Khamis, September 23, 2010

Blog Baru...













Salam sejahtera kepada pembaca blog saya, untuk entri-entri terbaru, sila ke alamat baru:

http://azmanhjayup22.blogspot.com/

Rabu, September 22, 2010

Majlis Bicara Ilmu

Selasa, 21 September 2010. Hari ini aktiviti Festival Membaca 2010 yang dianjurkan oleh Perpustakaan UTeM sudahpun bermula dengan aktiviti pertamanya iaitu Majlis Bicara Ilmu. Ia diadakan di Ruang Legar Bangunan Perpustakaan dan bermula pada jam 2.30 petang.

Program berbentuk forum ini menampilkan dua orang panel iaitu YM Dato’ Profesor Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob dari Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Shah Alam dan Profesor Dr. Shahrin Shahib@Sahibuddin, Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UTeM. Pemudahcaranya ialah Amir Aris dari FPTT.

Tema Majlis Bicara Ilmu kali ini ialah Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi Negara: Realiti dan Cabaran.

Pengacara majlis, Salleh Mohd Noor memulakan majlis dengan menjemput Nik Syukran Muiz Rashid, staf perpustakaan untuk bacaan doa. Sebaik selesai, kedua-dua panel dan pemudahcara dijemput ke pentas bagi memulakan forum.

Dato’ Profesor Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob memulakan forum dengan mempersoalkan tahap pembacaan masyarakat masa kini yang kian rendah. Menurut beliau, atas sebab itulah mengapa dalam era k-ekonomi ini masih wujud kempen galakan membaca. Beliau berpendapat punca masalah ini bertitik-tolak daripada sistem pendidikan di sekolah, universiti, masyarakat dan keluarga yang tidak menitikberatkan keperluan membaca.

Menurut beliau lagi, pembacaan dalam era globalisasi perlu diperluaskan skopnya di mana pembacaan bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat berbentuk khusus malah maklumat umum.

Bagi Profesor Dr. Shahrin Shahib pula, bila ditanyakan tentang inovasi, beliau menyimpulkan inovasi itu merupakan membuat sesuatu yang baru dibuat atau melakukan pembaharuan dalam kerja. Bagi beliau untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi keluarga, perlu ada ilmu dan inovasi. Menurut beliau lagi, pendapatan perkapita masyarakat suatu masa dahulu kurang daripada RM2000 dan untuk membolehkan pendapatan meningkat, mereka perlu mempunyai ilmu.

Ilmu membentuk manusia menjadi pemimpin dalam pelbagai aspek dan bertindak sebagai problem solver. Menurut beliau lagi, ilmu itu datangnya daripada pembacaan dan ilmu itu harus dikembangkan melalui budaya suka bertanya atau budaya ingin tahu dan ini akan merealisasikan maknanya.

Bila ditanya tentang ilmu, Dato’ Profesor Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob berpendapat ilmu boleh diperolehi dalam bentuk maklumat yang dipakej semula. Katanya, bagi majikan, mereka perlukan sesuatu daripada pekerja baru iaitu ilmu untuk mengurus. Katanya lagi mereka yang kurang berilmu bermakna orang itu kurang membaca dan kurang budaya perpustakaan.

Melalui pengalamannya, rata-rata pemimpin yang berjaya hari ini adalah mereka yang menggunakan perpustakaan sepenuhnya untuk mendapatkan maklumat. Ini secara tidak langsung akan membentuk budaya ke perpustakaan. Menggunakan contoh pelajar masa kini, pelajar perlu menggunakan kemahiran pencarian maklumat melalui kaedah library skills/information skills yang disediakan oleh perpustakaan. Namun begitu budaya cut and paste yang diambil daripada internet masih berleluasa.

Profesor Dr. Shahrin Shahib berpendapat manusia perlu berilmu dan menguasai teknologi. Dengan memberi contoh negara Israel dan Korea Selatan yang maju kerana memartabatkan ilmu.

Negara Israel merupakan sebuah negara kecil yang kini memacu dunia melalui teknologi. Intel, katanya dibangunkan oleh Israel melalui penguasaan teknologi maklumat sebaliknya Korea Selatan bangkit daripada kemusnahan ekonomi akibat spekulasi matawang Soros. Dengan berilmu sesuatu bangsa akan dapat membangunkan sesebuah tamadun.

Menurut beliau, setiap orang perlu ada continuous learning dalam hidup dan penggunaan ICT contohnya perlu dalam pencarian maklumat secara online dalam dunia tanpa sempadan. Menurut Profesor Dr. Shahrin lagi, dalam Islam, ilmu perlu dicari dan ilmu itu sendiri merentasi semua bidang perkara. Tambah beliau, dengan berilmu dan berinovasi barulah boleh dilakukan transformasi.

