Jumaat, Jun 26, 2009

Cahayamata

Rabu, 24 Jun 2009. Aku mendapat perkhabaran dari teman-teman bahawa rakan sekerja, Mohd. Efendi Rajali menerima cahayamata. Isteri beliau, Norhaslieza Mohd Yaakob selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.1 kg. di Hospital Melaka pada jam 3.30 pagi. Ini merupakan perkhabaran gembira buat beliau setelah baru sahaja dianugerahkan APC oleh UTeM tempohari.

Mengimbas kembali perkahwinannya, aku pernah menghadiri majlis tersebut di rumah keluarganya di Felda Palong 11, Gemas, Negeri Sembilan pada 20 Julai 2008.

Beliau menamakan puteranya Muhammad Faris dan aku berdoa dan mengharapkan semoga kehidupan mereka akan kekal bahagia selama-lamanya dengan adanya ikatan perkahwinan yang kukuh.





Rabu, Jun 24, 2009

Lawatan Tapak Perpustakaan UTeM

Hari ini aku dimaklumkan bahawa ada mesyuarat dan lawatan tapak dengan Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset di Kampus Durian Tunggal. Yelah, pelajar baru dah nak masuk tapi bangunan perpustakaan tak siap-siap. Sepatutnya tahun lepas lagi dah kena berpindah tapi banyak sangat pindaan pada pelan, semuanya menjadi lambat.

Akhirnya arahan daripada Naib Canselor UTeM meminta semua perpindahan hendaklah disegerakan dan semua perpindahan berakhir sekitar Ogos 2009. Tidak kira bangunan siap atau sebaliknya, semua kena berpindah.

Selepas bermesyuarat, kami melawat bangunan perpustakaan yang masih dalam pembinaan. Kami ditemani Encik Rayme dan Puan Linda dari PPPA. Aku, Shahar, Arman, Harulrizam dan Rashid mewakili Pejabat Perpustakaan. Bukan main sibuk pekerja di sana yang aku lihat kebanyakannya warga asing. Aku difahamkan mereka ni bekerja siang dan malam semata-mata nak kejar tarikh akhir penyerahan bangunan.

Sekiranya apa yang dirancang benar-benar berlaku, perpustakaan akan memberikan perkhidmatan semula di bangunan baru pada 16 Julai 2009.

Well, kita tunggu dan lihat....

Selasa, Jun 23, 2009

Majlis Hari Kualiti 2009 UTeM

Majlis Hari Kualiti 2009 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan pada 23 Jun 2009 bertempat di MITC Ballroom, MITC Ayer Keroh. Seramai 120 orang staf menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) daripada Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Ahmad Yusof bin Hassan. Majlis ini bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari.

Bagi Pejabat Perpustakaan, seramai 5 orang staf menerima APC. Mereka terdiri daripada Mahadir Che Ali, Mohd Efendi Rajali, Kharmizi Khamis, Muhammad Afiz Ahmad dan Amir Hafizuddin Abu Bakar.

Bagi Mohd Afendi Rajali, kejayaan ini mungkin berganda kerana beliau bakal menimang cahayamata dalam waktu terdekat. Namun begitu beliau tidak hadir semasa upacara penganugerahan APC ini berlangsung.

Untuk pertama kali, universiti mengadakan Anugerah Khidmat Terpuji bagi menghargai sumbangan staf sambilan manakala Anugerah Khidmat Bakti untuk staf yang bersara dari perkhidmatan kerajaan dan universiti.

Tahniah kepada kelima mereka dan mudah-mudahan anugerah ini akan menyuntik semangat kerja yang lebih jitu di samping menjadi contoh kepada staf lain.

