Ahad, Disember 06, 2009

Pertunjukan Singa Laut dan Ikan Lumba-lumba

Pagi 5 Disember 2009, cadangan awal semalam ialah untuk ke Wet World Shah Alam. Pagi ni masing-masing bangun lewat. Akhirnya perancangan untuk ke taman tema dibatalkan kerana cuaca mendung.

Setelah berbincang dengan Ida, kami menukar destinasi ke Sunway Piramid. Kami bertolak pukul 3.00 petang. Kami bercadang untuk membeli tiket untuk menonton pertunjukan singa laut dan ikan lumba-lumba. Walau bagaimanapun tiket untuk pertunjukan pada jam 3.00 petang sudahpun habis dan akhirnya kami akur dan membeli tiket bagi pertunjukan jam 6.30 petang. Sementara menunggu waktu untuk menonton pertunjukan tersebut, kami berlegar-legar di ruang kedai di Sunway Piramid.

Pukul 6.20 petang, kami bergegas ke tempat pertunjukan. Setelah menghulurkan tiket, kami dibenarkan masuk. Pertunjukan baru bermula. Pengacaranya aku kira daripada Indonesia ini sentiasa melawak dan bersahaja. Beliau dibantu oleh dua orang pelatih yang melatih singa laut dan ikan lumba-lumba. Pelbagai pertunjukan singa laut seperti membawa bola di hujung muncungnya, juga membawa payung dan gelung. Sesekali haiwan ini diberikan 'upah' berupa ikan yang dibawa di dalam baldi setelah sesuatu tugasan diberikan pelatihnya disempurnakan.

Bagi ikan lumba-lumba atau dolphin ini, pada aku paling menarik bila mana ikan ini mampu melompat dan 'menendang' dengan ekornya bola yang tergantung di tengah kolam. Begitu juga, ia dapat melompat dan masuk ke dalam gelung secara bergandingan.

Di akhir sesi pertunjukan itu, penonton boleh bergambar dengan dolphin asalkan mereka sanggup membayar RM10.00 untuk gambar tersebut.

Kadang-kadang terfikir, haiwan lebih memahami arahan manusia berbanding manusia sendiri.





































Artikel mengenai pertunjukan ini juga dipaparkan dalam ruangan Fokus, Mega Utusan Malaysia bertarikh 18 Disember 2009.

Bertolak ke Putra Height

Minggu ni sudah masuk minggu kedua cuti persekolahan akhir tahun. Anak-anak amat mengharapkan percutian daripada ibu bapa mereka. Mereka mahu jalan-jalan, makan-makan dan dapat bersantai selepas hampir 10 bulan sibuk dengan aktiviti sekolah.

Jumaat, 4 Disember 2009, selepas makan malam, kami sekeluarga bersiap-siap untuk ke rumah Roziah, adik ipar aku di Putra Height, Subang Jaya. Pukul 10.00 malam, kami bertolak dari Melaka dan sampai di sana pukul 12.15 tengah malam.

Aku memandu dalam keadaan selesa dan tidaklah terkejar-kejar. Aku senang memandu dalam keadaan begini bila mana anak-anak sudahpun melelapkan mata.

Selamat Hari Jadi Ida!

Khamis, 3 Disember 2009. Petang itu aku menerima panggilan telefon daripada Ifa sewaktu aku sedang bertugas di pejabat.

"Ayah, hari ini hari jadi emak. Ayah dah belikan emak kek dan hadiah hari jadi? tanya Ifa, anak kedua aku yang memang sentiasa mengingati tarikh-tarikh penting dalam keluarga.

"Belum lagi. Nanti ayah belilah masa balik kerja petang karang", jawab aku selamba.

"Jangan lupa tau", balasnya lagi.

Sebenarnya pagi tadi sebelum aku ke tempat kerja, sempat aku mengucapkan selamat hari lahir kepada Ida. Sepanjang perkahwinan aku dengan Ida, pernah sekali aku terlupa mengucapkan selamat kepada Ida pada hari lahirnya sehinggakan dia mengingatkan aku pada penghujung hari. Sejak hari itu aku sentiasa mengingati tarikh-tarikh penting dalam keluarga aku. Ini ditambah lagi dengan keprihatinan anak-anak aku yang sentiasa mengingati tarikh-tarikh tersebut.

Petang itu aku menerima panggilan telefon daripada Mak Munah. Beliau memberi cadangan supaya aku membuat tahlil dan kenduri ringkas di surau selepas solat Maghrib dan aku bersetuju dengan cadangan mak mertua aku itu.

Aku masih buntu memikirkan apakah hadiah yang ingin aku berikan kepada isteri aku itu. Anak-anak meminta aku balik awal supaya dapat membuat 'suprise' bila emaknya pulang tapi aku tak fikir begitu.

