Memaparkan catatan dengan label festival bulan membaca. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label festival bulan membaca. Papar semua catatan

Jumaat, November 13, 2009

Majlis Penutup Festival Membaca 2009

Majlis Penutup Festival Membaca 2009 anjuran Perpustakaan UTeM telah diadakan di Ruang Pengguna, Perpustakaan UTeM pada 12 November 2009. Majlis ini dihadiri oleh Professor Madya Muhammad Syahrir Johal, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) mewakili Naib Canselor UTeM, Ketua Pustakawan, Hajah Faridah Md. Amin dan Pengarah Program Festival Bulan Membaca 2009, Zaidi Saad.

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, para jemputan yang terdiri daripada staf fakulti, agensi luar, sekolah-sekolah dan IPT di sekitar Negeri Melaka.

Majlis ini adalah kemuncak daripada segala aktiviti yang diadakan oleh Perpustakaan UTeM sepanjang tahun di mana beberapa aktiviti telah diadakan sebelum ini antaranya pertandingan menulis esei, jumble sale, pameran agensi, pertandingan indoor game, pameran persatuan pelajar, pertandingan teka berat buku, pertandingan tulisan khat kreatif, Exploread, pertandingan kuiz membina minda, pertandingan bercerita buku kegemaran saya, Spell it Right, pertandingan mewarna dan juga mengadakan hari pelepasan denda.

Di dalam ucapannya, Hajah Faridah memaklumkan aktiviti bulan membaca ini diadakan setiap tahun tetapi ianya pertama kali diadakan di bangunan baru. Beliau mengharapkan agar aktiviti sebegini dapat menyemai tabiat membaca di kalangan warga kampus di samping dapat membentuk jati diri dalam mencapai minda kelas pertama. Beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan aktiviti ini.

Professor Madya Muhammad Syahrir Johal, yang mewakili Naib Canselor UTeM semasa membacakan teks menyeru agar semua pihak sama ada pemimpin, golongan korporat, para akademik, agensi kerajaan, pelajar-pelajar dan juga masyarakat setempat dapat mengambil peluang mendapatkan ilmu dan mengamalkan budaya membaca. Masyarakat digalakkan membaca bukan sahaja dari bahan-bahan bercetak malah bahan-bahan di dalam internet. Beliau menyarankan agar semangat untuk mendapatkan ilmu itu harus dijadikan satu "budaya" yang luar biasa yang mampu meluas dan memperkayakan minda masyarakat.

Daripada 245 orang menyertai aktiviti-aktiviti Festival Bulan Membaca yang diadakan mulai 1 Oktober 2009, seramai 56 pemenang telah dipilih dan hadir dalam majlis ini. Hadiah-hadiah pertandingan disampaikan oleh ketiga-tiga tetamu di pentas. Majlis berakhir pada jam 5.30 petang.

























Forum Kepustakawanan Festival Membaca 2009

Forum Kepustakawanan sempena Festival Membaca 2009 anjuran Perpustakaan UTeM ini berlangsung di Ruang Pengguna Perpustakaan UTeM pada 12 November 2009. Forum bertemakan 'Melestarikan Perpustakaan Sebagai Gedung Kecemerlangan Ilmu' ini mempunyai beberapa objektif, antara lain memupuk kesedaran akan kepentingan membaca sepanjang hayat dan menjadikannya sebagai satu budaya serta menanam budaya membaca bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan berfikiran kreatif.

Panel-panel forum terdiri daripada Mohamad Nizam Ayof, Penyelaras Pusat Pengajian Siswazah, Ahmad Faizal Abdul Rahman, Penolong Pendaftar, Pejabat HEPA dan Muhammad Thoriq Mohamad Zaid, Timbalan YDP Majlis Perwakilan Pelajar UTeM manakala pemudahcaranya ialah Professor Dr. Md. Dan Md. Palil, Professor di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan.

Di antara isu dan cabaran yang dibangkitkan oleh panel ialah dari segi budaya dan sikap masyarakat, teknologi, peranan perpustakaan dan peranan kerajaan dalam menggalakkan pembacaan.

Dari kacamata pendidik, Mohamad Nizam melihat teknologi banyak memberi impak yang besar kepada membaca dengan adanya internet di mana ianya dapat menyalurkan bahan bacaan yang lebih meluas dan selektif kepada pembaca manakala beliau berpendapat pustakawan juga perlu memainkan peranan dalam memantapkan diri dengan keupayaan menguasai Bahasa Inggeris bagi menarik pengguna perpustakaan yang mungkin sebahagiannya terdiri daripada pensyarah-pensyarah asing. Beliau mengharapkan agar perolehan pangkalan data oleh perpustakaan hendaklah berteks penuh tidak sekadar abstrak kerana ini tidak membantu sepenuhnya para penyelidik. Di samping itu, bagi meningkatkan mutu penyelidikan, beliau berpendapat ada keperluan pihak perpustakaan mengawal dari segi plagiat di mana wujudnya perisian yang mampu mengesan plagiat di kalangan pelajar semasa menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

Beliau juga menyentuh dari segi pembacaan di mana mencadangkan kaedah 'reverse' di mana bukan ibu bapa membaca untuk anak sebaliknya anak membaca kepada ibu bapa bila mana anak sudah membaca bahan tersebut. Beliau menyatakan di sekolah-sekolah tadika juga telah menjadi lumrah di mana bila anak-anak sudah mampu membaca, bahan bacaan kerap ditukar-tukar bagi mengelakkan kebosanan dan menggalakkan minat membaca pada peringkat awal lagi. Ada juga cadangan untuk diadakan bookstart bila mana di satu-satu kawasan, dicadangkan ada dua atau tiga famili dijadikan keluarga angkat dalam memupuk minat membaca. Mohamad Nizam mencadangkan agar buku-buku yang yang sudah dilupuskan boleh diserahkan kepada Jabatan Penjara kerana mereka yang masih di dalam penjara juga perlukan pembacaan.

