Sabtu, Februari 07, 2009

Seminar ESQ 165 Mission Statement & Character Building















Sebahagian peserta yang menghadiri Seminar ESQ MCB Angkatan 3.

Pada 31 Januari 2008, aku menghadiri Seminar ESQ Mission Statement & Character Building di Ballroom Sheraton Hotel & Tower, Subang. Seawal jam 7.15 pagi, aku sudah berada di lobi hotel dan menunggu rakan-rakan seuniversiti untuk bersama-sama mendaftar. Agak bersemangat juga bila menghadiri Seminar ESQ Public. Sebaik mendaftar, kami diberikan satu sampul yang mengandungi bahan-bahan untuk seminar ini. Seramai 300 orang peserta menghadiri seminar dan kumpulan ini dikenali MCB Angkatan 3 Kuala Lumpur.

Training kali ini sungguh istimewa. Trainernya ialah Dr. Ary Ginanjar Agustian, pengasas Model ESQ 165 dan Pak Legisan. Dalam ramai-ramai peserta ini, ada juga public figure yang aku kenal seperti Datuk Zainal Abidin Sakom, Datuk Husamudin, Zamarulhisham, Linda Rafar dan lain-lain.

Peserta ditekankan tentang matlamat hidup perlu disandarkan pada visi dan misi yang jelas, nilai dan sikap mulia bagi membentuk karektor yang teguh dan berani. Manusia diuji dengan 2 keadaan iaitu senang dan susah di mana pada waktu senang kita perlu bersyukur manakala apabila susah, kita hendaklah bersabar. Berbagai permainan diadakan di mana di sebalik permainan itu terselit makna yang tersirat. Di samping itu, untuk menjadikan peserta lebih bersemangat, ada yell, hadiah dan sebagainya. Peserta juga perlu bersalam semut dengan sesama rakan dan mereka juga tidak kering gusi dengan telatah Pak Ary yang mencuit hati di samping telatah peserta yang mengambil bahagian dalam permainan. Mereka juga diminta pendapat setelah sesuatu permainan itu tamat. Sambutan daripada peserta sungguh hebat dan ini menjadikan suasana dalam dewan hingar-bingar. Hari pertama seminar tamat jam 7.45 malam.

1 Februari 2008, hari kedua seminar. Seperti hari pertama, hari kedua juga banyak menggunakan permainan dalam mencari makna tersirat. Kemuncaknya satu permainan dalam kumpulan seramai 7 orang di mana peserta diberikan 3 batang kayu (stick) yang diandaikan 3 nyawa. Mereka diandaikan dalam sebuah kapal dan kapal tersebut hampir tenggelam. Dalam tempoh masa yang singkat, peserta perlu memilih sama ada ingin memberikan harapan (stick) kepada rakan-rakan atau perlu meminta daripada mereka. Akhirnya kedua-dua mereka yang memberi dan menerima dihukum kerana yang menerima belum tentu akan menunaikan tanggungjawabnya manakala yang memberi pun tidak tahu niat sebenar mereka yang menerima. Begitulah andaiannya.

Seminar in tamat jam 7.30 malam. Dan malam ini aku kembali ke rumah dan sampai di Melaka jam 11.00 malam.



















Penulis bergambar bersama Encik Samsul Samdin, Timbalan Pengarah Pusat Komputer.

Dari Mana Datangnya 165?















ESQ WAY 165.
dari mana datangnya 165?
ya, ramai rakan-rakan yang bertanyakan apa itu 165?

Hmm..

Suatu malam, Rasulullah SAW sedang berkumpul bersama para sahabat.Tiba-tiba ada seseorang yang datang, dengan wajah berseri dan baju putih bersih. Para sahabat bingung, siapakah gerangan lelaki ini. Ia tidak tinggal di daerah ini, kerana tidak ada yang mengenalnya. Wajahnya pun tidak menampakkan wajah keletihan, jika benar dia telah melakukan perjalanan jauh.

Lelaki itu mendekati Rasulullah, duduk di hadapan Baginda, bahkan lututnya pun beradu (mengenai) dengan lutut Rasulullah.

