Selasa, Ogos 31, 2010

1 Malaysia Menjana Transformasi Negara



Sempena Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53, sama-samalah kita sebagai rakyat Malaysia menghayati perutusan daripada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dipetik daripada laman 1 Malaysia.

PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN KE-53 OLEH
YAB DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
PADA 30 OGOS 2010 (ISNIN)

'1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI NEGARA'


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, esok, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-53.

2. Dalam tempoh lebih lima dekad kemerdekaan, kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan yang telah dialami tanah air tercinta. Dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, Malaysia telah tumbuh berkembang menjadi sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.

3. Sesungguhnya, perubahan ini tidak datang bergolek atau ibarat bulan jatuh ke riba. Sebaliknya, kejayaan yang dinikmati adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan. Ia juga manifestasi keberanian dan kesanggupan kerajaan serta rakyat untuk meneroka jalan dengan langkah yang progresif.

4. Sejarah memperistiwakan bahawa, bapa-bapa kita peneroka kepemimpinan negara, tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar mana pun cabaran yang melanda. Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat. Almarhum Tunku dan para sahabat misalnya tidak rela untuk terus menjadi warga negara terjajah. Allahyarham Tun Razak dan rakan-rakan pula tidak membiarkan Malaysia pasca tragedi 13 Mei hilang harapan. Allahyarham Tun Hussein dan taulan tidak bersimpuh menyerah, bahawa, keganasan komunisme tidak dapat ditewaskan. Manakala Tun Dr. Mahathir dan handai seperjuangan tidak mahu menerima kebijakan lazim bahawa sebuah negara pertanian tidak mampu berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden dengan infrastruktur berkelas dunia. Seterusnya Tun Abdullah pula, berusaha memupuk modal insan sebagai landas kejayaan negara bangsa.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

5. Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo yang sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu-pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara. Hari ini, tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan.

6. Justeru, cabaran sebenar kita hari ini adalah untuk mentransformasikan Malaysia supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ke arah itu, kita telah pun memasakkan asas-asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan atau GTP dan pelan transformasi ekonomi yakni ETP sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia tersebut.

7. Sememangnya, Malaysia yang aman, maju dan makmur akan mendatangkan nikmat kepada semua rakyat. Bagi maksud ini kita perlu menggembleng setiap bakat yang ada di kalangan rakyat Malaysia. Setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional.

8. Lalu, sudah tiba masa kita memanfaatkan sepenuhnya bakat-bakat tempatan yang ada. Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang. Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga ia melibatkan pengaliran bebas modal insan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

9. Di atas segalanya, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini. Teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum sepertimana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam perlembagaan persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.

10. Kita tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu-isu perkauman serta agama. Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada.

11. Maka, saya yakin lagi percaya, semua rakyat Malaysia cintakan keamanan, mahukan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

12. Ketahuilah bahawa, kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada dari ancaman dalam mahupun luaran.

13. Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan kita akan bersemadi.

14. Oleh itu, saya ingin menyeru semua warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke-53 ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik di mana yang mengehadkan kejayaan kita hanyalah bakat dan kesanggupan untuk bekerja keras.

15. Akhir kata, demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, Janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat. Merdeka, Merdeka, Merdeka.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dato' Sri Mohd Najib
Putrajaya

30 Ogos 2010

Aktiviti Kacau Dodol

Dodol merupakan antara makanan tradisi penduduk di Negeri Melaka. Bagi keluarga Hj. Ayup, boleh dikatakan saban tahun aktiviti mengacau dodol akan dijalankan pada dua minggu terakhir bulan Ramadhan.

Hari Sabtu, 28 Ogos 2010 merupakan hari yang dirancang untuk aktiviti mengacau dodol. Awal pagi lagi bahan-bahan untuk membuat dodol seperti tepung beras, kelapa, gula pasir dan gula melaka telah disediakan. Seperti biasa, sehari sebelumnya, emak akan merendam tepung beras dan kemudian mengisarnya supaya menjadi halus. Tidak seperti tahun lepas, tahun ini Mak Bedah menggunakan mesin pengisar untuk mengisar tepung. Kemudian tepung beras diperap dan ditiriskan supaya airnya 'turun'. Pada masa yang sama, kelapa akan diparut dan diambil santannya.

