Memaparkan catatan dengan label perpustakaan utem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perpustakaan utem. Papar semua catatan

Khamis, Februari 04, 2010

Lawatan Kerja Staf Perpustakaan UTHM



















Hari ini Perpustakaan UTeM dikunjungi pelawat lagi. Kali ini 9 orang staf Perpustakaan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Rombongan ini diketuai oleh Puan Nordiah Hj. Musa, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Bahagian Pembangunan Sumber Maklumat, Perpustakaan UTHM. Mereka yang terlibat dengan lawatan kerja ini adalah seperti berikut:

1. Encik Zulkiply Yahyin, Timbalan Ketua Pustakawan,
Bahagian Perkhidmatan dan Teknologi Maklumat,
2. Encik Mohd Razif M. Ismail, Pustakawan Kanan,
Bahagian Perolehan
3. Encik Suhaimi Mohd. Sukor, Pustakawan Kanan,
Bahagian Teknologi Maklumat
4. Encik Nor Azezee Ahmad, Penolong Pendaftar,
Bahagian Pentadbiran dan Pembangunan Sumber Manusia
5. Encik Hisyam Abd. Shukor, Pustakawan,
Unit Pengurusan Sirkulasi
6. Encik Faizul Sahari, Pustakawan,
Unit Pengurusan Koleksi
7. Encik Muhamad Azrul Hisam Salleh, Pustakawan,
Unit Pengindeksan dan Bibliografi
8. Encik Md Hafiz Abu Bakar, Pembantu Perpustakaan Kanan,
Unit Pengurusan Sirkulasi.

Tujuan lawatan ini antara lain ialah untuk melihat perabot-perabot yang ada di Perpustakaan UTeM sebagai persediaan perolehan perabot untuk bangunan baru Perpustakaan UTHM.

Rombongan ini tiba di Perpustakaan UTeM pada jam 10.45 pagi dan dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama. Mereka dihidangkan dengan sarapan pagi sebelum diberikan taklimat lawatan pada pukul 11.15 pagi. Taklimat disampaikan oleh Ketua Pustakawan.

Ketua Pustakawan memulakan taklimat dengan sejarah penubuhan Perpustakaan UTeM sehinggalah kepada perpindahan ke bangunan baru di Kampus Induk Durian Tunggal. Beliau juga menyentuh tentang penubuhan fakulti baru dan sasaran 10,000 orang pelajar pada tahun 2010. Beliau juga menyatakan banyak kekangan yang dihadapi oleh Perpustakaan UTeM semasa penyediaan infrastruktur perpustakaan seperti peralatan, pengisian ruang dan sebagainya. Taklimat ini juga dibantu dengan persembahan slaid perpustakaan.

Pukul 12.30 tengah hari, rombongan Perpustakaan UTHM ini dibawa melawat semua unit di perpustakaan serta ruang pengguna. Mereka juga menilai fungsi ruang dan perabot yang ada agar persediaan yang rapi dapat dibuat semasa pemilihan perabot mereka nanti. Akhirnya mereka dijemput untuk makan tengah hari di Bilik Perbincangan, Unit Pentadbiran.

Pukul 2.00 petang, kedua-dua pihak bertukar-tukar cenderamata. Selepas sesi bergambar, rombongan ini berangkat pulang ke Parit Raja pada pukul 2.30 petang.

Semoga lawatan kerja ini memberi manfaat kepada ahli rombongan Perpustakaan UTHM sebagai persediaan perpindahan ke bangunan baru nanti.

Isnin, Januari 18, 2010

Tamat Latihan Praktikal

Jumaat, 15 Januari 2010 merupakan hari terakhir latihan praktikal bagi pelajar bernama Noor Hasniza Abdul Rahman dan Nazlin Jinail di Perpustakaan UTeM.

Kedua pelajar ini mula menjalani latihan praktikal di perpustakaan ini pada 16 November 2009. Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada keduanya mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran sebagai persediaan memasuki dunia pekerjaan kelak.

Noor Hasniza berasal dari Perak manakala Nazlin pula dari Sabah. Kedua-duanya merupakan pelajar dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam.

Noor Hasniza ditempatkan di Unit Pengindeksan selama 10 hari mulai 18 November hingga 2 Disember 2009 manakala Nazlin pula ditempatkan di unit tersebut mulai 10 hingga 24 Disember 2009. Puan Fauziah dan Encik Ahmad Abu Bakar merupakan pegawai dan staf yang bertanggungjawab memberikan latihan kepada kedua pelajar tersebut.

Majlis ringkas sempena tamat latihan praktikal ini diadakan di Bilik Seminar, Perpustakaan UTeM. Cenderamata disampaikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Cik Siti Noor Kiah Syed Abdul Malek.

Semoga kedua mereka akan terus maju dalam bidang kepustakawanan dan cepat mendapat pekerjaan...







