. Aku meminta satu photo shoot untuk dijadikan kenangan dan kedua mempelai bersetuju.

"Okaylah...minta diri dulu.." pinta aku kepada kedua mempelai memandangkan aturcara majlis sudah ke penghujungnya.

"Jangan lupa datang ke rumah saya esok, En. Azman.." balas Mohd. Zabri, pengantin lelaki.

"Insya-Allah..," balas aku kembali.

"Terima kasih kerana datang.." ucap Suzana.

"Sama-sama.." jawab aku kembali.

Jam 2.30 petang, aku beredar daripada majlis tersebut untuk pulang ke rumah kerana jam 4.00 nanti, Ifa kena pergi tuisyen.

Aku sebenarnya baru tahu daripada Ida dua hari lepas, Mohd. Zabri ni bertugas di PERPUSTAM. Apa-apa pun aku mengucapkan selamat pengantin baru kepada kedua mempelai, semoga berkekalan hingga ke akhir hayat.




Para 'pengutip tol' bersedia di pintu untuk menghalang pengantin lelaki masuk.


Kat sini pun ada tol juga...