Majlis kemudian diserikan dengan deklamasi puisi oleh Zaidi Saad dan bagi menarik perhatian peserta, diadakan juga cabutan nombor bertuah. Hadiah-hadiah berbentuk hamper disumbangkan oleh para pembekal buku.

Majlis yang dihadiri seramai hampir 100 orang ini tamat pada jam 5.10 petang. Turut hadir ialah Ketua Pustakawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Membaca 2010 dan Timbalan Ketua Pustakawan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana aktiviti berkenaan.

Aku kira majlis ini berjaya mencapai sasaran ditetapkan dan sekalung tahniah buat Arman dan ahli jawatankuasa Bicara Ilmu.

Sebelum pulang, kami sempat bergambar bersama Dato’ Profesor Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob.










Ahad, September 19, 2010

Selamat Ulangtahun Ke-2 Aisyah Najwa

Hari ini merupakan ulangtahun ke-2 Aisyah Najwa, anak adik aku Zainab. Dan hari ini juga Zainab dan suaminya Azman mengadakan rumah terbuka untuk saudara-mara dan rakan-rakan sekerja beliau. Tetapi lokasi berbeza, bukan di rumahnya sebaliknya di rumah Mak Bedah.

Sejak awal pagi lagi, Zainab dibantu adik-beradiknya termasuk aku membuat persiapan untuk rumah terbuka. Menunya seperti tahun-tahun lepas ialah nasi ayam, lontong, buah-buahan serta kuih-kuih raya.

Aku, Arif, Ifa dan Miza sempat ke sebuah pasar raya untuk membelikan hadiah untuk Aisyah.

Jam 1.40 tengah hari, Pak Talib yang kami jemput untuk membaca doa selamat sampai. Bacaan doa selamat berkumandang di beranda rumah. Sebaik selesai, semua tetamu dijemput menjamu selera. Kemudian, kek hari jadi yang dibeli dari Secret Recipe dipotong.

Sebelum pulang, Ifa, Miza dan Alim menghulurkan hadiah yang dibeli dan dibungkus rapi kepada Aisyah Najwa. Bila dibuka, Aisyah seronok mendapat hadiah iaitu sebuah kereta mainan berwarna merah jambu.

Kami bergerak pulang dari rumah Mak Bedah jam 6.30 petang. Semoga Aisyah Najwa cepat besar....










Rumah Terbuka Anuar

Hari Sabtu, 18 September 2010, kami sekeluarga ke rumah terbuka Anuar, anak Pak Ngah Ahmad di Taman Duyong Ria. Kami sampai di sana pada pukul 10.00 malam. Kami dijemput masuk dan selepas bersalaman, kami dijemput menikmati hidangan yang disediakan. Antaranya ketupat, rendang, mee kari, karipap, seri muka dan kuih-kuih raya.

Hmm...menyelerakan. Sambil berbual dengan lain-lain tetamu, kami menonton TV. Filem Melayu, 'Jangan Pandang Belakang' yang menarik perhatian aku sehingga ke akhir cerita.

Jam 12.00 malam, kami bersalaman dan meminta diri untuk pulang ke rumah. Terima kasih daun keladi, tahun depan rumah terbuka lagi....













Makan Ikan Bakar

Jumaat, 17 September 2010. Seperti yang dipinta Arif kepada neneknya, Mak Munah dua hari lepas untuk makan ikan bakar, akhirnya malam itu hajatnya ditunaikan. Menurut Arif sudah lama dia tidak merasa ikan bakar maklumlah bulan puasa.

Pukul 9.00 malam kami bertolak ke Medan Ikan Bakar Crystal Bay, Alai yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah. Hari ini merupakan hari terakhir keluarga Farok bercuti di kampung kerana malam ini mereka sekeluarga akan bertolak balik ke Putra Height, USJ. Kami ke sana dengan dua buah kenderaan.

Sebaik sampai, Mak Munah dan Ida memilih ikan, udang, sotong dan kupang untuk dimasak. Dalam masa 15 minit, hidangan diterima secara berperingkat. Selain nasi lemak, kami dihidangkan dengan sotong goreng tepung, udang goreng, kupang, ikan bakar dan juga otak-otak.

Bukan main berselera masing-masing makan. Maklumlah sudah lama tidak pekena makan laut ini. Arif membisikkan ke telinga aku yang dia terasa begitu kenyang dengan makanan yang dihidangkan itu.

Pukul 10.30 malam, kami bergerak balik ke rumah. Lebih kurang jam 11.15 malam, Farok sekeluarga berangkat pulang ke USJ.Sekurang-kurangnya kerinduan Arif terubat bila dapat menikmati makanan laut malam ini.