Selasa, September 22, 2009

Foto Pagi Raya

Berikut adalah foto keluarga aku yang diabadikan di pagi Syawal 1430H. Tema pilihan untuk baju raya pada tahun ini ialah biru metalik.

















Baju Raya Dan Tema Warna Tahun 2009

Perkara yang paling seronok untuk dilihat di pagi Syawal ialah apabila setiap keluarga berpakaian sedondon dengan satu warna tema. Bagi ahli keluarga Mak Munah ni, setiap keluarga ada baju dan warna tema pilihan keluarga mereka. Perkara ini lebih menarik jika diabadikan dalam sesi bergambar bersama keluarga masing-masing.


Keluarga Yunus & Sarah


Keluarga Sharif & Azilah


Keluarga Zaki & Hezrina


Keluarga Zubir & Ina


Keluarga Azman & Rafidah


Keluarga Farok & Roziah


Mak Munah bersama anak dan menantu


Mak Munah bersama menantu.


Mak Munah bersama cucu-cucunya.


Mak Munah bersama cucu-cucunya.

Isnin, September 21, 2009

Sambutan Hari Raya - Hari Raya Pertama

Memandangkan tidur lewat pagi, tak sampai hati pula nak mengejutkan anak-anak dari tidur mereka. Setahun sekali bila berkumpul, masing-masing ghairah untuk berbual sesama mereka sambil bermain bunga api. Ada yang kreatif, bukan sahaja membakar bunga api malah turut membakar mercun. Aku tidak kisah asalkan jangan putus jari atau terkena mata sudahlah...

Pukul 7.00 pagi, aku dan anak-anak bersiap-siap walaupun mata agak kelat. Ada yang 'buat perangai' tidak mahu mandi. Masalah pulak kat kampung ini, air paip semakin kecil, maklumlah ramai yang pulang ke kampung halaman.

Perancangan awal aku untuk beraya di rumah emak dan ayah aku di Peringgit terpaksa ditukar kepada bersembahyang raya di Masjid Alai. Aku rasa itu yang paling penting. Kali ini agak terkejar-kejar sedikit. Selepas bersalaman dengan mak mertua aku dan adik-beradik di sebelah Ida, aku, Farok, Arif dan Alim terus ke masjid. Parking pulak penuh. Apa lagi, sumbatlah kereta kat mana-mana. Di kampung ini, kaum lelaki biasanya akan bersembahyang di masjid terlebih dahulu dan kemudian akan disusuli oleh kaum hawa. Tetapi bagi kaum hawa, hanya bersembahyang raya sahaja tanpa khutbah. Ini bagi mengelakkan berlaku kesesakan bila mana pertambahan jemaah yang pulang ke kampung.

Kira-kira pukul 8.30 pagi, sembahyang raya bermula. Kemudian disusuli dengan khutbah. Pukul 9.15 pagi, aku bergegas pulang ke rumah untuk mengisi perut.

Memandangkan dah ramai ni, masing-masing mengambil kesempatan untuk bergambar dengan ahli keluarga mereka. Yelah, setahun sekali masing-masing mengenakan pakaian baru mengikut tema warna yang dipilih.

Pukul 1.00 tengah hari, aku ke Peringgit. Lepas bersalaman dengan emak dan babah (panggilan untuk ayah aku) serta adik-beradik, kami sekeluarga dijamu dengan ketupat dan rendang. Hajat hati nak terus beraya, apakan daya mata ni dah semakin kecil. Akhirnya di depan TV, aku dan anak-anak terus terlelap. Lepas asar, aku ke rumah Mak Ngah, di sebelah rumah mak. Kali ini berbual agak lama. Lepas maghrib, aku pulang ke rumah.

Aktiviti hari pertama aku rasakan tidak mencapai seperti mana yang aku hajati tetapi ianya amat bermakna bila mana kita dapat berbual panjang dengan saudara-mara yang lama kita tidak jumpa.






Bertakbir Di Malam Raya

Jumaat, 19 September 2009 bersamaan 29 Ramadhan 1430H. Kampung Pangkalan Jajar, Alai bergema dengan takbir sempena sambutan malam raya. Memang tradisi di kampung ini, sebaik selesai solat Isyak, para jemaah dan kanak-kanak akan berkumpul di Madrasah Ad-Ta'lim Ad Diniah untuk bersama-sama bertakbir dan bertahmid memuji kebesaran Allah SWT. Pada tahun ini bilangan kanak-kanak agak ramai, lebih daripada 150 orang,lelaki dan perempuan. Sewaktu kanak-kanak ini keluar daripada madrasah, mereka mendapat sumbangan duit raya setiap seorang. Sumbangan kepada kanak-kanak ini merupakan sebahagian daripada sumbangan dan sedekah daripada individu kepada pihak madrasah.

Suasana malam raya di kampung ini agak meriah. Bukan sahaja gema takbir kedengaran malah turut bergema dek dentuman mercun di sana sini.

Pada pukul 9.00 malam, jemaah dewasa berkumpul di hadapan madrasah untuk membahagi-bahagikan kumpulan bertakbir. Setiap kumpulan akan diterajui seorang ketua. Ada kira-kira 5 hingga 6 kumpulan di mana setiap kumpulan akan bertakbir di 12 hingga 15 buah rumah.

Setiap rumah yang dikunjungi akan dilaungkan sebanyak dua kali takbir dan ditutup dengan doa. Tuan rumah akan menyediakan sedikit juadah berupa sama ada kuih-muih ataupun ketupat, sambal dan rendang serta minuman. Bergantung kepada keikhlasan dan kemampuan tuan rumah, ada yang bermurah hati bersedekah duit raya. Paling tidak RM1.00 dan kalau bernasib baik, tuan rumah akan menghulurkan duit raya RM5.00

Paling seronok ialah kanak-kanak. Masa ini ialah masa mengumpul duit raya. Seorang kanak-kanak mampu mengumpul sejumlah RM30.00 hingga RM50.00 pada malam raya.

Semakin malam semakin bising dentuman mercun di sana sini. Aktiviti bertakbir di malam raya ini biasanya akan selesai pada kira-kira jam 2.00 hingga 3.00 pagi bergantung kepada bilangan rumah yang dikunjungi. Dan seperti biasa, pada pagi raya, agak sukar untuk mengejutkan anak-anak daripada tidur dan secara tidak langsung akan mengubah jadual yang dirancang di pagi raya nanti.