Khamis, Mac 25, 2010

Persekitaran Dan Tabiat Membaca Kanak-kanak

Persekitaran sesuai mampu galak tabiat membaca kanak-kanak
Oleh Mohd Mahzan Awang

Berita Harian, 24/03/2010
Golongan dewasa mesti perbanyakkan bahan bacaan tambahan, medium lebih baik bantu remaja peroleh ilmu pengetahuan

Realitinya, membaca adalah budaya di kalangan masyarakat negara maju seperti Jepun dan United Kingdom. Justeru, ramai yang percaya bahawa kemajuan sesebuah negara, lahir daripada tabiat membaca tanpa melihat faktor sejarah dan budaya kerja mereka.
Ramai juga cuba membandingkan tabiat membaca di kalangan masyarakat Barat dengan masyarakat di Malaysia. Lalu, kesimpulan salah dibuat iaitu masyarakat Barat lebih pintar kerana mereka rajin membaca. Walaupun memang benar membaca adalah antara saluran meningkatkan kepintaran, wujud saluran lain yang turut menyumbang kepada kepintaran termasuk berdiskusi dan membuat refleksi pemikiran. Kekecewaan lazimnya timbul apabila kita meneliti statistik buku yang dibeli dan dipinjam daripada pusat sumber. Data menunjukkan bahawa aktiviti membaca di Malaysia masih tidak memuaskan. Apabila data ini dibandingkan dengan data aktiviti membaca di negara Barat, akan menambahkan lagi rasa kecewa. Hakikatnya perbandingan ini tidak seimbang. Memahami tabiat dan aktiviti membaca memerlukan lensa sosio-budaya setempat.

Umum mengetahui bahawa masyarakat Barat bersifat individualistik dan lebih cenderung untuk hidup dalam keluarga kecil. Banyak masa diluangkan dengan keluarga kecil dan cara mereka bersosial tidak seperti kita bersosial di Malaysia. Oleh kerana cara hidup sebeginilah, mereka memerlukan satu medium untuk berkongsi ilmu pengetahuan.

Kewujudan buku dalam keadaan budaya hidup mereka menjadikan membaca buku sebahagian daripada hidup mereka. Sebab itu jugalah, banyak permainan video, komunikasi maya serta pembelian secara atas talian (internet) menjadi budaya di kalangan masyarakat Barat. Situasi yang sama seakan-akan berlaku dalam masyarakat elit Malaysia terutama di bandar besar.

Jadi tidak hairan kalau kita melihat kanak-kanak yang belajar di sekolah elit mempunyai tabiat membaca yang tinggi tetapi jangan terkejut pula apabila melihat majoriti kanak-kanak lain menunjukkan tabiat membaca yang rendah. Keadaan ini berlaku kerana majoriti kanak-kanak tidak mempunyai masa untuk membaca bahan bacaan selain daripada buku akademik.
Perlu difahami bahawa kehidupan sebagai pelajar amat ketat dengan aktiviti persekolahan. Waktu pagi dan petang seorang pelajar adalah untuk persekolahan (akademik dan kokurikulum). Waktu malam pula untuk kerja sekolah, malah ada yang mengikuti tuisyen. Pada kebanyakan waktu aktiviti ini berlanjutan sehingga hujung minggu. Ini adalah realiti kehidupan pelajar di Malaysia.

Adalah tidak wajar meletakkan harapan tinggi kepada kanak-kanak untuk membaca bahan bacaan selain buku akademik sedangkan orang dewasa pula menghabiskan masa dengan aktiviti yang disukainya. Untuk memupuk minat membaca, golongan dewasa juga perlu menjadikannya budaya.

Kanak-kanak juga memerlukan masa untuk mempelajari kemahiran sosial yang lain ter-utama kemahiran berhujah, memberi pendapat, berkomunikasi dengan orang dewasa serta mempertahankan hak diri. Hakikatnya, minat membaca di kalangan rakyat Malaysia adalah memuaskan. Kalau tidak, masakan setiap tahun pencapaian dalam peperiksaan utama kebangsaan menunjukkan peratusan pencapaian membanggakan. Pastinya prestasi ini adalah hasil daripada kegiatan membaca di kalangan remaja.

Persidangan Buku Kanak-Kanak dan Remaja (22 dan 23 Mac 2010) amat perlu memahami realiti ini serta wajar untuk melebarkan fokus persidangan kepada sejauh mana golongan dewasa menyediakan persekitaran sesuai untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak. Ia wajar diberi perhatian kerana beberapa faktor.

