Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan

Sabtu, Jun 26, 2010

Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010

Sudah seminggu Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 melabuhkan tirainya. Bertemakan 'Harmoni dan Cemerlang', Sukan Malaysia kali ini menjadi medan untuk mencari bakat-bakat baru dalam bidang sukan tempatan. Apa tidaknya, dalam tempoh 9 hari pertandingan, sebanyak 10 rekod kebangsaan dan 90 rekod kejohanan dicipta.

Pada pendapat aku, inilah Sukan Malaysia yang terbaik pernah dianjurkan setakat ini. Melalui tinjauan aku dalam laman sosial YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, jelas beliau kerap turun padang melihat kemudahan di venue-venue pertandingan. Begitu juga dengan ADUN dan pegawai-pegawai kerajaan termasuk sukarelawan bertungkus-lumus menjayakan temasya ini dengan bersunguh-sungguh.

Sejumlah 15 kontinjen sukan mengambil bahagian dalam 33 acara. Kontinjen Terengganu Darul Iman sekali lagi menjadi juara apabila memperolehi 47 pingat emas. Ini diikuti oleh Selangor Darul Ehsan dan Wilayah Persekutuan dengan mendapat 43 emas. Tuan rumah, Melaka hanya sekadar menduduki tempat ke-7 dengan 32 emas.

Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Jun 2010. Di sini beberapa berita yang dipetik dari akhbar dan laman web berkaitan.












UTUSAN MALAYSIA

SUKMA XIII catat kejayaan
Oleh Lukman Salleh

21 Jun 2010

Persaingan lebih sengit, kedudukan keseluruhan seimbang

DENGAN 14 rekod kebangsaan dan 81 rekod kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XIII di Melaka yang berakhir kelmarin di anggap satu kejayaan besar dari segi kualiti, kemunculan bakat muda dan persaingan di antara kontinjen negeri.

Ketiadaan satu negeri yang mendominasi pungutan pingat emas berbanding temasya Sukma sebelum ini, persaingan lebih sengit dengan kedudukan keseluruhan dengan dipisahkan dengan kelebihan dua atau tiga pingat emas, ia pastinya memberi keceriaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), yang menganggap temasya XIII menepati objektifnya. “Berdasarkan kepada catatan rekod kebangsaan dan kejohanan, dan juga mencungkil bakat baru, saya berpendapat temasya kali ini sudah mencapai objektif utamanya,” kata Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN merangkap Ketua Urusetia Tetap Sukma, Jalil Abdullah, semalam. “Malah dalam pungutan emas, tidak ada satu negeri yang mendominasi dan kemenangan hanya ditentukan perbezaan pingat yang kecil.

“Ini menunjukkan persatuan dan majlis sukan negara bersama-sama dengan MSN menggerakkan program pembangunan bakat untuk menghasilkan barisan pelapis berwibawa. Saya berharap kerjasama dan usaha itu akan diteruskan.

“Pada masa yang sama juga, ada beberapa sukan yang perlu dipertingkatkan pengurusan dan program pembangunan terutama dalam melahirkan pegawai teknikal dan atlit dan MSN akan memantau persatuan terbabit bagi memastikan mereka tidak tercicir,” katanya.

Dua tahun lalu, pada Temasya XXII hanya tujuh rekod kebangsaan dan 53 rekod kejohanan dipecahkan. Dengan lebih banyak kontinjen negara yang bersaing untuk pingat, adalah menjadi harapan lebih banyak bakat baru dapat dilahirkan daripada temasya itu.


Laman Web Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010

SUKAN MALAYSIA 2010 DITUTUP PENUH GEMILANG

KRUBONG (19 JUN 2010) - Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 melabuhkan tirai malam ini dengan pujian perlu diberikan kepada tuan rumah di atas penganjuran yang berjaya mencerminkan peningkatan imej dan pencapaian atlet.

Selepas 33 jenis sukan dipertandingkan pada Sukma kali ini, Terengganu diumumkan sebagai juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut selepas memungut 47 emas mengatasi saingan terdekat Selangor dan Wilayah Persekutuan apabila masing-masing memperoleh 43 emas.

Sebanyak 10 rekod kebangsaan dan 90 rekod kejohanan dicipta pada temasya kali ini.

Sebaik obor kejohanan dipadamkan tepat pada pukul 11.00 malam disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bermakna berakhir sudah temasya sukan selama 14 hari selain meninggalkan banyak kenangan suka dukanya.

Selepas Melaka, giliran Pahang pula akan menjadi tuan rumah temasya edisi ke-14 pada 2012.

Terdahulu, atlet olahraga tuan rumah Melaka, J. Khartik dan jaguh renang dari Wilayah Persekutuan,Chan Kah Yan diisytihar sebagai Olahragawan dan Olahragawati manakala Terengganu diumumkan juara Sukma edisi ke-13. Najib turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Kemeriahan jelas terasa sehinggalah berakhir acara penutup yang penuh warna-warni disempurnakan oleh Najib. Sejurus Perdana Menteri mengumumkan majlis penutupan, bendera kejohanan mula diturunkan dan obor yang menyala sejak majlis pembukaan pada 12 Jun lalu dipadamkan.

Selepas itu, Ketua Menteri, Mohd. Ali Rustam menyerahkan bendera kejohanan kepada Perdana Menteri yang kemudiannya menyerahkannya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob selaku tuan rumah temasya edisi ke-14.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Pahang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Dengan lebih 9,237 atlet dan pegawai daripada 15 pasukan termasuk Brunei sebagai jemputan berkampung di Melaka sepanjang temasya berlangsung menyaksikan rekod kejohanan dan kebangsaan dicipta oleh atlet muda negara.

