Konsep majlis tahun ini agak berbeza. Ahli-ahli diminta memakai baju melayu dan dibenarkan membawa ahli keluarga tanpa dikenakan bayaran. Dua buah khemah disediakan bagi menampung ahli Listac dan kaum keluarga mereka. Makanan disediakan ala buffet di bahagian luar ruang legar perpustakaan. Seawal jam 6.30 petang, ahli-ahli yang juga staf perpustakaan hadir bersama ahli keluarga mereka. Ada yang membawa isteri dan anak-anak malah ada juga yang datang 'bujang'. Inilah kali pertama suasana hingar-bingar suara anak-anak staf kedengaran di perpustakaan. Ada yang berlari-lari, ada yang menjerit dan ada yang menangis. Suasana begini seolah-olah satu keluarga besar yang berkumpul menjelang hari raya.
Turut hadir di dalam majlis ini ialah Ketua Pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan. Sebaik azan berkumandang, masing-masing berbuka puasa. Pelbagai juadah lauk-pauk dan kuih-muih disediakan. Asam pedas daging, sambal udang, masak lemak pisang dan ayam goreng antara yang menarik minat aku. Bagi memudahkan mereka yang membawa anak kecil, tikar plastik dihamparkan bagi keselesaan mereka yang berkeluarga.
Sebaik selesai menjamu selera, masing-masing menunaikan solat Maghrib. Kemudian ada yang bersembang-sembang dan ada yang terus pulang ke rumah. Majlis ini berakhir kira-kira jam 8.30 malam.
0 ulasan:
Catat Ulasan