Pertama, orang dewasa mempunyai keupayaan mengatur masa mereka sendiri berbanding kanak-kanak yang terikat dengan aktiviti persekolahan. Keduanya, ramai orang dewasa lebih gemar menghabiskan masa berborak kosong di kedai kopi (akhir-akhir ini ramai yang berminat berkumpul di kopitiam) serta restoran mamak.

Ketiganya, golongan dewasa mempunyai sumber kewangan. Adalah baik menyalurkan wang membeli buku daripada membeli rokok. Akhirnya, golongan dewasa terutama ibu bapa amat perlu meniru budaya Islam yang ditunjukkan oleh masyarakat Barat iaitu membaca buku cerita teladan kepada anak sebelum mereka tidur.

Oleh kerana anak membesar dalam persekitaran yang lazimnya banyak dicorakkan oleh golongan dewasa, dimensi kempen membaca dan perbincangan mengenai isu ini patut diberi fokus serta penekanan kepada golongan dewasa.

Mohd Mahzan Awang ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan, UKM yang kini melanjutkan pendidikan peringkat PhD di Universiti Dundee, United Kingdom.

Selasa, Mac 23, 2010

Anak Zaidi Meninggal Dunia

Pagi ini kami dikejutkan dengan berita kematian anak lelaki Zaidi Saad. Harul rizam, Pustakawan di Unit Pentadbiran memaklumkan berita tersebut kepada kami jam 9.30 pagi sewaktu kami merancang untuk minum pagi.

Pukul 10.35 pagi, sewaktu balik dari cafe, aku menghantar SMS kepada Zaidi.

'Salam. Takziah. Jenazah dah bawa balik?', tanya aku melalui mesej tersebut.

Ramai rakan sepejabat berkumpul di perkarangan perpustakaan untuk menaiki van jabatan bagi tujuan melawat keluarga beliau. Ada yang pergi dengan kenderaan sendiri.

Pukul 11.05 pagi, aku menerima mesej daripada Zaidi berbunyi:

'Da siap kebumi, t kaseh ats semua ucpn takziah, sy redha, sy rela, sy tau setiap yg hdup pasti mati, cuma izinkan sy menangis kerna sifat insani sy x dpt tahan.'

Membaca mesej tersebut membuatkan perasaan kami tersentuh dan berasa sedih dengan apa yang berlaku. Kami memahami perasaan seorang bapa yang amat mengharapkan kehadiran seorang insan bernama anak.

'Bykkan bersabar...' Begitulah bunyi SMS aku kepada Zaidi semula.

Zaidi, Pustakawan di Unit Rujukan seingat aku seorang 'weekend marriage'. Isterinya bertugas di Kuala Lipis, Pahang sedangkan dia pula bertugas di Melaka. Selang dua minggu, beliau akan menjenguk isterinya di sana. Kalau tidak silap aku, bulan Julai 2009, permohonan pertukaran isterinya untuk bertugas di Melaka berjaya.

Jam 11.15 pagi, aku dan Noraini menumpang kereta yang dipandu Hasliza mengikuti sebuah lagi kenderaan yang dipandu oleh Rashid dan Harul Rizam. Pukul 11.30 pagi, kami sudahpun sampai di rumah sewa Zaidi di No. 63, Taman Paya Mas.


Tahlil dipimpin Ustaz Azman - Foto ihsan: Noraini MN a.k.a Stramberry Manis

Ramai staf perpustakaan berada di sana. Pukul 11.40 pagi, kami beramai-ramai membacakan tahlil dengan dipimpin oleh Ustaz Azman. Lebih kurang 30 orang staf perpustakaan dari pelbagai unit berada di sana untuk menziarahi keluarga Zaidi. Turut sama ialah, bapa Zaidi, Encik Saad. Di luar, hujan lebat turun membasahi bumi.


Staf wanita juga turut bertahlil - Foto ihsan: Noraini MN a.k.a Stramberry Manis

Menurut Zaidi, allahyarham anaknya diberikan nama Ahmad Imani dan isterinya bersalin secara biasa. Daripada rakan-rakan, khabarnya isterinya dimasukkan ke hospital pada hari Ahad dan anaknya meninggal dunia pada petang semalam.

Jenazah anaknya dibawa pulang dari hospital pagi ini dan selamat disemadikan pada jam 11.00 pagi ini. Pengkebumian terpaksa dijalankan segera memandangkan cuaca mendung. Beliau memohon kemaafan kerana lewat memaklumkan kepada rakan-rakan dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas lawatan ini.

Pukul 12.10 tengah hari, setelah bersalaman, kami berangkat pulang ke pejabat.

Seluruh warga perpustakaan mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham Ahmad Imani ke rahmatullah, semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah. Amin...

