Memaparkan catatan dengan label makan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label makan. Papar semua catatan

Isnin, November 30, 2009

Makan Bersuap

Sebenarnya di mana-mana majlis perkahwinan pun, tetamu diraikan. Begitu juga dengan kedua pengantin ini. Sebelum menjamu selera, akan diadakan sesi bergambar dengan meletakkan hujung jari pengantin lelaki ke mulut pengantin perempuan bagi menyuapkan sesuap nasi. Begitulah sebaliknya.

Suasana begini memang manis nampaknya jika ianya tidak dibuat-buat dan datang dengan sendiri. Manisnya seperti semasa dalam tempoh pertunangan dulu. Adakah suasana begini boleh berkekalan. Jawapannya hanya kedua mempelai sahaja yang tahu...















Khamis, Oktober 23, 2008

Bina Peribadi Waktu Makan

Pakar motivasi bebas Ustaz Sobri Abd. Rani menyarankan agar ibu bapa menjadikan waktu makan sekeluarga sebagai waktu untuk membetulkan kehidupan atau membina peribadi anak-anak. Kerana waktu makan adalah program bersahaja yang besar impaknya dalam hidup. Antara didikan yang boleh diterapkan kepada anak-anak pada waktu makan:

1. Tunggu orang yang paling tua
“Kalau ada ayah, suapan pertama hendaklah dimulakan oleh ayah. Kalau tidak ada ayah, emak dulu. Rahsia di sebaliknya, bila dikekalkan begitu selama tiga bulan, akan tumbuh di hati anak rasa hormat kepada yang lebih tua walaupun di luar pandangan kita. Jadi kalau kita hendak tahu macam mana anak kita di luar pandangan kita, tengok waktu makan.”

2. Baca Bismillah dan guna tangan kanan
“Anak kita tidak akan sanggup untuk memasukkan makanan ke mulut atau memegang sesuatu yang bukan haknya. Yang biasa dia ambil masuk ke mulut dengan nama Allah dan biasa memegang yang halal dengan tangan kanan. Melalui amalan yang mudah ini, roh kita dimonitor oleh syariat. Amalan ini tak perlu pada tenaga dan wang ringgit yang banyak tapi perlu pada kesabaran dan istiqamah.”

3. Ambil lauk terdekat dulu
“Bagi cubitan lauk yang pertama, ambil yang paling dekat. Kenapa? Melatih sabar. Kali kedua jika hendak ambil yang jauh tak mengapa, itu dikira usaha ikhtiar untuk dapat yang lebih baik. Ia mempengaruhi corak kehidupan dan corak kita bekerja. “Kalau ayah atau ibu hendak membina sifat penyayang, ambil lauk yang pertama letak di pinggan anak. Memang anak akan rasa lain. Kalau dia tak mahu lauk itu tak mengapa tapi kita memberi tu yang mustahak. Kalau kita buat macam itu, dia juga akan jadi macam itu pada orang lain. Kita sudah bina masyarakat penyayang di dalam rumah kita. Malah untuk latih anak cinta pada saudaranya yang lain, itulah waktunya.”

4. Kawal suapan
“Bila ambil makanan untuk suap ke mulut, jangan diangkat suapan seterusnya selagi di dalam mulut itu belum ditelan. Sesudah ditelan, baru angkat suapan seterusnya masuk ke mulut. Untuk apa? Melatih jangan tamak dan bersifat qanaah ? mencukupi apa yang ada. Atau lebih tepat, melatih syukur terhadap apa yang Allah kurniakan.” Ustaz Sobri berkata, “Perkara ini kalau dilatih betul-betul, ia akan menumbuhkan sifat-sifat mulia di dalam diri. Sebab makan adalah perkara yang kita benar-benar buat dengan hati, sebab itu ia mempengaruhi roh.”

Ahad, Oktober 19, 2008

Teringin Nak Makan Ikan Bakar















Hari Sabtu, 18 Oktober 2006, aku teragak nak makan ikan bakar. Aku meminta isteri dan anak-anakku supaya bersiap agar sampai ke tempat dituju lebih awal. Lepas sembahyang Maghrib, kami pun berbincang untuk memilih gerai mana yang akan dituju.

Di Melaka ni, tak susah nak cari medan ikan bakar. Dari rumah kami di Alai, banyak pilihan boleh dibuat. Boleh pergi Medan Ikan Bakar Umbai, Serkam dan Anjung Batu. Hari ini aku bercadang untuk ke Medan Ikan Bakar di Telok Mas, bersebelahan dengan Penjara Henry Gurney. Tempatnya memang menarik, tak berapa ramai orang yang tahu, malangnya sewaktu aku sampai, banyak 'benda' yang dah habis. Udang dah habis, sotong pun tinggal sikit dan yang tinggal hanyalah ikan sahaja.

Memandangkan semua 'benda' habis, aku mengambil keputusan untuk ke Medan Ikan Bakar Alai, berhampiran Cyrstal Bay. Tak jauh, lebih kurang 2 kilometer saja. Kat sini hanya ada 3 gerai saja yang dibuka iaitu 2 gerai ikan bakar dan satu lagi gerai menjual kraftangan. Malam ni orang yang datang agak ramai juga. Satu Gerai Ikan Bakar Alaa Kasim dan satu lagi Gerai Ikan Bakar Haji Musa. Kedudukan ketiga-tiga gerai ini berhampiran sungai dan di sebelah sungai tersebut juga ada sederet gerai ikan bakar yang lama. Kepada orang yang datang dari luar Melaka, aku nak nasihatkan kalau nak makan ikan bakar ramai-ramai, baik tempat dulu. kalau nak makan malam, sebelah petang, lebih kurang pukul 6.00 petang, dah boleh tempah. Kalau tidak, jawabnya terpaksa menunggu lama.

Malam ni aku seperti sebelumnya ke Gerai Ikan Bakar Haji Musa. Aku tak tahu kenapa aku suka masakan di gerai ini. Tapi memang sedap. Isteri aku mula memilih beberapa ekor udang, sotong, ikan dan ketam untuk ditimbang. Anak-anakku juga dah kelaparan. Lebih kurang 20 minit, semua makanan yang dipesan siap dihidangkan. Anakku, Nur Hamizah bukan main lagi meratah udang dan ketam, Nur Arifah sukakan ikan sweet & sour manakala aku sukakan sotong goreng tepung, udang dan ketam goreng. Isteri aku sukakan semuanya.

Malam ni semua makanan yang dihidangkan habis semuanya. Yang penting, hajatku untuk merasakan makanan laut ini tercapai...

Yelah, baru lepas hujan katakan.....
















Gerai Ikan Bakar Haji Musa
















Pengunjung yang datang agak ramai, terutama cuti sekolah ataupun hari gaji.