Aktiviti mengacau dodol yang kebiasaannya bermula seawal jam 7.00 pagi ditunda pada jam 10.00 pagi. Tungku diletakkan di bawah garaj dan kemudian kayu-kayu diletakkan di bawah tungku. Kayu-kayu ini akan dibakar agar proses mengacau dodol dapat dilaksanakan secepat mungkin. Kawah atau kuali besar diletakkan di atas tungku. Santan dan tepung beras dimasukkan ke dalam kawah dan dikacau menggunakan centong atau sudip panjang sehingga sebati dan naik baunya.

Kira-kira sejam kemudian, gula pasir dan seterusnya gula melaka akan dimasukkan dan terus dikacau sehinggalah dodol ini menjadi likat dan melekat-lekat. Proses mengacau dodol dibuat berterusan bagi mengelakkan dodol berkerak. Biasanya, dodol cair akan dikeluarkan dan disimpan untuk dinikmati semasa berbuka puasa nanti. Mengacau dodol biasanya mengambil masa hampir 6 hingga 7 jam untuk siap sepenuhnya.

Fasa paling kritikal ialah mengacau dodol sewaktu ianya hampir likat. Sudahlah perit mata dek terkena asap dan bahang daripada api di tungku, kederat pula semakin berkurangan. Mengacau dodol di siang hari memang mencabar berbanding mengacau dodol di waktu malam.

Kira-kira jam 3.30 petang, aktiviti mengacau dodol tamat. biasanya Mak Bedah akan menjadi pakar rujuk untuk menentukan sama ada dodol yang dikacau sudah boleh diangkat atau sebaliknya. Apabila dodol siap dimasak, ia akan dimasukkan ke dalam bekas-bekas plastik untuk disimpan. Dodol-dodol ini akan disimpan dan diagih-agihkan kepada ahli keluarga apabila mereka berkumpul kelak. Selain diagih-agihkan, ia juga menjadi hidangan pada hari raya nanti.

Sebaik kerja mengacau dodol ini siap, mereka yang terlibat dengan aktiviti ini akan keletihan dan tidur. Walau bagaimanapun ianya adalah proses biasa bagi mendapat semula tenaga yang hilang. Di sesetengah tempat kerja-kerja begini telah digantikan dengan mesin. Namun begitu, mengacau dodol merupakan aktiviti paling menyeronokkan dan bak kata orang Melaka, kalau tak ada dodol, tak berserilah raya nanti...










Jumaat, Ogos 27, 2010

Persembahan Cadangan Penyelesaian Masalah KIK

Satu persembahan bagi kumpulan-kumpulan yang menyertai KIK Perpustakaan UTeM telah diadakan pada jam 9.00 pagi semalam bertempat di Bilik Tayangan 2, Perpustakaan UTeM. Sesi pembentangan dikelolakan oleh Penyelaras KIK, Mohd Mawardi Badruddin.

Sebanyak 7 kumpulan membuat persembahan manakala 1 kumpulan lagi tidak bersedia dengan persembahannya. Kumpulan-kumpulan ini mempersembahkan cadangan penyelesaian masalah yang dibawa hasil daripada perbincangan dalam kumpulan masing-masing. Sebelum ini satu persembahan mengenai pemilihan permasalahan KIK telah diadakan di tempat yang sama pada 2 Julai 2010. Peserta dari setiap kumpulan bebas untuk memberikan cadangan bagi tujuan penambahbaikan hasil pembentangan agar ianya menjadi lebih mantap.

Kumpulan Jitu membentangkan masalah kurang kesedaran peminjaman bahan di kalangan staf akademik manakala kumpulan aku, L-Care pula memilih masalah kesilapan-kesilapan dalam proses penghantaran bahan ke Unit Sirkulasi.

Kumpulan Strategi membawa permasalahan kesukaran mencari dokumen perjanjian terdahulu manakala kumpulan Aspirasi memilih masalah bagaimana menggalakkan pengguna meminjam bahan di rak terbuka yang tidak pernah dipinjam.

Kumpulan Idea memilih masalah kehadiran pelajar yang kurang di perpustakaan manakala kumpulan Fastive mengambil masalah proses mendigitasi bahan koleksi khas/PSM yang lambat.

Kumpulan Global merupakan kumpulan terakhir membentangkan cadangan penyelesaian dan memilih masalah kehilangan majalah setelah disusun di rak majalah kini.

Dalam sesi ulasan Ketua Pustakawan berpuas hati dengan prestasi pembentangan dan berharap setiap kumpulan boleh meningkatkan kualiti pembentangan dengan penambahan data-data yang menyokong kepada permasalah yang dipilih.