Lelaki itu lantas bertanya."Ya Rasulullah, apakah Islam itu?"Rasulullah menjawab, "Islam adalah apabila engkau berSyahadah, mendirikan Solat, menjalankan Puasa, Berzakat dan Haji jika engkau mampu".

Lelaki itu berkata, "Shaddaqta ya Rasulullah, engkau benar ya Rasul".

Lalu ia kembali bertanya, "Apakah Iman itu ya Rasul?"Rasulullah kembali menerangkan, "Iman adalah apabila engkau mempercayai Allah, Malaikat, Nabi dan Rasul, Kitab Suci, Hari Kemudian, serta apabila engkau Ikhlas dan Tawakal pada ketentuanNya".

Lelaki itu kembali berkata, "Shaddaqta ya Rasulullah".

Lelaki itu bertanya kembali, "Apa itu Ihsan ya Rasulullah?"Rasulullah menjawab, "Ihsan adalah apabila engkau percaya kepada Allah dan mampu melihatNya, namun apabila engkau tak mampu, maka merasalah selalu dilihat olehNya"

Lelaki itu menjawab, "Shaddaqta ya Rasul, engkau benar"

Kembali, ia bertanya, "Bilakah kiamat akan terjadi ya Rasul?"Rasulullah pun menjawab, "Yang bertanya dan yang ditanya sama-sama tidak mengetahui".

Setelah dijawab pertanyaannya, lelaki berwajah berseri itupun pergi..

Sahabat yang bingung pun bertanya, "Siapa lelaki itu wahai Rasulullah?"

dan Rasulullah pun menjawab, "Beliau adalah Jibril. Ia hendak mengajarkan apa erti Ihsan, Iman, dan Islam kepada kita.."

Maka, itulah makna 165, 1 Ihsan - 6 Iman - 5 Islam.

Ulang Tahun Arifah Ke-10















Kek harijadi Ifa.

30 Januari 2008 merupakan ulangtahun ke-10 Nur Arifah Adlina, anak kedua aku. Seawal pagi, sebelum aku ke tempat kerja, aku sempat mengucup dahi dan mengucapkan Happy Birthday kepadanya. Anak-anakku tidak bersekolah hari itu kerana masih bercuti sempena Tahun Baru Cina.

Hari itu aku bekerja separuh hari kerana pada sebelah petang aku bercadang bertolak ke Subang Jaya untuk menghadiri Seminar ESQ 165 MCB. Sempat belikan kek harijadi dan majlis ringkas itu diraikan mereka adik-beradik. Kami menganggapkan ianya meraikan hari lahir untuk Nur Hamizah dan Muhammad Alim sekali kerana kami tidak sempat meraikannya pada 2 Januari 2008 yang lalu semasa ke Terengganu.

Aku bertanyakan nak hadiah apa kepada Arifah dan beliau inginkan Playstation 2. Petang itu aku membawa semua ahli keluarga ke rumah Roziah dan aku tidak bercadang menginap di hotel sebaliknya ke seminar tersebut daripada rumah beliau.

Keesokan harinya, seperti dirancang, sebaik pulang daripada seminar, aku singgah di Summit dan belikan hadiah untuknya. Semoga hadiah ini menjadikan beliau bertanggungjawab terhadap barangan yang dimilikinya.















Arif menunjukkan 10 jari sebagai simbolik umur Arifah 10 tahun.















Kek aiskrim strawberry sempena harijadi Ifa sungguh istimewa.















Apa tengok-tengok, potong ler cepat... Alim dah tak sabar lagi!!

Menjadi ATS Untuk ESQ 165 Angkatan 2 UTeM

Aku bersyukur dan berbangga kerana menjadi ATS untuk julung-julung kalinya bagi training ESQ 165 Angkatan 2 UTeM. ATS merupakan singkatan kepada Alumni Training Support kini ditukar nama menjadi Advance Training Series.Tugas ATS antaranya ialah membantu memastikan semua yang dirancangkan dalam program berjalan lancar.

