Memaparkan catatan dengan label ISO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ISO. Papar semua catatan

Selasa, Jun 01, 2010

Bengkel Dokumentasi Manual Kualiti Lagi..


Aku bersama Zaidi, Rashid dan Mawardi.

Pagi tadi aku menghadiri Bengkel Penstrukturan Dokumentasi Manual Kualiti Bagi Proses Dokumen ISO Pejabat Perpustakaan yang dianjurkan oleh Pejabat Perpustakaan UTeM. Bengkel ini adalah susulan daripada bengkel yang telah diadakan pada 22 April 2010.

Bengkel kali ini hanya melibatkan para pustakawan dan bertujuan untuk mempercepatkan proses penyediaan manual kualiti bagi tujuan persijilan MS ISO9001:2008.

Seramai 13 orang pustakawan terlibat dan peserta bengkel dibahagikan kepada 4 kumpulan di mana setiap kumpulan perlu menyiapkan tugasan dalam kumpulan.

Perjalanan bengkel ini agak membosankan bila mana sistem penghawa dingin tidak berfungsi dan taklimat bengkel itu sendiri tidak begitu menarik.

Bengkel yang diadakan di Bilik Tayangan, Aras 2 ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6.00 petang.

Apa nak buat? Layan jer....

Khamis, April 22, 2010

Bengkel Penstrukturan Dokumentasi Manual Kualiti

Semalam berlangsungnya Taklimat Asas dan Bengkel Penstrukturan Dokumentasi Manual Kualiti Bagi Proses Dokumen ISO Pejabat Perpustakaan anjuran Pejabat Perpustakaan UTeM. Bengkel yang diadakan secara 'in-house' ini dihadiri seramai 30 orang staf dari pelbagai unit iaitu Unit Pentadbiran & Kewangan, Unit Sirkulasi, Unit Rujukan, Unit Perolehan, Unit Pengindeksan, Unit Automasi dan Cawangan Kampus Bandar.

Tujuan utama bengkel ini ialah bagi merangka dan menyediakan manual kualiti yang akan disediakan oleh Perpustakaan UTeM bagi tujuan persijilan MS ISO9001:2008. Peserta bengkel dibahagikan kepada 4 kumpulan di mana setiap kumpulan perlu menyiapkan tugasan dalam kumpulan yang juga bahagian-bahagian di dalam manual kualiti dan membentangkan kepada semua ahli kumpulan. Fasilitator bengkel ialah Ketua Pustakawan. Bengkel yang dijalankan di Bilik Tayangan, Aras 2 ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang.

Dengan adanya bengkel ini, peserta dapat mempertingkatkan kefahaman masing-masing dalam menyediakan manual kualiti jabatan yang dijangka dapat disiapkan penghujng tahun ini.










Selasa, November 10, 2009

Perbincangan ISO di Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI

Hari Khamis lalu aku dimaklumkan bahawa satu lawatan ke Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI akan diadakan pada hari Isnin, 9 November 2009. Memang cadangnya nak bawa ramai tetapi kenderaan Toyota Innova milik UTeM ini hanya mampu menampung 7 orang penumpang sahaja. Mereka yang terpilih untuk lawatan ini selain aku ialah Shahar, Arman, Rasida, Fauziah, Mahadir dan Halim.

Perancangan awal bertolak dari UTeM pukul 7.00 pagi tetapi disebabkan menunggu Ustaz Azman yang masih tidak sampai, akhirnya kami bertolak pukul 8.15 pagi. Disebabkan ruang kenderaan terhad, Ustaz Azman menarik diri. Perjalanan ke
Tanjung Malim ini mengambil masa tiga jam. Kami sempat singgah di R&R Seremban untuk mengisi perut.

Pukul 11.00 pagi, kami sampai di Perpustakaan Tuanku Bainun. Kami disambut oleh beberapa orang pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Rusliza Yaacob. Sebenarnya perbincangan kami ialah berkaitan dengan ISO. Perpustakaan UTeM dalam proses untuk mengadakan ISO sendiri. So, tak salah kalau belajar dari mereka yang sudahpun ada ISO terutama dalam bidang kepustakawanan. Beberapa orang pustakawan daripada Perpustakaan Tuanku Bainun turut hadir seperti Cik Noriha, Puan Anizah dan Puan Wan Kartini. Perbincangan diadakan secara tidak formal dan saling bertukar pandangan. Kami turut dijamu dengan minum pagi dan makan tengah hari.

Sebelah petang kami menyambung perbincangan lagi. Rumusan daripada perbincangan, satu bengkel akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi bagi memberikan kefahaman tentang keperluan pendokumenan ISO ini.

Aku sempat merakamkan beberapa foto menarik hiasan dalaman perpustakaan di Perpustakaan Tuanku Bainun ini buat tatapan rakan sekerja di UTeM. Terima kasih kepada Rasida, ikhsan foto daripada kamera beliau juga. Banyak yang perlu dibuat di Perpustakaan UTeM bagi menceriakan suasananya dan jika dibuat perbandingan tentunya berbeza kerana tarikh kewujudan kedua-dua perpustakaan ini berbeza.

Pukul 4.30 petang, kami bertolak dari Tanjung Malim. Sepanjang perjalanan pulang, cuaca mendung dan hujan gerimis. Pemanduan kenderaan dibuat secara berhati-hati, maklumlah jalan basah. Akhirnya kami sampai di UTeM pukul 7.45 malam.