Majlis penutup gilang-gemilang dimulakan dengan pertunjukkan 800 peserta di kalangan pelajar sekolah memegang sapu tangan warna biru dan merah diiringi lagu Melaka Maju 2010.

Ia turut diserikan dengan upacara simbolik perarakan kapsul masa kira-kira 87 kanak-kanak tunas budaya diiringi paluan kompang dan 100 peserta brass band dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John Kuala Lumpur.

Diikuti perarakan masuk kontinjen yang mengambil bahagian dan maskot setiap negeri. Sejumlah 16 bendera besar daripada 160 orang pembawa bendera 14 negeri yang bertanding termasuk Brunei sambil diiringi lagu rakyat negeri Melaka.

Sabtu, April 03, 2010

Temasya Olahraga Tahunan UTeM Ke-3, 2010

Hari ini berlangsungnya Temasya Olahraga Tahunan UTeM Ke-3 2010 yang diadakan di Stadium UTeM. Sebanyak 156 acara dipertandingkan yang melibatkan kira-kira 300 peserta yang mewakili fakulti dan jabatan masing-masing.

Di antara acara yang dipertandingkan ialah acara lompat jauh, lontar peluru, lempar cakera, lompat tinggi, rejam lembing, lumba lari 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1500 meter, 4x100 meter dan 4x400 meter.

Beberapa kategori penyertaan dibuka kepada peserta seperti acara lelaki veteran, lelaki senior, wanita, pelajar lelaki dan pelajar wanita. Acara bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir jam 5.30 petang.

Seramai 12 orang peserta mewakili jabatan perpustakaan. Menurut Zaidi Saad, pengurus pasukan perpustakaan bagi temasya olahraga ini penyertaan peserta agak berkurangan. Ini setelah beberapa kali temasya ini ditangguhkan oleh Pusat Sukan di samping komitmen peserta yang rendah.

Perpustakaan UTeM mendapat 2 pingat emas dan 3 gangsa. Pingat emas diperolehi oleh Fatilah Ramly melalui acara lompat jauh wanita senior dengan catatan 3.03 meter menewaskan lapan peserta lain manakala Noorlizawati Khamis unggul dalam acara 400 meter wanita senior dengan catatan masa 32.36 saat. Ini merupakan catatan terbaik dan juga rekod baru kejohanan. Rekod lama kejohanan ialah 1:38.79 saat.

Pingat gangsa pula disumbangkan oleh Noorlizawati Khamis melalui acara lompat jauh wanita senior dengan catatan 2.81 meter. Hasliza Mohamed turut menyumbang pingat gangsa dalam acara 200 meter wanita senior dengan catatan 43.73 saat manakala Zaidi Saad membuat catatan 28.92 saat melalui acara 200 meter lelaki senior.

Kesemua peserta yang mewakili perpustakaan begitu bersemangat untuk menaikkan nama jabatan sehinggakan cuba menamatkan pertandingan walaupun mengalami kecederaan.

Perjalanan temasya sukan ini lancar pada sebelah pagi bertukar perlahan pada sebelah petang akibat hujan renyai. Walau bagaimanapun semua acara dapat disempurnakan mengikut jadual.

Temasya Olahraga Tahunan UTeM Ke-3 ini tamat jam 5.30 petang setelah perasmian penutup oleh Naib Canselor UTeM.


Keputusan

400 Meter Wanita Senior
1. Noorlizawati Khamis (Perpustakaan) - 32.36 saat (rekod lama, 1:38.79 saat)
2. Nuridawati (FTMK) -34.06 saat
3. Azlinda Suandi (Bendahari) - 45.54 saat
4. Hasliza Mohamed (Perpustakaan) - 1:56.24 saat
5. Aidayanti Ahmad (Pembangunan) - 2:30.00 saat
6. Nor Azah Abdul Aziz (Bendahari) - DNF

Lompat Jauh Wanita Senior
1. Fatilah Ramly (Perpustakaan) - 3.03 meter
2. Siti Nor Azuana Azmi (Bendahari) - 2.89 meter
3. Noorlizawati Khamis (Perpustakaan) - 2.81 meter
4. Azlinda Mohd Yunos (Pembangunan) - 2.58 meter
5. Nurizzaty Zakaria (PK+PBPI+PPP) - 2.54 meter
6. Nor Azah Abdul Aziz (Bendahari) - 2.49 meter
7. Norlela Rosnan (Pembangunan) - 2.25 meter
8. Aryanti Ismail (Canselori) - 2.20 meter
9. Nurul Husna Hamzah (PK+PBPI+PPP) - 1.94 meter

200 Meter Lelaki Senior
1. Suhaimi Bon Omar (Pusat Komputer) - 25.33 saat (rekod lama, 27.15 saat)
2. Rosle Miskon (Pembangunan) - 27.63 saat
3. Zaidi Saad (Perpustakaan) - 28.92 saat
4. Mohamad Riduwan Mohd Nawawi (FKE) - 34.06 saat
5. Sapian Wahid (Bendahari) - DNF
6. Mohd Firdaus Abdullah (Pendaftar) - DNF

200 Meter Wanita Senior
1. Norzalina Anuar (Pembangunan) - 40.87 saat
2. Honey Amalina Lokman (Pendaftar) - 41.38 saat
3. Hasliza Mohamed (Perpustakaan) - 43.73 saat
4. Nurashikeen Nasrudin (Pembangunan) - 46.37 saat
5. Noraini Mohd Noor (Perpustakaan) - 46.47 saat