Sesi pembentangan tamat jam 1.30 petang





Selasa, Ogos 24, 2010

Iftar di Masjid UTeM

Petang semalam, aku dan beberapa orang rakan sejabatan telah diarahkan hadir untuk iftar dan tarawih di Masjid UTeM.

Seminggu yang lalu, Pusat Islam ada mengedarkan jadual tarikh-tarikh bagi setiap jabatan menaja jamuan kepada mereka yang berbuka puasa di Masjid UTeM. Kemudian perbincangan di peringkat kelab staf diadakan bagi tujuan sama ada kelab atau jabatan yang akan menaja jamuan tersebut. Akhirnya kata putus diambil iaitu jabatan akan mengambil tanggungjawab menaja jamuan tersebut.

Tengah hari semalam aku mendengar ada pengumuman menjemput pelajar-pelajar datang ke Masjid UTeM untuk iftar. Dan petang semalam, seperti yang telah diwajibkan, semua staf hadir jam 7.00 malam.

Sebaik azan berkumandang, pelajar dan staf menjamah kurma dan kuih-muih dan kemudian menunaikan Solat Maghrib. Sebaik solat, mereka dijemput menjamu selera dengan apa yang apa walaupun ada kedengaran makanan yang disediakan tidak mencukupi.

Aku membawa Ifa dan Miza untuk majlis ini. Kedua-duanya duduk di ruang muslimah dan bersolat Isyak dan Tarawih sehingga habis. Di sini, solat tawarikh hanya lapan rakaat disertai dengan solat witir. Jemaah kemudian disediakan moreh sebelum pulang.

Aku berharap semoga di masa depan bila merancang sesuatu yang baik, biarlah baik hingga ke akhirnya...















Asas Kekeluargaan

Petang semalam sewaktu memandu pulang ke rumah, tiba-tiba pendengaran aku tertumpu kepada slot bual bicara di Radio IKIM. Segmen Keluarga Sakinah menampilkan Profesor Dato' Dr. Sidek Baba (gambar), seorang professor di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai tetamu untuk program tersebut.

Apa yang menarik perhatian aku ialah topik mengenai kekeluargaan yang diperbincangkan. Menurut Profesor Dato' Dr. Sidek Baba, institusi keluarga amat penting. Keluarga merupakan satu tapak yang perlu dibina dengan asas yang kukuh. Ianya perlu dibina atas asas agama, kasih sayang, tanggungjawab dan lain-lain agar ianya tidak lompong atau kosong. Setiap orang dalam keluarga perlu memainkan peranan masing-masing.

Beliau memberi gambaran bagaimana masyarakat hari ini mempunyai asas kekeluargaan yang rapuh. Anak-anak bebas keluar rumah tanpa kebenaran ibu bapa dan ibu bapa pula sibuk dengan urusan masing-masing.

Kes-kes buang bayi umpamanya dikaitkan dengan asas kekeluargaan yang tidak kukuh di mana kurangnya asas agama, tanggungjawab dan kasih sayang. Anak-anak bebas lepas sehingga bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa kawalan.

Aku tertarik dengan kaedah yang disampaikan terutama apabila memarahi anak-anak. Anak-anak tidak perlu dijerit, dirotan atau dipukul sebaliknya memadai memberitahu kesalahannya dan kesan jika perbuatan itu dilakukan. Ibu bapa tidak perlu ditakuti sebaliknya dihormati berdasarkan ketegasannya.

Begitulah ilmu yang dapat aku kutip sewaktu aku memandu pulang dan berharap dapat aku aplikasikan dalam keluarga aku nanti.

Selamat Hari Lahir Arif Ke-14

Ahad, 22 Ogos 2010 bersamaan 12 Ramadhan 1431 Hijrah merupakan hari ulangtahun kelahiran Arif yang ke-14. Boleh dikatakan sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini, ulangtahun kelahirannya jatuh pada bulan Ramadhan.

Petang itu sebaik pulang dari tanah perkuburan, aku singgah di sebuah kedai kek di Semabok untuk membeli sebiji kek bagi meraikan sambutan ulangtahun kelahiran beliau.

Malam tu, selepas terawih, kami sekeluarga secara ringkas meraikan hari lahir dengan meminta beliau meniup lilin dan memotong kek harijadi. Kemudian kami masing-masing mengucapkan tahiah kepada beliau. Kali ini tiada hadiah atau cenderamata untuk Arif. Sebenarnya hadiah telah diterima lebih awal bila mana Arif meminta dibelikan sebuah telefon bimbit untuknya awal tahun ini.