Pada 16 Januari 2008, pada sebelah petang, selepas kerja kami berkumpul dan diberikan taklimat oleh ATS luar. ATS luar ini datangnya dari luar UTeM dan mereka datang membantu secara sukarela. Kami di UTeM sebenarnya berkongsi pengalaman dan banyak belajar daripada ATS luar ini. Aku dilantik sebagai ko-ordinator yang menyelaraskan semua keperluan trainer, ATS luar dan ATS UTeM semasa program ini berjalan. Kami akan mengadakan perbincangan, perancangan dan post-mortem setiap hari setiap kali selesai program. Trainer pada kali ini ialah Pak Dudi dan Pak Legisan dan dibantu oleh Encik Akmal.

Pada sebelah malam, semua ATS, trainer dan beberapa orang pegawai kanan UTeM dibawa dengan sebuah bas ke Muara Sungai Duyung untuk menjamu makanan laut. Lewat malam, kami pulang ke chalet yang disediakan.

Pada 17 Januari 2008, kira-kira jam 7.00 pagi, kami ke dewan tempat di mana berlangsungnya Training ESQ di Hotel D'Village, Ayer Keroh. Setelah semua ATS berkumpul, kami akan memulakan perbincangan dengan doa, puji-pujian dan selawat ke atas Rasulullah, lagu-lagu dan gerakan-gerakan ESQ 165 serta Asmaul Husna.Kemudian kami akan berbincang ringkas apa tugas yang akan dilakukan pada hari itu dan membahagi-bahagikan tugas. Kemudian kami akan yell atau menjerit dengan penuh semangat:

Satria UTeM, go go go
Satria UTeM, fight fight fight
Satria UTeM, win win win
Satria UTeM, 165
UTeM, yes!
UTeM, yes!
UTeM, yes!
Malaysia, Boleh!

Pada jam 8.00 pagi, program bermula. Kami akan menyambut semua peserta dengan senyuman paling manis dan mesra dan mempersilakan semua peserta ke tempat duduk disediakan. ATS akan bersedia dengan sepanjang program berjalan. Ini kerana ada masanya bila tiba bab nyanyian dan gerakan seperti lagu Demi Matahari, kami akan diminta ke hadapan untuk bernyanyi bersama-sama dengan peserta. Peserta pula akan sentiasa diteriak dengan panggilan PAGI. Dan untuk memastikan peserta tidak hilang fokus, kadangkala diadakan senaman, permainan, diberikan hadiah dan sebagainya. Peserta juga akan ada sesi alpha di mana ianya gelap dan peserta akan diminta menghayati gambaran kisah-kisah perjuangan Rasulullah dan mengambil teladan daripadanya. Peserta diminta berbicara kepada Allah jika merasakan diri mereka bersalah dan meminta ampun terhadap dosa-dosa mereka.

Kebiasaannya, program akan tamat sehingga hampir masuk waktu Maghrib. Dan kami akan mengadakan sedikit perbincangan selepas Maghrib untuk aktiviti keesokan harinya.

Pada hari terakhir, 18 November 2008, seperti hari sebelumnya, kami akan berkumpul di dewan seawal jam 7.00 pagi dan berbincang tugasan hari kedua. Antara acara kemuncaknya ialah pengucapan syahadah. Berbagai permainan diadakan bagi membuatkan program ini menjadi menarik. Setiap permainan ada maksud tersendiri. Alhamdulillah, semua perancangan berjalan lancar. Dan di penghujung program, peserta memberikan sambutan dan tepukan yang gemuruh kepada program ini yang dianggap berjaya 'menyedarkan' tujuan hidup mereka.

Dan aku merasa lega kerana tugas aku sebagai ko-koordinator selesai. Terima kasih kepada ATS luar dan ATS UTeM. Ada rakan ATS luar yang dapat aku kenali seperti Rudi, Am, Daniel dan lain-lain. Sekurang-kurangnya menjadi ATS, membolehkan aku dan ATS lain menzahirkan 7 nilai dasar ESQ iaitu jujur, tanggungjawab, disiplin, wawasan, kerjasama, adil dan prihatin.