Nazlin Jinail

Noor Hasniza Abdul Rahman

Cenderamata untuk Noor Hasniza

Cenderamata untuk Nazlin

Hadiah kenangan berupa hamper

Cenderamata untuk kedua pelajar disampaikan oleh TKP


Cenderamata kenangan untuk Perpustakaan UTeM daripada kedua pelajar


Khamis, Disember 03, 2009

Bangunan Perpustakaan Disambar Petir

Pada 2 Disember 2009, sewaktu sedang menyiapkan kerja di bilik, tiba-tiba hujan lebat. Sudahlah keadaan bilik yang sejuk dek penyaman udara berpusat di bangunan ini, kini hujan pula. Tingkap bilik pun berkabus.

Tiba-tiba aku terdengar dentuman kuat panahan petir dari sebelah kanan bangunan perpustakaan berhampiran tempat letak kereta.

Rakan sekerja yang lain, Fauziah pula tidak berhenti-henti membaca ayat suci bila mendengar dentuman tersebut.

"Eh! Ada batu jatuh" jerit Mawardi, rakan setugas aku.

Aku terkejut dan cuba bertanyakan arah jatuhnya batu. Beliau menunjukkan hanya beberapa meter di atas jalan di belakang bilik kami. Dari cermin bilik yang sedikit berkabus, masing-masing cuba meninjau lokasi jatuhnya batu tadi.

Seingat aku kejadian berlaku lebih kurang pada pukul 4.30 petang. Pukul 5.00 petang, setelah hujan reda, kami melangkah ke tempat letak kereta menuju ke kenderaan masing-masing untuk pulang.

Aku sempat meninjau tempat kejadian. Bumbung perpustakaan sedikit terkopak dan serpihan batu bertaburan di atas jalan. Aku tidak dapat bayangkan jika pada masa kejadian, ada pejalan kaki yang lalu-lalang di situ ataupun kenderaan yang melaluinya, pasti akan berlaku kejadian yang tidak diingini.

Aku masih lagi memikirkan apakah petanda kejadian ini...





Jumaat, November 13, 2009

Majlis Penutup Festival Membaca 2009

Majlis Penutup Festival Membaca 2009 anjuran Perpustakaan UTeM telah diadakan di Ruang Pengguna, Perpustakaan UTeM pada 12 November 2009. Majlis ini dihadiri oleh Professor Madya Muhammad Syahrir Johal, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) mewakili Naib Canselor UTeM, Ketua Pustakawan, Hajah Faridah Md. Amin dan Pengarah Program Festival Bulan Membaca 2009, Zaidi Saad.

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, para jemputan yang terdiri daripada staf fakulti, agensi luar, sekolah-sekolah dan IPT di sekitar Negeri Melaka.

Majlis ini adalah kemuncak daripada segala aktiviti yang diadakan oleh Perpustakaan UTeM sepanjang tahun di mana beberapa aktiviti telah diadakan sebelum ini antaranya pertandingan menulis esei, jumble sale, pameran agensi, pertandingan indoor game, pameran persatuan pelajar, pertandingan teka berat buku, pertandingan tulisan khat kreatif, Exploread, pertandingan kuiz membina minda, pertandingan bercerita buku kegemaran saya, Spell it Right, pertandingan mewarna dan juga mengadakan hari pelepasan denda.

Di dalam ucapannya, Hajah Faridah memaklumkan aktiviti bulan membaca ini diadakan setiap tahun tetapi ianya pertama kali diadakan di bangunan baru. Beliau mengharapkan agar aktiviti sebegini dapat menyemai tabiat membaca di kalangan warga kampus di samping dapat membentuk jati diri dalam mencapai minda kelas pertama. Beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan aktiviti ini.

Professor Madya Muhammad Syahrir Johal, yang mewakili Naib Canselor UTeM semasa membacakan teks menyeru agar semua pihak sama ada pemimpin, golongan korporat, para akademik, agensi kerajaan, pelajar-pelajar dan juga masyarakat setempat dapat mengambil peluang mendapatkan ilmu dan mengamalkan budaya membaca. Masyarakat digalakkan membaca bukan sahaja dari bahan-bahan bercetak malah bahan-bahan di dalam internet. Beliau menyarankan agar semangat untuk mendapatkan ilmu itu harus dijadikan satu "budaya" yang luar biasa yang mampu meluas dan memperkayakan minda masyarakat.

Daripada 245 orang menyertai aktiviti-aktiviti Festival Bulan Membaca yang diadakan mulai 1 Oktober 2009, seramai 56 pemenang telah dipilih dan hadir dalam majlis ini. Hadiah-hadiah pertandingan disampaikan oleh ketiga-tiga tetamu di pentas. Majlis berakhir pada jam 5.30 petang.