Aku mengharapkan dengan bertambah umurnya, Arif akan menjadi seorang remaja yang lebih berwibawa, berketrampilan serta berjaya dalam mencapai cita-cita hidupnya.










Isnin, Ogos 23, 2010

Izhar Abdullah... Pergi Buat Selamanya

Semalam, 22 Ogos 2010 bersamaan 12 Ramadhan 1431 Hijrah merupakan hari yang sedih bagi aku. Izhar Abdullah, merupakan suami kepada sepupu aku yang aku panggil Lina kembali ke rahmatullah setelah dua hari bertarung nyawa dengan penyakit denggi.

Menurut cerita, Allahyarham Izhar mengalami demam sejak seminggu lalu dan telahpun dibawa ke klinik. Namun begitu, demamnya masih tidak sembuh dan dibawa ke Hospital Besar Melaka. Allahyarham dimasukkan ke wad biasa dan kemudian dimasukkan pula ke Wad ICU pada hari Jumaat.

Allahyarham dimaklumkan bahawa selain disyaki denggi, ada jangkitan pada buah pinggang. Sehari kemudian, allahyarham dikatakan koma.

Semalam, sebaik pulang bersama Arif dari membersihkan kubur nenek, aku singgah di rumah Mak Bedah. Hati aku tergerak untuk melawat allahyarham di ICU. Oleh kerana ramai pelawat, mereka yang ingin menjenguk pesakit perlu menunggu di pintu masuk wad ICU tersebut kerana hanya dua orang sahaja dibenarkan melawat pesakit pada satu-satu masa.

Pukul 1.00 tengah hari aku ke Wad ICU. Hampir 40 minit aku menunggu dan akhirnya aku dapat melawat allahyarham. Memang benar, Allahyarham Izhar koma dan hanya alat bantuan pernafasan sahaja yang mengawal pernafasannya. Aku menasihatkan Lina supaya bersabar dan meminta sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan membaca Yaasin.

Setelah kembali ke rumah Mak Bedah, lebih kurang pukul 2.30 petang, aku dimaklumkan Allahyarham Izhar telah kembali ke rahmatullah.

Petang itu selepas Asar, aku ke rumahnya di Kg. Bukit Gedong dan aku lihat ramai orang berkumpul di sana. Oleh kerana allahyarham merupakan salah seorang anggota PDRM Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, ramai rakan sekerjanya yang datang menziarahi jenazahnya. Malah rakan-rakan ini menggunakan kenderaan jenazah PDRM untuk membawa balik jenazah dari hospital dan membantu memandi dan mengkafankan jenazah tersebut.

Lebih kurang pukul 5.45 petang, selepas disembahyangkan, jenazah disemadikan di Kawasan Perkuburan Bukit Musai.

Allahyarham Izhar meninggalkan seorang balu dan seorang anak, Nabila berusia 15 tahun. Semoga roh Allahyarham Izhar cucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh...Amin!!!

Sabtu, Ogos 14, 2010

Bazar Ramadan Jasin


Selepas 24 jam tragedi berlalu, aku sempat meninjau lokasi tragedi Bazar Ramadan Jasin yang terletak di perkarangan Stadium Jasin. Masih ada saki-baki perkakasan berniaga yang tidak sempat dibersihkan.

Tinjauan di lokasi tempat berlakunya tragedi suasana agak sunyi. Sesetengah pemandu mengambil kesempatan meninjau tempat kejadian dari dalam kenderaan memandangkan hujan renyai-renyai. Ada juga peniaga yang singgah untuk mengambil perkakasan berniaga mereka.

Dan terbaru dikhabarkan lokasi Bazar Ramadan Jasin akan dipindahkan di lokasi baru iaitu berhampiran Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (PPNIN) di Bandar Baru Jasin Tiga di mana kawasan baru itu didapati lebih selamat kerana dilindungi deretan bangunan kedai dan juga bangunan PPNIN. Para peniaga dijangka boleh memulakan perniagaan mereka mulai Isnin ini.

Aku berdoa semoga tragedi begini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.


Berita Harian

Bazar Ramadan Jasin dipindah
2010/08/14

JASIN: Bazar Ramadan Jasin di perkarangan Stadium Jasin yang terjejas dilanda ribut petang semalam, akan ditempatkan dilokasi baru berhampiran Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (PPNIN) di Bandar Baru Jasin Tiga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kawasan baru itu didapati lebih selamat kerana dilindungi deretan bangunan kedai dan juga bangunan PPNIN.