Selepas waktu kerja, aku singgah di sebuah kedai telekomunikasi di Batu Berendam. Cuba bertanyakan harga dan gajet beberapa telefon bimbit terbaru di kedai tersebut. Akhirnya dapat sebuah yang aku rasakan sesuai untuk dijadikan hadiah hari jadi Ida. Menariknya, tauke kedai tu tolong bungkuskan hadiah itu untuk aku.

Aku sempat singgah di Kentucky Fried Chicken untuk membeli ayam goreng, kentang lecek dan nugget dalam bentuk bucket. Dan dalam perjalanan pulang ke rumah, aku singgah di sebuah kedai kek untuk membeli kek ais krim pula.

Petang itu, Mak Munah sudahpun memesan beberapa bungkus nasi lemak dan karipap. Beliau sibuk di dapur menyediakan teh tarik dan persiapan lain untuk dihantar ke surau. Sememangnya surau di kampung ini setiap malam Jumaat tidak putus-putus orang bersedekah selepas bacaan Yasin.

Selepas solat Isyak, kami sekeluarga meraikan hari lahir Ida. Paling teruja ialah Ifa. Siap padam lampu dan pasang lilin lagi. Anak-anak kemudiannnya memeluk ibu mereka dan mencium pipinya serta mengucapkan selamat hari jadi. Aku merasa terharu dengan suasana begini.

Tiba-tiba Ifa mengeluarkan hadiah yang dibeli dan bersama adik-beradik yang lain terus memberikannya kepada ibu mereka. Kemudian, masing-masing menikmati juadah yang disediakan.

Aku mengharapkan suasana begini akan berterusan sampai bila-bila. Bukan hadiahnya yang penting bagi aku tetapi ingatan itulah yang paling bermakna dalam hidup seseorang.
















Khamis, Disember 03, 2009

Bangunan Perpustakaan Disambar Petir

Pada 2 Disember 2009, sewaktu sedang menyiapkan kerja di bilik, tiba-tiba hujan lebat. Sudahlah keadaan bilik yang sejuk dek penyaman udara berpusat di bangunan ini, kini hujan pula. Tingkap bilik pun berkabus.

Tiba-tiba aku terdengar dentuman kuat panahan petir dari sebelah kanan bangunan perpustakaan berhampiran tempat letak kereta.

Rakan sekerja yang lain, Fauziah pula tidak berhenti-henti membaca ayat suci bila mendengar dentuman tersebut.

"Eh! Ada batu jatuh" jerit Mawardi, rakan setugas aku.

Aku terkejut dan cuba bertanyakan arah jatuhnya batu. Beliau menunjukkan hanya beberapa meter di atas jalan di belakang bilik kami. Dari cermin bilik yang sedikit berkabus, masing-masing cuba meninjau lokasi jatuhnya batu tadi.

Seingat aku kejadian berlaku lebih kurang pada pukul 4.30 petang. Pukul 5.00 petang, setelah hujan reda, kami melangkah ke tempat letak kereta menuju ke kenderaan masing-masing untuk pulang.

Aku sempat meninjau tempat kejadian. Bumbung perpustakaan sedikit terkopak dan serpihan batu bertaburan di atas jalan. Aku tidak dapat bayangkan jika pada masa kejadian, ada pejalan kaki yang lalu-lalang di situ ataupun kenderaan yang melaluinya, pasti akan berlaku kejadian yang tidak diingini.

Aku masih lagi memikirkan apakah petanda kejadian ini...





Lawatan Sekolah SRAJDP Ke Kuala Lumpur

Hari Selasa, 1 Disember 2009. Pagi ini aku keluar ke tempat kerja agak awal. Bukan apa, dua hari lepas, aku menerima panggilan telefon daripada ustazah SRA Jalan Datuk Palembang memaklumkan tentang lawatan sekolah ke beberapa tempat menarik di Kuala Lumpur.

Sewaktu aku menghantar Ifa ke sekolah, ramai lagi rakan-rakan sekolahnya sudahpun berkumpul berhampiran pondok jaga. Masing-masing ceria. Maklumlah cuti sekolahpun sudah memasuki minggu ketiga dan barangkali banyak cerita yang ingin mereka kongsikan. Aku sempat menghulurkan kamera kepada Ifa meminta dia merakamkan gambar-gambar semasa di sana.

Petang itu, jam 7.30 malam, rombongan ini pulang. Banyak yang Ifa kongsikan cerita semasa lawatan. Antara yang aku dengar ialah Masjid Negara dan Aquaria. Inilah antara gambar foto yang dirakamkan Ifa sendiri.