Selasa, Januari 13, 2009

Forum Kekejaman Israel Terhadap Rakyat Palestin















Hari ini, Selasa 13 Januari 2008, aku berkesempatan menyertai satu forum yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka. Forum Kekejaman Israel Terhadap Rakyat Palestin ini diadakan di MITC, Ayer Keroh dan dihadiri hampir 10,000 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS, politeknik, PLKN, belia, kakitangan awam dan lain-lain lagi.

Acara dimulakan pada pukul 9.30 pagi diketuai oleh YB Datuk Idris Harun melaungkan slogan-slogan yang mengutuk penindasan Zionis ke atas Gaza. Laungan-laungan ini disambut oleh semua peserta dengan kibaran sepanduk-sepanduk seperti 'Boikot Israel', 'Hidup Palestin' dan sebagainya. Peti-peti untuk mengutip derma untuk membantu rakyat Palestin juga disediakan. Kira-kira pukul 10.30 pagi, beberapa orang ahli panel forum naik ke pentas seperti Dr. Chandra Muzaffar, Dr. Wee. Kah Siong, Tan Lian Hoe, Mukhriz Mahathir, Datuk Saravanan dan beberapa orang panel lain menyampaikan mesej keamanan dan mengutuk penindasan Israel ke atas Palestin.

Datuk Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka menggulung semua pendapat dengan menyarankan supaya negara tidak keluar daripada PBB supaya ada ruang untuk menyampaikan mesej kepada dunia. Begitu juga beliau mencadangkan supaya ada satu kuasa lain selain Amerika Syarikat bangkit untuk mengimbangi kuasa negara tersebut. Beliau juga mencadangkan supaya langkah memboikot barangan Amerika dan Israel diteruskan.

Perhimpunan ini berakhir pada jam 1.00 tengah hari dengan acara kemuncak iaitu membakar patung Ehud Olmert, Perdana Menteri Israel dan juga bendera Israel.















Sebahagian peserta bersama-sama melaungkan slogan 'Hancur, Hancur Israel'















Dr. Wee Kah Siong menyampaikan mesej keamanannya.















Pelajar-pelajar berhimpun untuk upacara membakar patung dan bendera Israel.















Acara membakar patung dan bendera Israel dijalankan di tempat letak kereta MITC.

Sabtu, Januari 10, 2009

Majlis Merisik Dan Bertunang Hazwan












Jumaat, 2 Januari 2009, aku memulakan perjalanan hidup di tahun baru ini dengan satu perjalanan jauh ke Terengganu. Selepas solat Subuh, aku dengan Ida menghadiri majlis kenduri doa selamat di rumah Busu Jamil. Ini adalah kerana kami akan memulakan perjalanan ke Jertih kerana menghadiri majlis merisik dan bertunang Hazwan, anak sulung beliau.

Pukul 9.00 pagi, dengan menaiki tiga buah kereta. Aku satu kereta, Hazwan satu kereta dan Pak Ngah Ahmad satu kereta. Kami bertolak melalui pekan Durian Tunggal, Selandar, Gemencheh, Pasir Besar, Bera dan berhenti rehat sebentar di Muadzam Shah sebelum meneruskan perjalanan melalui Pekan, Gambang, memasuki Lebuhraya Pantai Timur sebelum keluar di Beserah dan melalui jalan Jabor-Jerangau. Kami berhenti sembahyang, rehat, makan tengah hari di Masjid Kuala Berang. Pukul 4.30 petang, kami meneruskan perjalanan melalui Sungai Tong, Setiu dan kira-kira pukul 7.30 malam, kami sampai di Jertih. Sepanjang perjalanan, cuaca mendung dan hujan lebat. Kami disediakan oleh Busu Jamil, bilik-bilik hotel untuk berehat di Hotel One Utama.

Sebelah malam, selepas Isyak, kami ke gerai makan yang terletak lebih kurang 100 meter dari tempat penginapan. Sepanjang malam, hujan masih lagi membasahi bumi Jertih dan aku menjangkakan cuaca begini akan berterusan sehingga beberapa hari lagi.

