Ahad, Ogos 16, 2009

Jamuan Staf Perpustakaan

Di Perpustakaan UTeM ni memang kerap juga diadakan jamuan. Jamuan-jamuan yang diadakan ini biasanya merupakan berbentuk kesyukuran seperti baru sahaja mendapat cahayamata, naik pangkat dan lain-lain lagi. Budaya begini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan staf malah ianya merupakan suatu sedekah daripada staf yang menganjurkannya.

Jumaat, 7 Ogos 2009, aku sempat menghadiri jamuan staf yang diadakan di Ruang Majalah, Perpustakaan UTeM. Jamuan yang diadakan pada kira-kira jam 12.20 tengah hari ini merupakan jamuan kesyukuran yang diadakan oleh gabungan beberapa orang staf yang baru sahaja mengeluarkan KWSP setelah mencarum dalam skim pencen. Staf-staf terlibat antaranya Mawardi, Nurul Akmar, Fauziah, Tirmidzi, Afiz dan Norliza.

Sebaik doa dibacakan oleh Ustaz Azman, staf lelaki diutamakan untuk menjamu selera memandangkan mereka perlu segera ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Juadah yang disediakan memang menarik. Daging masak asam, masak lemak nenas, kuih-muih, ais krim dan sebagainya.

Aku berdoa semoga aktiviti begini berterusan. Semoga mereka yang menganjurkan majlis ini dirahmati Allah dan bertambahlah rezeki mereka pada masa depan. Amin...









































Malam Nisfu Syaaban

Petang Rabu, 5 Ogos 2009 bersamaan 14 Syaaban 1430H aku sekeluarga dijemput oleh Mak Bedah, ibu aku untuk berkumpul memuliakan Malam Nisfu Syaaban. Kira-kira jam 7.00 malam semuanya sudah bersiap-siap mengambil wuduk untuk menunaikan fardu Maghrib secara berjemaah. Sejadah dibentang dan disusun oleh anak-anak saudaraku iaitu Apai, Kori, Kolan dan juga Arif memanjang dua saf.

Sebaik azan berkumandang, masing-masing sudah berada di ruang tamu. Malam tu Apai diminta qamat oleh atuknya. Hj. Ayup, ayahku yang kami panggil Babah mengimami solat Maghrib. Ada kira-kira 15 orang jemaah yang terdiri daripada aku sekeluarga dan 3 keluarga adik-adikkku yang tinggal di sekitar Melaka.

Sebaik selesai solat Maghrib, masing-masing digalakkan untuk menunaikan solat sunat Nisfu Syaaban. Kemudian jemaah diminta berkumpul dan membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali bertujuan memohon kehadrat Allah SWT agar dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberikan kesejahteraan. Ia kemudian disusuli dengan tahlil dan diakhiri dengan solat Isyak.

Di akhir majlis ringkas ini diadakan kenduri (makan malam) untuk semua ahli keluarga. Mudah-mudahan apa yang dihajati di Malam Nisfu Syaaban ini akan termakbullah hendaknya...