Ice-skating di Sunway Pyramid



Sabtu, 20 Mac 2010. Cuti hujung minggu pada hari-hari terakhir cuti persekolahan. Asalnya nak bawa anak-anak bersiar-siar di Midvalley City tapi dek kesukaran mencari tempat letak kereta, aku sekeluarga berpatah balik ke Sunway Pyramid.

Ifa beritahu dia teringin nak main ice-skating. Katanya dah lama dia idamkan permainan tersebut tetapi tidak berpeluang. Kali ini dia benar-benar berhasrat untuk mencuba permainan tersebut walaupun tiada pengalaman. Aku pernah melihat Ifa bermain kasut roda suatu masa dahulu dan nampaknya dia mampu mengimbangkan badannya dengan baik.

Pukul 6.30 petang, kami sekeluarga berada di Sunway Pyramid. Setelah puas mencari petak kosong, akhirnya dapat juga petak yang dicari dan aku terus meletakkan kereta aku ke dalam petak tersebut. Kami kemudian turun ke tingkat paling bawah sekali dan di sana kelihatan ramai peserta yang bermain ice-skating.

Aku terus ke kaunter tiket untuk membeli dua keping tiket berupa gelang tangan kertas untuk Ifa dan Arif. Bukan murah. Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM34.00 termasuk glove (RM8.00) dan sarung kaki (RM5.00). Setiap peserta dikehendaki memakai stokin dan sarung tangan manakala kasut boleh diambil di kaunter penyimpanan di bahagian dalam.

Setelah mengenakan kasut khas, kedua-duanya masuk ke gelanggang. Arif sejak mula masuk ke gelanggang, kelihatan berhati-hati bimbang terjatuh ke atas gelanggang. Arif sepanjang masa memegang dinding gelanggang tersebut manakala Ifa sedikit berani dan boleh bergerak bebas dan penuh yakin. Pada masa yang sama, kelihatan beberapa peserta yang jatuh terlentang di atas gelanggang. Seingat aku Arif hanya sempat buat satu pusingan sahaja manakala Ifa sudahpun beberapa pusingan.

Ifa ni suka mencuba. Dia tak kisah, semua permainan dia nak cuba..Dia sukakan cabaran...

Alim, Miza dan Farhana dibawa ke KFC oleh Ida. Setelah selesai, aku membawa ketiga-tiganya bermain sand art bagi mengisi masa dan juga untuk melekakannya.

Akhirnya pada pukul 10.00 malam, kami bertolak pulang ke rumah Farok.















Bermain-main di MegaKidz

Hari Minggu, 21 Mac 2010 kami sekeluarga dan keluarga Farok bercadang ke Midvalley City. Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, kami bergerak ke sana. Kami pergi dengan sebuah kenderaan sahaja.

Setelah meletakkan kenderaan di ruang meletak kereta, kami bergerak ke tingkat atas pusat beli-belah tersebut. Kami ke MegaKidz, suatu tempat permainan kanak-kanak. Bayaran masuk pun boleh tahan jugak. Bagi kanak-kanak berumur di bawah 2 tahun, caj sebanyak RM12.50 dikenakan manakala bagi kanak-kanak berumur 2 hingga 16 tahun, cajnya pula ialah RM25.00 seorang. Itu tidak termasuk stokin yang perlu dipakai oleh setiap kanak-kanak yang masuk dan bermain di dalam kawasan permainan tersebut.

Kawalan di sini ketat. Kanak-kanak dikawal dengan rapi dan tidak boleh keluar dari kawasan permainan. Ada seorang pengawal keselamatan bertugas bagi memastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Kanak-kanak bebas bermain di dalam kawasan ini tanpa dibimbangi ibu bapa. Beberapa orang pekerjanya akan mengawal dan memastikan keselamatan anak-anak terjamin. Sekiranya kanak-kanak keluar daripada kawasan ini, mereka tidak dibenarkan masuk semula.

Bagi ibu bapa pula, ada ruang menunggu bersebelahan taman permainan dan juga cafe. Tapi di sini, harga makanan dan minuman pula agak mahal. Makanan dari luar pula tidak dibenarkan dibawa masuk. Kanak-kanak memang sukakan taman permainan ini. Ada berbagai bentuk taman disediakan sesuai dengan umur kanak-kanak.

Aku berasa bosan menunggu anak-anak di sini. Hampir 3 jam menunggu, anak-anak tidak mahu pulang. Nak ditinggalkan takut apa-apa terjadi semasa ketiadaan kita, susah juga. Ditunggu, bosan pulak. Pukul 6.00 petang, barulah anak-anak bersetuju untuk pulang.

Semoga cuti persekolahan kali ini dapat memuaskan hati anak-anak aku setelah lama tidak ke mana-mana (melancong).