Hari Sabtu, 3 Januari 2009, kira-kira pukul 8.30 pagi, kami bersiap untuk check-out daripada hotel. Di luar, hujan masih lagi lebat. Pukul 9.00 pagi, kami ke rumah sahabat Busu Jamil yang terletak beberapa kilometer dari Bandar Jertih. Kami dijamu dengan sarapan pagi iaitu nasi minyak dan juga nasi dagang. Selepas berbual-bual, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Pasir Akar untuk majlis merisik dan bertunang Hazwan. Sahabat Busu Jamil memandu kami ke kampung tersebut. Ini kerana kami tidak biasa dengan kampung-kampung di sini manakala Hazwan pun baru pertama kali menjejakkan kaki ke kampung tersebut.

Kira-kira 25 minit perjalanan melalui jalan alternatif ke Kampung Pasir Akar, kami sampai kira-kira jam 11.00 pagi. Kami dijemput naik oleh tuan rumah. Semua barang-barang hantaran disusun berhampiran dengan pelamin ringkas beralaskan bantal.

Majlis merisik dan bertunang dimulakan. Tuan Hj. Aziz, mewakili rombongan kami memulakan majlis dengan dua rangkap pantun dan memaklumkan kepada semua hadirin tujuan majlis ini diadakan. Majlis kemudian disambut oleh tuan rumah dengan pantun dan juga hasrat tuan rumah mengenai majlis tersebut. Daripada perbincangan, telah dipersetujui pertunangan ini tempohnya setahun dan jika kedua belah pihak ingin mempercepatkan atau sebaliknya, mereka bolehlah berunding. Wang hantaran ditetapkan sejumlah RM8,080.80.

Majlis diteruskan dengan menyarung cincin merisik dan bertunang oleh Busu Fadzlon kepada bakal menantu beliau, Norashikin bt. Yusof. Seterusnya semua tetamu dijamu dengan jamuan sebaik sahaja sesi bergambar selesai.

Kira-kira jam 12.30 tengah hari, kami bertolak balik ke Melaka. Kami dimaklumkan beberapa jalan di Kampung Jabi dinaiki air. Kami dipandu oleh tuan rumah melalui jalan alternatif sehinggalah ke Setiu.

Daripada Setiu, kami melalui jalan pantai dan singgah solat Zohor di Masjid Kg. Penarik, Setiu. Kemudian, kami melalui Kg. Merang, Batu Rakit, melalui bandar Kuala Terengganu, memasuki Kuala Telemong dan terus ke Kuala Berang untuk mengisi minyak. Pukul 4.30 petang, kami bertolak melalui Ajil, Jerangau, Jabor dan memasuki Lebuhraya Pantai Timur seterusnya Gambang dan berhenti rehat di Muadzam Shah.

Selepas berehat sebentar, kami meneruskan perjalanan melalui Segamat, Tangkak, Jasin dan terus ke rumah. Kami tiba jam 12.45 malam. Alhamdulillah, perjalanan kami selamat dan aku harus segera melelapkan mata kerana esok, anak sulungku Muhammad Arif akan mula mendaftar di SMK(A) Sultan Muhammad, Batu Berendam.

Walaupun penat, aku enjoy dengan perjalanan ini.













Kedudukan Kg. Pasir Akar, Jertih.
















Hantaran balasan daripada Shikin kepada Hazwan.















Hantaran daripada Shikin.


















Norashikin, tunang Hazwan.















Upacara menyarung cincin merisik dan bertunang.















Sebahagian daripada tetamu yang hadir.















Atuk kepada Shikin membaca doa selamat.















Saudara-mara kepada Shikin mengaminkan doa.















Tetamu dijamu dengan hidangan istimewa.















Hujan dan laut bergelora yang merupakan pemandangan di Pantai Penarik.















Masjid Penarik.















Arif bergambar di hadapan pintu masuk utama Masjid Penarik.

Selamat Tahun Baru 2009

Tahun Baru 2009 kini menjelma. Setiap tahun, bila menjelang tahun baru, kita akan mengaitkan tahun baru dengan azam. Apa azam aku tahun ini ya? Memang adalah azam yang aku sematkan dalam diri aku ni dan yang pasti aku ingin menjadi seorang insan yang hidupnya lebih baik daripada semalam dan hari-hari seterusnya. Mudah-mudahan segala azam akan tertunai hendaknya. Insya-Allah....