Dari sudut pentadbir pula, Ahmad Faizal berpendapat ada keperluan masyarakat ke perpustakaan kerana di sana ada ilmu dan beliau membandingkan orang berilmu dan tidak berilmu di mana itulah langkah permulaan mendapatkan ilmu. Beliau menyarankan agar tujuan membaca bukan setakat membaca untuk lulus peperiksaan sebaliknya membaca untuk diri sendiri bagi mendapatkan ilmu pengetahuan.

Dari sudut pelajar pula, Muhammad Thoriq bersetuju dengan peranan yang dimainkan oleh perpustakaan pada masa kini di mana banyak membantu pelajar dari segi penyediaan bahan dan perkhidmatan perpustakaan. Pelajar dapat menikmati kemudahan ini tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar dalam mendapatkan maklumat yang diperlukan. Beliau membandingkan tabiat membaca di kalangan masyarakat Jepun yang jauh berbeza dengan masyarakat di sini dan menyarankan agar diwujudkan satu KPI dalam mencapai matlamat membudayakan membaca di kalangan masyarakat.

Rumusan dari sesi forum ini, perpustakaan dapat dilestarikan dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti Festival Bulan Membaca yang dapat menarik pengunjung di samping peranan sedia ada perpustakaan pada masa kini.

Forum yang dihadiri peserta seramai 120 orang ini yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah-sekolah dan IPT di sekitar Negeri Melaka ini berakhir pada jam 4.00 petang. Forum ini dianggap berjaya mencapai matlamatnya di mana beberapa soalan berkaitan isu berkenaan dibangkitkan oleh peserta.











Khamis, Oktober 15, 2009

Exploread 2009

Exploread 2009 merupakan salah satu aktiviti perpustakaan yang diadakan sempena Festival Bulan Membaca 2009. Ianya telah diadakan pada 14 Oktober 2009 bertempat di Perkarangan Perpustakaan UTeM. Antara tujuan aktiviti ini diadakan ialah bagi meningkatkan minat membaca di kalangan warga UTeM di samping mempromosikan perpustakaan.

Sebanyak 10 pasukan menyertai pertandingan ini dan penyertaan di saat-saat akhir menjadikan ianya sungguh meriah. Sesi pendaftaran peserta dibuka pada jam 2.30 petang dan ditutup pukul 3.00 petang. Setiap pasukan mengandungi 3 orang peserta. Kemudian satu sesi taklimat diadakan di Bilik Muzik di mana para peserta dibekalkan sebotol air mineral dan juga kek.

Sebelum aktiviti Exploread bermula, satu sesi bergambar diadakan di perkarangan bangunan Perpustakaan UTeM. Puan Hajah Faridah Md. Amin, Ketua Pustakawan UTeM turut hadir untuk melepaskan para peserta sebagai tanda perasmian acara.

Sebaik pertandingan dimulakan, para peserta mengambil puzzle untuk dicantumkan secara berkumpulan dan kemudian berbasikal ke FTMK. Di sana peserta dikehendaki menjawab satu soalan dan melakukan suatu aktiviti sebelum bertolak ke FKEKK. Peserta seterusnya perlu menjawab satu soalan dan mencari buku-buku yang disembunyikan. Mereka kemudian berbasikal ke Perkarangan Stadium UTeM di mana mereka perlu berbahasa isyarat. Laluan seterusnya ialah peserta ke tempat letak kereta Canselori di mana dua soalan perlu dijawab sebelum ke Pusat Persatuan Pelajar bagi mencari staf perpustakaan untuk mendapatkan tandatangan dan cop perpustakaan.

Laluan terakhir peserta ialah berbasikal ke perpustakaan semula. Di sini aktiviti terakhir ialah menjawab beberapa soalan mengenai perpustakaan. Pertandingan yang bermula pada pukul 3.40 petang ini berakhir kira-kira sejam kemudiannya menyaksikan kumpulan UTeM Juniors menjadi juara. Tempat kedua disandang oleh kumpulan Super Girl dan ketiga ialah kumpulan Jin Hitam.

Para peserta kemudian dijamu dengan kuih-muih dan mee goreng sebelum keputusan pertandingan diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi Festival Bulan Membaca 2009, Saudara Zaidi Saad.

Keputusan Pertandingan Exploread 2009
1. UTeM Juniors (54.18 minit)
2. Super Girl (49.08 minit)
3. Jin Hitam (1 jam 01.31)
4. Kerex Hunter (56.05 minit)
5. Opet (59.54 minit)
6. Jean Notty (59.19 minit)
7. Permata (1 minit 05.36)
8. We-Know-How (1 minit 00.55)
9. Kami Berserah (50.81 minit)
10. X Pandai Naik Basikal (58.31 minit)