Rabu, Disember 09, 2009

Lawatan Ke Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM

7 Disember 2009. Jam 7.10 pagi aku bertolak ke tempat kerja. Pagi ini aku bersama beberapa orang rakan setugas dijangka bertolak ke Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Skudai (PSZ) pada jam 8.00 pagi dalam misi lawatan sambil belajar ke Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS).

Seramai 12 orang mengikut lawatan ini. Mereka ialah Ketua Pustakawan, Pn. Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Cik Siti Noor Kiah Syed Abdul Malek, Arman Mohammad, Mohd Shahar Akashah, Rasida Abu Bakar, Mahadir Che Ali, Mohd Mawardi Badruddin, Harulrizam Mohamed, Hasliza Mohamed, Norlian Mohamed Najib, Noraini Mohd Noor dan Muhammad Hafeez Zanudin manakala Ustaz Azman Amir dan Mohd Zaidi Saad hanya ke PSZ, UTM sahaja kerana tugasan sampingan.

Sebelum bertolak berlaku sedikit kekecohan di pihak pentadbiran bila mana masa dalam tentatif program disalahtafsir. Walau bagaimanapun ini tidak menjejaskan perancangan dan kami bertolak ke PSZ pukul 9.00 pagi. Kami pergi menaiki bas yang disediakan oleh pihak universiti. Oleh kerana masing-masing masih belum bersarapan pagi, akhirnya kami singgah di Hentian Pagoh untuk mengisi perut. Setelah meneruskan perjalanan, kami sampai di PSZ pukul 12.15 tengah hari. Kami diberikan taklimat perpustakaan oleh Puan Noraini Yahya, Ketua Bahagian Sokongan Penyelidikan. Kemudian diadakan lawatan berpandu di sekitar perpustakaan. Pukul 1.00 tengah hari, rombongan ini dijamu dengan juadah yang disediakan oleh pihak perpustakaan.

Selepas solat Zohor, kami membuat tinjauan di sekitar ruang legar perpustakaan sambil melihat perkhidmatan yang diberikan oleh staf PSZ. Memang agak berbeza kerana sebagai sebuah perpustakaan universiti yang telah lama beroperasi serta menerima banyak pengiktirafan, keceriaan ruang dan kualiti perkhidmatan menjadi daya penarik pengguna ke perpustakaan.

Pukul 3.00 petang taklimat mengenai Institutional Repository (IR) diberikan oleh Puan Kamariah Mohamed Jong, Pustakawan Kanan dan Noor Effendy Hamzah, Pustakawan di PSZ. Taklimat ini berkisar tentang pembangunan IR di PSZ, polisi dan isu dalam membangunkan kandungan digital di perpustakaan tersebut.

Pukul 5.30 petang, selepas sesi fotografi bersama ahli rombongan, kami bertolak ke M Suite Hotel di Jalan Skudai, Straits View, Johor Bahru. Pukul 6.15 petang kami sampai di hotel tersebut dan setelah berurusan di kaunter hotel, kami masuk ke bilik pada jam 6.25 petang. Pemandangan dari hotel ini sungguh menarik. Dari jendela bilik, aku boleh nampak Selat Tebrau yang mana di sebelah selat ini ialah Republik Singapura.

Pukul 8.00 malam, kami menjamu selera di sebuah medan selera yang terletak beberapa kilometer dari hotel M Suite ini. Sebelum melelapkan mata, sempat aku, Mawardi, Shahar, Arman, Hafeez, Ustaz Azman, Zaidi dan Harul berbual-bual di ruang legar sebaik pulang dari menjamu selera.

Perjalanan sehari ini memang meletihkan tetapi menyeronokkan bila kita dapat keluar dari rutin hidup kita seharian di pejabat. Bukan selalu dapat suasana begini...























































Bersantai di Desa Water Park

Secara kebetulan sudah berada di Kuala Lumpur, aku mengambil kesempatan ini untuk membawa anak-anak bercuti di Desa Water Park. Sebenarnya kami ada dua pilihan sama ada ke taman tema air yang ini atau Wet World Shah Alam. Kedua-duanya lebih kurang sahaja jaraknya dari rumah Roziah. Aku mencari maklumat di internet dan aku dapati Desa Water Park lebih banyak pilihan.

Pukul 11.30 pagi, 6 Disember 2009 kami bertolak ke taman tema air ini daripada rumah Roziah di Putra Height. Perjalanan lebih kurang 30 minit. Sesampai kami di sana, didapati kenderaan bersusun memenuhi kawasan parkir taman tema ini. Walau bagaimanapun masih ada ruang kosong untuk aku meletakkan kenderaan.

Kami sampai pukul 12.00 tengah hari. Masing-masing dah tak sabar untuk berenang. Lantas Arif ke tempat menyewa tube dan mendapatkan dua buah tube, double dan single.
Selain daripada itu, aku dapati ada juga disediakan lazy river, taman air untuk kanak-kanak dan juga kolam yang berombak.

Punyalah leka bermain air, keempat-empat anak aku ini tidak hiraukan makan langsung. Cuma bila dah nak balik, barulah masing-masing kelaparan.

Pukul 6.00 petang kami bertolak pulang ke rumah Roziah. Oleh kerana kelaparan, kami singgah di sebuah restoran mamak semasa dalam perjalanan pulang. Sebelah malam, selepas Isyak, kami bertolak balik ke Melaka kerana esok aku akan mengikut rombongan jabatan ke UTM Skudai dan ke Singapura.

Sesekali bila dapat bersantai bersama keluarga, tenang rasanya. Rasanya macam nak sambung cuti lagi tapi apakan daya, tugas tetap tugas...