Suasana malam raya di kampung ini agak meriah. Bukan sahaja gema takbir kedengaran malah turut bergema dek dentuman mercun di sana sini.
Pada pukul 9.00 malam, jemaah dewasa berkumpul di hadapan madrasah untuk membahagi-bahagikan kumpulan bertakbir. Setiap kumpulan akan diterajui seorang ketua. Ada kira-kira 5 hingga 6 kumpulan di mana setiap kumpulan akan bertakbir di 12 hingga 15 buah rumah.
Setiap rumah yang dikunjungi akan dilaungkan sebanyak dua kali takbir dan ditutup dengan doa. Tuan rumah akan menyediakan sedikit juadah berupa sama ada kuih-muih ataupun ketupat, sambal dan rendang serta minuman. Bergantung kepada keikhlasan dan kemampuan tuan rumah, ada yang bermurah hati bersedekah duit raya. Paling tidak RM1.00 dan kalau bernasib baik, tuan rumah akan menghulurkan duit raya RM5.00
Paling seronok ialah kanak-kanak. Masa ini ialah masa mengumpul duit raya. Seorang kanak-kanak mampu mengumpul sejumlah RM30.00 hingga RM50.00 pada malam raya.
Semakin malam semakin bising dentuman mercun di sana sini. Aktiviti bertakbir di malam raya ini biasanya akan selesai pada kira-kira jam 2.00 hingga 3.00 pagi bergantung kepada bilangan rumah yang dikunjungi. Dan seperti biasa, pada pagi raya, agak sukar untuk mengejutkan anak-anak daripada tidur dan secara tidak langsung akan mengubah jadual yang dirancang di pagi raya nanti.
0 ulasan:
Catat Ulasan