Senarai Penerima APC dari Pejabat Perpustakaan UTeM

2003
Majlis Sambutan Hari Q KUTKM 2003 & Pelancaran Sistem ISO 9000
Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
7 Oktober 2003
1. Abu Hassan Shamsudin

2004
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2004
Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
16 September 2004
1. Ahmad Abu Bakar
2. F. Haslinda Harun

2005
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2005
Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
20 Disember 2005
1. Kharmizi Khamis
2. Zulkarnaen Mahat
3. Muhammed Rashid Mat Derus

2006
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2006
Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka
12 September 2006
1. Siti Roheizah Mohni
2. Zulkarnaen Mahat
3. Kamariah Kamis

2007
Majlis Hari Kualiti UTeM 2007
Dewan Seri Negeri, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh, Melaka
25 Ogos 2007
1. Azman Hj. Ayup
2. Siti Saluwa Jamal
3. Rasida Abu Bakar

2008
Majlis Hari Kualiti UTeM 2008
Ballroom, MITC, Ayer Keroh, Melaka
13 Jun 2008
1. Mohd Nasir Hashim
2. Norhairol Khalid
3. Elfa Laily Ramly

2009
Majlis Hari Kualiti UTeM 2009
Ballroom, MITC, Ayer Keroh, Melaka
23 Jun 2009
1. Mahadir Che Ali
2. Mohd Efendi Rajali
3. Kharmizi Khamis
4. Muhammad Afiz Ahmad
5. Amir Hafizuddin Abu Bakar


Dari kiri Kharmizi Khamis, Muhammad Afiz Ahmad, Mahadir Che Ali dan Amir Hafizuddin Abu Bakar.

Isnin, Jun 22, 2009

Arif Balik Umrah

Jumaat, 12 Jun 2009 merupakan hari yang menggembirakan aku. Arif dijangka pulang ke tanah air setelah 14 hari menunaikan umrah. Mengikut jadual, beliau dan lain-lain jemaah akan tiba dengan penerbangan Qatar Airways QR 620 pada jam 9.10 pagi. Ini adalah penerbangan dari Jeddah ke Doha dan Kuala Lumpur.

Jam 7.00 pagi, kami sekeluarga bersiap-siap untuk ke KLIA. Kami harus tiba awal sebelum kapalterbang mendarat. Aku membuat keputusan agar bersarapan ala kadar dalam kereta sahaja. Pukul 9.00 pagi, kami sampai di KLIA. Aku mencari skrin TV yang memaparkan jadual mendarat kapalterbang pelbagai syarikat penerbangan. Akhirnya mata tertumpu pada skrin pada satu sudut berhampiran balai ketibaan antarabangsa.

QR 620 - landed. Sah. Baru mendarat. Kami tidak sabar menunggu. Tunggu punya tunggu, rupanya hampir satu jam setengah baru selesai. Pukul 10.40 pagi, barulah muncul Arif, Mak Munah, Yunus dan juga Sarah. Kelakar jugak, Yunus dan Arif dah botak.

Aku memeluk Arif. Sepanjang perjalanan, Arif tidak putus-putus menceritakan pengalamannya di Mekah dan Madinah.

Akhirnya pukul 12.45 tengah hari, kami sampai di Melaka. Aku dengan Arif kemudiannya terus ke Masjid Alai untuk menunaikan solat Jumaat.

Sesungguhnya aku bersyukur kehadrat Allah SWT rombongan ini selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air dengan selamat.










Rabu, Jun 10, 2009

Genting Highland 2

Pukul 8.00 pagi, 7 Jun 2009, aku melihat anak-anak masih lagi di atas katil. Alim masih lagi keletihan dan enggan bangun. Arifah dan Miza mengikut Farok dan Roziah sarapan pagi. Aku mengambil keputusan bersarapan di bilik sahaja dengan bekalan roti yang dibawa semalam.

Setelah bersiap-siap dan mengemaskan pakaian, kami terus check-out daripada hotel. Barang-barang yang kami bawa, kami masukkan ke dalam kereta. Kami terus mencari parking yang paling hampir dengan Theme Park. Hari ini kami mengambil keputusan untuk bermain di Taman Tema Luar sahaja.

Antara permainan yang kami cuba ialah Tea Cup, Astro Fighter, Flying Jumbo, Pirate Train, Boating, Antique Car, Cyclone, Rolling Thunder Mine Train, Bumper Boat, Rodeo Rider, Spinner, Double Deck Carousel dan akhirnya Flying Coaster.

Akhirnya kami pulang ke Kuala Lumpur jam 9.30 malam. Dalam perjalanan pulang, keadaan sesak berlaku di Karak. So, kereta kami bergerak perlahan-lahan. Kami sampai di USJ jam 11.45 malam.

Walaupun penat, sekurang-kurangnya masa bercuti dengan anak-anak telahpun terisi.