"Bazar Ramadan di kawasan baru itu dijangka beroperasi pada Isnin ini selepas persiapan dibuat oleh Majlis Perbandaran Jasin dan Persatuan Penjaja Kecil Melaka daerah Jasin," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian ribut jam 5 petang semalam, dua peniaga dan seorang pengunjung terbunuh manakala 18 orang yang lain cedera dihempap khemah dan objek lain yang diterbangkan ribut kencang itu.

Dua peniaga yang terbunuh itu ialah Mahadi Mohamad, 40, berasal dari Kampung Gong Merang, Terengganu; Abdul bin Omar, 73, dari Kampung Air Merbau di sini dan pengunjung Muhammad bin Wahab, 49, dari Kampung Rim di sini.

Seramai 15 mangsa telah dibenarkan pulang manakala dua mangsa masih dirawat di Hospital Jasin dan seorang lagi di Hospital Pakar Putra dekat sini.

Semasa kejadian, seramai 56 peniaga bersama pembantu masing-masing menjalankan perniagaan di bawah 21 buah khemah bersaiz (panjang) 6.2 meter kali 6.2 meter (lebar). Mohd Ali berkata, kawasan di perkarangan Stadium Jasin tidak sesuai untuk didirikan khemah untuk peniaga kerana kawasan lapang itu dikhuatiri akan dilanda ribut lagi.

Beliau berharap keluarga yang terbabit bersabar menghadapi suasana yang sedih terutama kepada tiga keluarga yang anggota keluarga mereka meninggal dunia.

"Kerajaan negeri menghulurkan bantuan menguruskan jenazah sebanyak RM3,000 seorang dan (mangsa) yang masuk wad kritikal diberi RM1,000 seorang dan yang lain (cedera) diberi RM500 seorang," katanya.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa dan tidak pernah berlaku sehingga membabitkan kematian sejak bazar itu dibuka di situ tujuh tahun lalu.

Bercakap kepada Bernama, Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Melaka Daerah Jasin, Ahmad Ali, berkata kejadian ribut itu tidak mematahkan semangat peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka di lokasi baru.

"Ramadan masih panjang lagi, rata-rata peniaga masih berminat untuk meneruskan perniagaan mereka, lagi pun umat Islam terutama mereka yang bekerja ingin mendapatkan juadah berbuka puasa dari bazar Ramadan," katanya.

Beliau berkata peniaga akan berniaga di khemah yang lebih kecil milik masing-masing, dan persatuan akan terus membantu mereka sekiranya menghadapi masalah di lokasi baru itu. - BERNAMA


Utusan Malaysia

Bazar Ramadan Jasin dipindah ke Bandar Baru Jasin Tiga

14/08/2010

JASIN 14 Ogos – Peniaga Bazar Ramadan Jasin di perkarangan Stadium Jasin yang musnah dilanda ribut petang semalam, akan ditempatkan di lokasi baru berhampiran Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (PPNIN) di Bandar Baru Jasin Tiga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan baru itu didapati lebih selamat kerana dilindungi deretan bangunan kedai dan juga bangunan PPNIN.

"Bazar Ramadan di kawasan baru itu dijangka beroperasi pada Isnin ini selepas persiapan dibuat oleh Majlis Perbandaran Jasin dan Persatuan Penjaja Kecil Melaka Daerah Jasin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian ribut pukul 5 petang semalam, dua peniaga dan seorang pengunjung terbunuh, manakala 18 orang yang lain cedera dihempap khemah dan objek lain yang diterbangkan ribut kencang itu.

Dua peniaga yang terbunuh itu ialah Mahadi Mohamad, 40, berasal dari Kampung Gong Merang, Terengganu; dan Abdul bin Omar, 73, dari Kampung Air Merbau di sini, manakala pengunjung yang turut maut ialah Muhammad Wahab, 49, dari Kampung Rim di sini.

Seramai 15 mangsa telah dibenarkan pulang, manakala dua mangsa masih dirawat di Hospital Jasin dan seorang lagi di Hospital Pakar Putra dekat sini.

Semasa kejadian, sebanyak 56 peniaga bersama pembantu masing-masing menjalankan perniagaan di bawah 21 buah khemah bersaiz (panjang) 6.2 meter dengan 6.2 meter (lebar). – Bernama